Udara malam di tengah Laut Sulu dingin dan menggigit, berbaur dengan bau garam yang tajam. Ombak memukul kuat lambung kapal peronda VAT69 Komando, tetapi Faris tetap teguh di dek kapal, bersiap sedia dengan pasukannya. Malam itu, angin bertiup kencang, membawa berita bahaya bahawa ketika ini pelantar minyak Teluk Emas telah diserang lanun bersenjata. Lebih tiga puluh pekerja dijadikan tebusan, termasuk seorang jurutera muda bernama Irdina.
Faris, seorang anggota VAT69 Komando yang terkenal dengan keberanian dan ketenangannya dalam situasi genting, telah mempersiapkan dirinya untuk misi ini. Namun, jauh di sudut hatinya, ada keresahan yang tidak biasa. Mungkin kerana laporan menyebutkan para lanun bukan sekadar mahu wang tebusan tetapi mereka membawa dendam, yang berpotensi menamatkan nyawa tebusan tanpa belas kasihan.
"Team, kita ada masa kurang dari dua jam sebelum pelantar itu jadi medan maut," kata Faris, suara tegasnya bergema di radio komunikasi. "Fokus pada misi. Kita selamatkan nyawa, tak kira apa yang berlaku."
Di pelantar minyak, keadaan kucar-kacir. Lampu-lampu keselamatan berkelip tanpa henti, dan suasana dipenuhi suara ancaman dalam bahasa asing yang diselangi tangisan dan jeritan para pekerja. Di tengah kekacauan itu, Irdina berlutut di penjuru ruang kawalan, tangannya terketar-ketar memegang radio yang terputus sambungan. Wajahnya berkilat dengan peluh, namun matanya tetap memandang tegas ke arah dua lelaki bersenjata yang berkawal di hadapannya.
"Kalau kau cuba berani buat apa-apa, kau tahu apa jadi, kan? Silap hari bulan kapal ni mandi darah kau" ancam salah seorang lanun dengan senyuman sinis. Irdina mengangguk perlahan, namun dalam hatinya, dia sedang berdoa tanpa henti. Ya Allah, selamatkanlah kami di sini. Kami memerlukan bantuan dariMu, ya Allah.
Sejak kecil, Irdina bukanlah gadis biasa. Dia memilih menjadi jurutera walaupun tahu dunia itu bukan mudah, apatah lagi sebagai wanita. Dunia offshore adalah medan cabaran, namun malam ini, ia lebih daripada sekadar cabaran tetapi telah menjadi satu medan survival bagi dirinya ketika ini.
Sementara itu, Faris dan pasukannya mula mendekati pelantar secara senyap. Dalam kesamaran malam, bayangan pelantar yang besar menjulang kelihatan seperti raksasa logam di tengah lautan. "Sniper, laporan visual," arah Faris.
"Lima sasaran di dek utama, tujuh di ruang kawalan. Ada pengawasan ketat, bos," balas sniper melalui interkom.
Faris mengangguk perlahan. Dia tahu misi ini bukan sekadar soal strategi. Setiap langkah yang salah boleh meragut nyawa orang-orang yang tak bersalah. Namun, dia tidak pernah gentar. Kita hidup untuk melindungi, walau nyawa jadi taruhan, katanya dalam hati.
Di ruang kawalan, Irdina masih cuba mencari jalan untuk membantu dirinya dan rakan-rakan kerjanya yang lain. Meskipun ketakutan, mindanya ligat mencari idea. Dia menyedari satu perkara iaitu para lanun itu tidak begitu mahir dengan sistem operasi pelantar. Mereka hanya tahu mengawal pekerja untuk diadikan tebusan oleh mereka, tetapi tidak sistem teknologi kompleks di sekeliling mereka.
Irdina mula bertindak. Perlahan-lahan, dia mendekati panel kawalan dengan alasan mahu mematikan siren yang menyakitkan telinga. Dia menekan beberapa butang secara diam-diam, menghantar isyarat amaran kecemasan kepada pasukan luar. Namun, seorang lanun menyedari perbuatannya.
"Oi Perempuan! Apa kau cuba buat?!" bentak lelaki itu sambil melayangkan belakang tangan ke wajah Irdina. Tubuhnya terhuyung, tetapi dia tidak menyerah. Irdina menatap lelaki itu dengan mata yang berkaca, namun penuh dengan api keberanian.
"Aku hanya mahu menghentikan siren. Kau sendiri kata bising, kan?" jawabnya, suaranya serak tetapi jelas.
Lelaki itu tersenyum sinis. "Jangan cuba jadi hero kat sini, perempuan. Duduk sebelum kau aku tembak mampus."
Faris mendengar isyarat kecemasan itu melalui sistem mereka. Ada sesuatu dalam isyarat tersebut yang memberi SOS signal dari sistem pelantar itu sendiri tetapi cukup jelas untuk memahami bahawa ada seseorang di dalam pelantar itu yang sedang berjuang dari dalam. Siapa pun dia, dia berani, fikir Faris.
"Semua pasukan, kita bergerak dalam lima minit. Operasi senyap. Ingat, nyawa tebusan adalah keutamaan. Move like a ghost, no trace" katanya melalui radio.
