Langit senja di Kuala Lumpur bersalut rona jingga keemasan, dan hiruk-pikuk kota perlahan-lahan bertukar tenang. Di sebuah kafe kecil yang terletak di pinggir kota, Irdina duduk di tepi tingkap, matanya memandang keluar ke jalanan yang sesak dengan kenderaan. Di hadapannya, secawan teh tarik yang masih panas mengepul, tetapi fikirannya melayang jauh. Dia sedang menunggu seseorang, sosok seseorang yang telah menyelinap ke dalam hatinya tanpa dia sedari sejak dua menjak ini.
Faris tiba tepat pada masanya, seperti biasa. Dengan langkah yang tenang tetapi penuh keyakinan, dia melangkah masuk ke dalam kafe, mencari wajah yang dia hafal setiap lekuknya. Apabila matanya bertemu dengan Irdina, senyuman kecil terukir di bibirnya.
"Awak tak pernah terlambat eh. Always sharp on time" tegur Irdina dengan nada berseloroh, cuba menyembunyikan debaran yang dirasainya setiap kali melihat lelaki itu.
"Saya ni komando awaknya, disiplin ni keutamaan dalam dunia saya," jawab Faris sambil tersenyum, duduk di hadapannya. "Tapi kalau awak orang yang saya perlu temui, saya rasa tak boleh ambil risiko untuk datang lambat."
Kata-kata Faris membuatkan Irdina tertunduk, menahan malu. Walaupun mereka semakin rapat, Faris masih pandai membuatkan hatinya berdebar. Mereka berbual santai, membincangkan topik-topik kecil seperti tentang kerja, keluarga, dan dunia di sekeliling mereka. Namun, di sebalik percakapan ringan itu, ada sesuatu yang lebih mendalam sedang berlaku. Masing-masing tahu bahawa hubungan ini semakin sukar dielakkan.
Di sebalik senyuman dan perbualan, Irdina menyimpan rasa takut yang tidak pernah diungkapkannya. Hidup sebagai jurutera offshore telah membiasakannya dengan cabaran dan kesunyian, tetapi membuka hatinya kepada seseorang seperti Faris terasa seperti risiko yang jauh lebih besar. Irdina yang dahulunya tidak langsung percaya cinta, membuatkan dirinya lebih keliru dengan perasaannya sendiri. Dia tahu kehidupan Faris penuh dengan bahaya, setiap misi yang dilaksankan olehnya boleh menjadi yang terakhir.
"Pernah tak awak takut bila kaki awak mula melangkah ke dunia kepolisan lagi-lagi dunia komando ni?" tanya Irdina tiba-tiba, memecah keheningan kecil di antara mereka.
Faris memandangnya, sedikit keliru. "Takut apa?"
"Yer la. Skop kerja awak ni.. Bahaya berada di mana-mana. Takut kehilangan orang yang awak sayang... atau takut awak tak sempat nak pulang?" Suara Irdina lembut, tetapi nadanya penuh dengan kejujuran.
Faris terdiam sejenak, merenung dalam mata Irdina yang seolah-olah cuba memahami apa yang bermain di fikirannya. "Tipu kalau saya cakap saya tak takut. Saya takut," akhirnya Faris mengaku. "Tapi saya selalu ingatkan diri saya kalau saya takut untuk hidup sepenuhnya, saya tak akan hargai apa yang ada sekarang."
Kata-kata itu menusuk hati Irdina. Dia tahu Faris berkata benar, tetapi sukar untuk dia menerima risiko itu. "Bagaimana kalau saya tak cukup kuat untuk hadapi semua ni? Awak rasa saya kuat ker untuk menjadi pendamping hidup awak?" bisiknya, hampir seperti bercakap dengan dirinya sendiri.
Faris memandang wajah gadis yang sayu di hadapannya, dengan penuh kelembutan dan ketulusan yang datang dari lubuk hatinya yang dalam. "Awak lebih kuat daripada yang awak dan saya sangka. Dan kalau awak rasa tak kuat, saya akan ada untuk awak, melengkapi dan melindungi awak semampu saya."
Mata Irdina bertemu dengan mata Faris, dan di situ dia menemui kejujuran yang dia perlukan. Malam itu, kasih yang mereka cuba elakkan akhirnya mula berakar dengan lebih kukuh.
Beberapa minggu kemudian, Faris mengundang Irdina untuk bertemu di sebuah taman rekreasi di pinggir bandar. Walaupun dia lebih suka bertemu di tempat yang lebih sunyi, kali ini dia mahukan sesuatu yang sederhana tetapi bermakna.
Irdina tiba dengan mengenakan pakaian yang simple sahaja; seluar jeans dan blouse putih disertakan dengan tudung cream tetapi bagi Faris, dia kelihatan seperti wanita paling cantik yang pernah ditemuinya. Mereka berjalan di sepanjang tasik, berbual tentang pelbagai perkara, tetapi kali ini perbualan mereka lebih mendalam.
"Awak pernah bayangkan apa yang awak nak dalam hidup?" tanya Faris, memecah keheningan di antara mereka.
Irdina mengerutkan dahi. "Huh? Maksud awak?"
