BAB 1

840 11 0
                                    


Dua ekor burung berterbangan, satunya di hadapan manakala satu lagi di belakang. Mereka saling berkejaran. Saya mengecilkan kelopak mata bagi melihat kedua ekor burung tersebut. Kelihatannnya seperti burung pipit. Ya memang tidak salah, burung pipit. Mereka seperti pasangan yang sedang hangat bercinta. Saya cuba untuk berfikir positif. Mungkin keduanya berlainan jantina. Fitrah haiwan juga sama seperti manusia. Suka kepada lainan jantina. Keletak-keletuk-keletak - saya kembali mengetuk paku yang bersaiz satu inci ke dalam tapak kasut kulit yang jenamanya sudah makin pudar bersama haus tapaknya akibat di gasak keras di atas permukaan jalan. Saya taakul kasut tersebut dan ia mungkin berjenama Bonia. Pemiliknya orang tua seingat saya. Ya memang orang tua dan sebentar lagi dia pasti datang.

Keletak-Keletuk-Keletak

Mata saya meliar memerhatikan persekitaran. Sesak dan padat dengan manusia. Saya memang cukup mahir melakukan dua kerja dalam satu masa. Memerhati dan menukang. Itu memang kemahiran saya sejak 10 tahun dahulu. Kota Kuala Lumpur ini mempamerkan seribu satu jenis manusia yang saya sendiri tidak jangka kehadirannya. Dari yang muda, tua, hitam, cerah, gemuk, kurus dan berbagai lagi jenis manusia. Saya cuba menahan diri dari berkata 'yang badan berbau hapak'. Dapat. Ya saya dapat mengangkap satu pergerakan tubuh yang saya fikir itu merupakan pergerakan yang menarik pada hari ini.

Kiri Kanan Kiri Kanan

Pergerakan itu seperti sudah diatur dengan kemas dan turun naiknya tidak pernah tersilap. Satu bongkah daging pejal yang bersimetri itu dibalut kemas dengan kain berwarna merah hati yang sendat dan licin. Rambutnya yang ikal dibiarkan mengurai. Dia umpama bidadari di tengah ribuan jembalang. Kehadirannya begitu senang dikesan kerana dia lain dari yang lain. Bukan biasa-biasa. Bukan sepasang mata bundar saya sahaja yang melihat, malah ribuan lagi mata galak tidak mungkin akan melepaskan pandangan terhadapnya.

Saya cukup kenal dengannya. Setiap hari bekerja, memang saya akan melihatnya. Saya tidak mengenali namanya, bercakap dengannya pun seingat saya tidak pernah, tetapi saya tahu rutin hariannya. Tepat pada pukul dua belas tengahari, dia akan keluar dari tempat kerjanya untuk mengisi perut yang kosong. Kadangkala dia bersendirian, kadangkala dia berteman. Dia merupakan santapan setiap mata yang melihat pada hari bekerja. Dia bukan kasta yang tepat bagi saya begitu juga saya. Kami berlainan darjat, dia umpama enggang dan saya hanya pipit. Ya burung pipit yang saya perhatikan tadi dan itulah saya secara realitinya. Mana mungkin kami akan bersatu. Saya tidak pernah memasang impian untuk duduk bersama dengannya di atas sebuah pelamin yang empuk dan harum sambil di apit kiri kanan dan disiram air mawar. Tidak-Pernah.

Cukup sekadar memerhatikannya dari jauh dan itu membuatkan saya sudah berasa gembira. Saya sangat senang orangnya. Tidak cerewet. Okay mungkin saya tipu, saya cerewet sedikit dalam bab makan. Saya tidak makan makanan pedas. Pedas membuatkan saya menjadi lemah. Sama seperti Superman yang apabila di berdepan dengan batu hijau yang di gelar Kryptonite, Superman juga akan menjadi lemah. Lemah selemah-lemahnya. Bagai badak yang disuntik ubat pelali. Sebab itu saya suka Batman. Batman handal berlawan dan...

"Mim... kasut dah siap?"

Lamunan saya tadi terhenti secara tiba-tiba kerana di sapa oleh satu suara yang saya kenal. Ya, dialah orang tua yang saya katakan tadi. Saya tidak tahu namanya. Dan saya gelarkan dia sebagai orang tua sahaja. Orang tua yang segak memakai topi beretta tidak kira ke mana sahaja. Saya fikir itu merupakan salah satu cara yang digunakan untuk melindungi kepala yang sudah mula kehilangan rambut diragut usia. Walaupun begitu, orang tua itu tetap kelihatan segak kerana dia sentiasa berpakaian kemas dan berbau wangi yang meradak hidung orang disekelilingnya. Saya baru mengenalinya semalam. Dia merupakan pelanggan saya yang paling lewat, selewat kedai saya mahu melabuh tirai. Itu perumpamaan saja, kedai saya tidak pernah mempunyai tirai atau langsir. Semalam orang tua itu mahukan kasutnya dengan segera. Dia akan ke Pulau Pinang pada malam ini. Itu tidaklah mendatangkan masalah kepada saya, kasut pelanggan yang terdapat di kedai saya tidaklah banyak. Saya mampu menyiapkannya. Kasut orang tua itu hampir siap. Saya cuma perlu kilatkan sahaja dan semuanya siap.

KIAMATWhere stories live. Discover now