Di atas pelantar, operasi bermula. Pasukan VAT69 bergerak seperti bayang-bayang, menyelinap melalui struktur logam. Faris memimpin di barisan hadapan, tangannya memegang senjata dengan cengkaman yang kukuh. Tembakan pertama dilepaskan oleh sniper, menjatuhkan seorang lanun yang berkawal di dek utama. Dalam beberapa saat, pelantar itu bertukar menjadi medan pertempuran senyap namun sengit.
Faris memimpin pasukannya menuju ke ruang kawalan, tempat tebusan dikurung. Pintu berat itu dikunci dari dalam, tetapi Irdina yang masih di dalam mendengar bunyi tapak kaki yang tidak dikenali. Mujur dia adalah seorang yang sensistif dengan bunyi. Dia menajamkan telinga. Adakah ini pertolongan yang aku doakan? fikirnya.
Dengan keberanian yang luar biasa, dia berdiri dan memecahkan salah satu lampu di siling, mencuri perhatian para lanun. Ketika mereka terganggu, Faris dan pasukannya menerobos masuk. Dalam masa beberapa saat, suasana bertukar menjadi kekacauan. Tembakan dilepaskan, dan jeritan memenuhi ruang kawalan. Irdina merapatkan dirinya ke dinding, cuba menghindari peluru.
Dalam kekalutan itu, mata Faris tertangkap wajah Irdina. Seorang wanita muda, matanya bercahaya dengan semangat meskipun ketakutan jelas tergambar di wajahnya yang kini sedang terperosok di sudut bilik kawalan, melindungi dirinya. Dia segera bertindak, menarik Irdina ke belakangnya untuk melindunginya daripada serangan balas.
"Jangan bergerak!" arah Faris tegas kepada lanun itu, namun suaranya membawa nada perlindungan yang membuatkan Irdina merasa aneh tetapi merasa aman di tengah bahaya.
Dengan kecekapan dan Latihan yang selalu meeka lalui sebagai persedian untuk sebarang situasi kecemasan seperti ini, pasukan VAT69 berjaya melumpuhkan semua lanun. Apabila keadaan kembali tenang, Faris menoleh ke arah Irdina yang masih berdiri kaku di belakangnya.
"Cik okay?" tanya Faris, suaranya lebih lembut kali ini.
Irdina mengangguk perlahan. "Saya okay. Terima kasih, Tuan," jawabnya, namun suara itu hampir tenggelam dalam getaran emosi. Dalam masa itu, mata mereka bertemu serentak, seolah-olah dunia di sekeliling mereka terhenti seketika.
Beberapa jam kemudian, ketika semua tebusan sudah selamat dipindahkan ke kapal Tentera Laut, Irdina masih termenung di tepi dek, memandang ke arah laut. Malam itu, bintang-bintang di langit kelihatan lebih cerah, seolah-olah meraikan keselamatan mereka. Namun, hati Irdina masih bergolak dengan pelbagai perasaan; takut, lega, dan sesuatu yang dia sendiri tidak dapat namakan.
"Jauh betul lamuna tu" suara Faris mengejutkannya.
Irdina berpaling, melihat lelaki yang telah menyelamatkannya berdiri di sisinya. Wajah Faris tampak letih, tetapi ada ketenangan yang memancar daripadanya.
"Tak mudah nak lupa apa yang berlaku tadi. First time alami benda ni. Tak pernah terfikir akan merasa sebahaya ini," jawab Irdina.
Faris mengangguk. "Ia akan ambil masa. Tapi saya rasa awak ni kuat. Saya nampak tadi, awak bukan jenis yang mudah menyerah."
Irdina tersenyum tipis. "Kalau saya menyerah dan tenggelam dengan perasaan takut saya, mungkin saya tak akan berada di sini sekarang."
Mereka terdiam seketika, hanya ditemani bunyi ombak. Kemudian, Faris berkata, "Awak jurutera, kan? Kerja offshore ni bukan mudah. Tapi awak kelihatan seperti tahu apa yang awak buat."
"Biasa jer. I love being on the sea and complex things. Sebab tu saya pilih kerja offshore and plus ayah saya sendiri motivate saya untuk jadi engineer. So it's win-win situation for me. Awak pun apa kurangnya," balas Irdina, memandang tepat ke matanya. "Kerja awak jauh lebih berbahaya."
Faris tersenyum. "Bahaya itu biasa. Dah jadi darah dan rutin hidup saya dah. Tapi ada bahaya yang tak boleh kita elak , macam bertemu orang yang buat kita rasa... berbeza."
Irdina tidak menjawab, tetapi hatinya berdegup kencang. Malam itu, di bawah langit berbintang, takdir mereka mula bercantum; sebuah permulaan bagi kasih yang tercipta di tengah lautan.
YOU ARE READING
Kasih Tercipta (Short Novel)
ContoKetika takdir menemukan Zafran, seorang VAT69 Komando, dan Irdina, seorang jurutera pelantar minyak, cinta mereka diuji dengan risiko, jarak, dan ketakutan. Namun, di tengah-tengah cabaran yang tak berkesudahan, kasih yang tercipta di antara mereka...