"Saya maksudkan... apa impian awak? Selain daripada kerja, selain daripada tanggungjawab. Apa yang awak betul-betul mahukan dan perlukan ketika ini?"
Irdina terdiam, merenung air tasik yang tenang. Dia tidak pernah benar-benar memikirkan perkara itu. "Saya rasa... saya hanya nak bahagia. Tu jer. Selepas ibu dan ayah saya meninggal, saya keseorangan dan juga sunyi. Saya sentiasa sibukkan diri saya dan sentiasa menampakkan diri saya baik-baik sahaja dan bahagia di depan orang. Tapi saya tak pasti apa yang saya boleh buat untuk rasa bahagia tu."
Faris tersenyum kecil. "Kadang-kadang, bahagia itu datang bila kita ada orang yang kita boleh kongsi hidup kita. Orang yang faham siapa kita, dan terima kita sepenuhnya."
Kata-kata Faris membuatkan Irdina merasa sesuatu yang hangat di dalam dadanya. Dia tahu lelaki ini bukan sekadar bercakap tentang orang lain bahkan ketika ini Faris sedang bercakap tentang dirinya. Namun, dia masih takut untuk melangkah sepenuhnya ke dalam hubungan ini.
"Faris, saya takut... saya takut kalau antara kita ini.. tidak berhasil. Saya tak layak untuk sosok seorang yang hebat seperti awak," kata Irdina perlahan.
Faris berhenti berjalan, memandangnya dengan penuh kesungguhan. "Irdina, saya tak boleh janji apa-apa tentang masa depan. Tapi saya tahu satu perkara yang saya tak nak hidup tanpa cuba memberi peluang untuk sesuatu yang saya rasa istimewa. Dan yang istimewa itu awak dan sesungguhnya awak adalah orang yang layak dan tepat untuk saya"
Kata-kata itu membuatkan Irdina terdiam. Di dalam dirinya, dia tahu Faris benar. Kadang-kadang, bahaya dan kesunyian bukan alasan untuk berhenti hidup tetapi alasan untuk hidup sepenuhnya. Dia memandang lelaki itu, dan untuk pertama kali, dia membiarkan dirinya percaya bahawa mungkin ada sesuatu yang indah menanti mereka.
Beberapa hari kemudian, Irdina menerima mesej daripada Faris. Ia hanya sebuah mesej ringkas:
"Saya mungkin tak dapat hubungi awak untuk beberapa hari. Ada misi penting. Tapi saya janji akan kembali."
Mesej itu membuatkan Irdina termenung lama. Dia tahu ini adalah sebahagian daripada kehidupan Faris, tetapi hakikat itu tetap sukar diterima. Apa yang akan berlaku jika sesuatu menimpa lelaki itu? Bagaimana jika janji untuk kembali hanya tinggal kata-kata yang tidak dapat dipenuhi?
Malam itu, Irdina duduk di balkoni apartmennya, memandang ke arah bintang-bintang yang bertaburan di langit. Dia cuba menenangkan hatinya dengan mengingatkan diri bahawa Faris adalah lelaki yang kuat dan berpengalaman. Namun, dia tidak dapat menghalang dirinya daripada mendoakan keselamatannya.
"Ya Allah, lindungi dia," bisik Irdina perlahan, air matanya menitis tanpa disedari.
Di sebuah lokasi rahsia, Faris dan pasukannya sedang melaksanakan misi berisiko tinggi. Walaupun fokus sepenuhnya diperlukan, fikiran Faris kadang-kadang melayang kepada Irdina. Dia sedia tahu risiko hidupnya, selangkah kaki dia telah jejak menjadi komando, hidup matinya adalah komando, tetapi buat pertama kali dalam hidupnya, dia merasa takut untuk tidak kembali.
Ketika peluru bersimpang siur di sekeliling mereka, Faris memikirkan janji yang telah dibuatnya. Aku mesti pulang. Untuk dia. Untuk Irdina.
Selepas beberapa hari, Faris akhirnya berjaya pulang dengan selamat. Dia tidak membuang masa untuk menghubungi Irdina, dan mereka bertemu di tempat biasa mereka , kafe kecil di pinggir kota. Kali ini, Faris kelihatan lebih penat daripada biasa, tetapi senyumannya tetap hadir.
"Assalamualaikum kekasih hati. Saya tunaikan janji saya yang saya akan kembali," katanya dengan nada perlahan tetapi penuh makna.
Irdina memandangnya, mata mereka bertemu. Dalam sekelip mata, semua ketakutan dan keraguan yang pernah dia rasakan seolah-olah hilang. Malam itu, dia tahu bahawa dia telah membuat keputusan dengan memberi sepenuh hatinya untuk mencintai lelaki ini, walaupun dengan segala risiko yang ada.
YOU ARE READING
Kasih Tercipta (Short Novel)
Kısa HikayeKetika takdir menemukan Zafran, seorang VAT69 Komando, dan Irdina, seorang jurutera pelantar minyak, cinta mereka diuji dengan risiko, jarak, dan ketakutan. Namun, di tengah-tengah cabaran yang tak berkesudahan, kasih yang tercipta di antara mereka...