Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Buka saja pintu bilik, matanya terus tertancap pada buku diari milik sang isteri. Diari itu dibawa ke mana-mana saja. Bergenang tubir mata Najmi. Dia yang baru saja pulang dari tanah perkuburan masih lengkap dengan baju melayu serta songkok di atas kepala, terus merebahkan badan di atas katil. Buku diari si isteri diselak lalu dibaca.
Senyuman halus terbit di bibir Najmi. Dia membayangkan wajah Mawar yang cemberut saat menulis ayat-ayat itu.
"Abang, Yas minta ampun atas segala dosa dan kesalahan Yas sepanjang jadi isteri abang. Yas terlalu dan sangat mencintai abang."
"Abang pun terlalu dan sangat mencintai Mawar Yasmeen," ucap Najmi. Dia membalas kata-kata yang ditulis oleh Mawar di dalam diari itu.
"Anak-anak kita yang Yas sedang kandungkan sekarang ni adalah bukti cinta Yasmeen untuk Najmi. Semoga anak-anak mama membesar jadi anak yang berguna dan berbakti untuk papa, ya sayang..."
Pandangannya berbalam dengan air mata. Dia tidak pernah meminta apa-apa sebagai bukti cinta daripada wanita itu. Setiap kebaikan yang pernah dilakukan oleh Mawar terhadapnya, itu sudah cukup untuk membuktikan betapa wanita itu mencintai dirinya.
"Kalau mama dah takde lagi untuk menemani papa, semoga anak-anak mama sentiasa ada menemani papa di setiap langkahnya. Jadilah anak yang berguna dan berbakti kepada papa. Anak-anak mama adalah satu-satunya harta tak ternilai yang mampu mama hadiahkan buat papa."
Esakan halus mula kedengaran. Dia menyambung kembali bacaannya dengan air mata yang berlinang.
"Amaran keras!!! Kalau abang nak cari bini baru, pastikan bini baru abang tu boleh terima dan sayang anak-anak kita setulus hatinya!! Dan yang penting, dia sayang abang lebih daripada Yasmeen sayangkan abang!"
Tawa halus terlepas daripada mulut Najmi walaupun air mata masih mengalir. Sempat juga isterinya berpesan begitu.
"Mustahil abang akan cari orang lain, sayang. You're irreplaceable," kata Najmi.
"Terima kasih sebab layan kerenah Yas, layan Yas mengidam pelik-pelik. Kesian abang, kan? Yas selalu menyusahkan abang. Kejut abang tengah-tengah malam minta urut pinggang, kacau abang tidur sebab lapar. Kesian abang kena layan perangai Yasmeen yang macam budak-budak ni."
Najmi terkenang kembali sewaktu Mawar mengidam nak memancing. Isterinya itu beriya-iya mahu pergi memancing. Namun, apabila dia teringat pantang-larang orang tua yang tidak membenarkan suami memancing sewaktu isteri sedang mengandung, Najmi bingung harus bagaimana.
Entah dari mana dia dapat idea, dia belikan set permainan memancing itik tu. Dengan muka tak bersalah, dia bawa pulang permainan tersebut. Tersebik-sebik muka Mawar menahan tangis. Bukannya dia nak memancing itik, dia nak memancing ikan!