BAB 6

1 0 0
                                    

Matahari pagi memancar lembut di atas perkampungan tepi pantai yang tenang, tempat berlangsungnya sebuah majlis sederhana tetapi penuh makna. Irdina duduk di sebuah bilik kayu kecil, mengenakan kebaya putih bersulam halus yang diwarisi daripada arwah ibunya. Tiba-tiba hiba menyinggah hatinya, tiada ibu dan ayah di sampingnya, melihat saat bersejarah dirinya menjadi ratu di hati lelaki pilihannya.

Wajahnya yang dihiasi solekan tipis tampak berseri-seri, tetapi hatinya tidak dapat menafikan getaran yang dia rasakan. Hari ini adalah hari di mana hidupnya akan berubah selamanya.

"Kau dah bersedia? Tokseh nak ketaq sangat eh. Dah nak jadi bini orang woi" gurau Liyana, sahabat dari kecik Irdina, yang sibuk mengatur selendang di bahunya.

Irdina memandang ke cermin, matanya menangkap bayang wajahnya sendiri yang dihiasi senyuman kecil. "Aku tak pernah rasa lebih bersedia daripada ini," katanya, suaranya lembut tetapi penuh keyakinan. Pandangannya memandang langit yang luas ke luar tingkap, mengharapkan ibu dan ayahnya sentiasa tahu yang mereka sentiasa ada dalam hati dia walaupun setelah menikah.

Di luar, bunyi ombak yang memukul pantai menjadi irama yang menemani suasana tenang pagi itu. Para tetamu mula memenuhi perkarangan rumah kayu itu, ahli keluarga, rakan-rakan, dan segelintir anggota VAT69 yang rapat dengan Faris. Majlis ini mungkin tidak mewah, tetapi setiap sudutnya dipenuhi keikhlasan dan kehangatan kasih sayang.

Di ruangan bersebelahan, Faris duduk bersama jurunikah, mengenakan baju melayu putih lengkap dengan songkok. Wajahnya kelihatan tenang, tetapi di dalam hatinya, dia berasa seolah-olah seluruh hidupnya sedang berubah. Seorang lelaki yang sebelum ini hidup hanya untuk tugas dan negara kini akan mengikat diri kepada seseorang yang telah membuka hatinya kepada kehidupan yang lebih bermakna.

"Bro, okay tak? Amboi. Gabra ke brother. Lek ah.. Hilang macho singa kau." gelak Aiman, rakan sepasukannya uga sahabat baiknya, sambil menepuk bahunya perlahan.

Faris mengangguk sambil tersenyum kecil. "Kuajar kau. Aku rasa.. Lebih daripada okay. Aku rasa... aku akhirnya tahu apa maksud bahagia." Aiman hanya mampu tersenyum, mana tidaknya. Dia saksi hidup Faris yang saling tak tumpah macam manusia takde jiwa selama ni sampai berjumpa dengan Irdina.

Ketika jurunikah memulakan lafaz nikah, seluruh ruang menjadi senyap. Semua mata tertumpu kepada Faris, yang melafazkan akad dengan nada yang tegas tetapi penuh emosi. Dalam detik itu, Irdina, yang mendengar dan melihat Faris dari pelamin, menahan air matanya. Hatinya penuh dengan rasa syukur dan kebahagiaan yang sukar digambarkan.

Selepas majlis selesai, Irdina dan Faris duduk bersebelahan di pelamin yang dihias sederhana tetapi indah. Para tetamu datang mengucapkan tahniah, tetapi di tengah-tengah kesibukan itu, mata mereka sering bertemu, seolah-olah dunia di sekeliling mereka tidak lagi penting.

"Awak nampak cantik hari ini," bisik Faris perlahan, wajahnya penuh dengan kekaguman sambil tangannya mula mengenggam erat tangan Irdina. Dah sah ni memang takkan dia lepas la tangan isteri dia ni.

"Dan awak nampak lebih tenang daripada biasa," balas Irdina, tersenyum nakal melihat tangan Faris yang dari tangannya mula melingkar ke pinggangnya ketika ini. Faris ketawa kecil. "Sebab saya tahu, mulai hari ini, saya ada awak di sisi saya. Apa lagi yang saya perlukan? Nikmat dunia apalagi yang saya perlu dustakan sedangkan saya dah dapat pujaan hati saya yang satu ni"

Irdina tersenyum, matanya berkaca. Dia tahu kehidupan mereka tidak akan mudah, tetapi dalam detik ini, dia yakin mereka akan mengharungi segala-galanya bersama.

Beberapa minggu selepas perkahwinan mereka, Faris kembali bertugas di kem latihan VAT69, sementara Irdina meneruskan kerjanya di pelantar minyak. Kehidupan mereka kembali kepada rutin yang memisahkan mereka secara fizikal, tetapi kali ini, hubungan mereka lebih kukuh. Mereka berkomunikasi melalui panggilan telefon dan mesej apabila keadaan mengizinkan, berkongsi cerita tentang hari-hari mereka.

Namun, cabaran pertama mereka sebagai pasangan suami isteri datang lebih awal daripada yang dijangkakan. Faris mendapat panggilan untuk satu misi berisiko tinggi yang memerlukan dia berada di luar negara selama beberapa bulan. Ketika dia memberitahu Irdina, suasana antara mereka menjadi tegang.

"Awak baru jer balik dari misi, Faris. Takkan nak pegi lagi. Kita baru nak ada masa bersama," kata Irdina, suaranya penuh emosi.

"Abang tahu, sayang. Tapi ini tugas abang. Abang tak boleh pilih untuk tidak pergi. Negara perlukan abang. Sayang tahu kan sayang berkongsi abang dengan negara," balas Faris dengan nada lembut tetapi tegas.

Irdina memandangnya, matanya berkaca. "Kadang-kadang saya tertanya-tanya... selfishnya negara sampai dia ambik abang dari saya macam tu jer.. takde toleransi langsung.. kalau macam ni, abang rasa saya cukup kuat ke nak hadap dan hidup seperti ini?"

Faris memegang tangannya erat. "Sayang abang ni lebih kuat daripada yang saying dan abang sangka. Dan abang akan sentiasa ada untuk kekasih dunia akhirat abang ni, walaupun dari jauh. Percayalah, abang buat semua ini untuk kita, sayang. Abang perlukan sayang untuk faham dan bagi sokongan pada abang. Itu dah cukup dah untuk abang, sayang"

Ketika Faris berada di luar negara, Irdina berjuang untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai isteri seorang komando. Dia menghadapi kesunyian, kerisauan, dan ketakutan setiap kali dia tidak mendapat khabar daripada Faris. Namun, dia menemui kekuatan dalam sokongan rakan-rakannya dan kenangan indah yang dia kongsi bersama suaminya.

Setiap kali Faris berjaya menghubunginya, suara lelaki itu menjadi penawar kepada segala kerisauannya. Mereka bercakap tentang masa depan, berkenaan tentang rumah kecil yang mereka impikan, tentang anak-anak yang mereka harapkan, dan tentang perjalanan yang mereka ingin lakukan bersama.

"Awak tahu tak, saya selalu tulis surat untuk awak, walaupun saya tak boleh poskan," kata Irdina suatu malam melalui telefon.

"Betul ke? Saya harap saya dapat baca semua surat tu satu hari nanti," balas Faris dengan ketawa kecil.

"Tengoklah nanti kalau awak layak tak nak baca semuanya," jawab Irdina, bergurau tetapi suaranya penuh dengan kasih sayang.

Selepas beberapa bulan, Faris akhirnya pulang dengan selamat. Ketika dia tiba di lapangan terbang, Irdina sudah menunggunya dengan senyuman yang tidak mampu disembunyikan. Mereka berpelukan erat, seolah-olah tidak mahu melepaskan satu sama lain.

"Ya Allah.. rindunya abang dekat pujaan hati abang ni," kata Faris sambil mengusap kepala Irdina yang elok mengenakan bawal coklat cair.

"Saya pun," balas Irdina, air matanya mengalir. "Jangan tinggalkan saya lama-lama macam ni lagi. Janji dengan saya"

"Abang janji. Abang cuba tak pegi lama-lama lagi. Okay, sayang. Senyum sikit. Muncung tu kalau abang cium, memang habis la sayang," kata Faris dengan suara penuh kesungguhan sambil mengusik si isteri yang sudah merah wajahnya dek kena usikan nakal dirinya.

Hari-hari seterusnya diisi dengan momen-momen indah antara mereka. Faris dan Irdina memanfaatkan setiap detik bersama, dari memasak makanan kegemaran mereka hingga berjalan-jalan di tepi pantai, tempat mereka berkahwin. Mereka belajar untuk menghargai perkara-perkara kecil dalam kehidupan dengan senyuman, sentuhan, dan ketawa bersama.

Namun, yang paling penting, mereka belajar untuk saling menyokong walau apa pun cabaran yang mendatang. Irdina menemui kekuatan dalam cintanya kepada Faris, sementara Faris menemui ketenangan dalam kehadiran Irdina di sisinya.

Di suatu petang, ketika Faris sibuk membasuh superbike kesayangannya, dia tersentak mendengar jeritan nyaring isterinya dari dalam rumah. "Sayang!!!! Kenapa ni?!!" Berlari Faris ke atas bilik seraya menjenguk Irdina yang kaku di depan bilik air.

"Abang...", tubuh isterinya dirangkul oleh Faris seraya melihat Irdina masih kaku berdiri sambil memegang sesuatu di dalam tangannya. "Apa tu sayang? Sayang abang.. jangan senyap macam ni.. Pandang abang, sayang. Jangan buat abang risau macam ni, sayang". Wajah Irdina dicekup di dalam tangannya. Ditenung suaminya perlahan.

Diambil pregnancy test yang digenggam Irdina dengan lembut. Seraya melihat keputusan yang tertera, kepalanya didongak semula melihat wajah isterinya yang sudah menangis terharu dan tersenyum manis. "Allahuakabar, sayang.. Rezeki anak, sayang.. Terima kasih isteri abang".

"Awak tahu tak, awak adalah keajaiban yang ditakdir Allah dalam hidup saya," kata Faris sambil mengusap perut isterinya lembut lalu mencium lembut perut isterinya. Irdina hanya mampu tersenyum kecil melihat tingkah suaminya.

"Dan abang adalah sebab untuk saya percaya pada cinta. Terima kasih abang untuk segalanya," balas Irdina, menyandarkan kepalanya di bahu Faris.

Kasih Tercipta (Short Novel)Where stories live. Discover now