Pahang, 1996
10 bulan selepas kejadian
Tamim merenung jauh melihat pemandangan. Renungannya mati pada satu arah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bintara Hulu. Sekolah di mana dia menuntut ilmu sejak dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima. Tamim berada di atas puncak bukit yang terletak di kawasan perumahannya. Di situ memang menjadi tempat lepak bagi penduduk setempat kerana kawasan itu sungguh tenang dan jauh dari kesibukan jalan. Sebatang pokok besar dua pemeluk itu rendang dan elok tertanam di atas puncak bukit tersebut. Pokok tersebut mungkin sudah berumur ratusan tahun tapi masih teguh tidak diragut usia. Pokok itu juga setia di situ menjadi penyeri bukit tersebut walaupun badannya terdapat puluhan ukiran cinta seperti 'Saleh love Tina', 'Sam was here' , 'Adam hawa bersatu' dan banyak lagi ukiran-ukiran cinta yang terpahat kekal disitu. Kewujudan pokok tersebut juga dapat melindungi orang yang berkunjung dari terkena pancaran matahari. Dan kini tugas pokok itu melindungi Tamim yang sendirian di situ.
Keputusan peperiksaan SPM akan keluar pada keesokan harinya. Tamim merupakan satu-satunya pelajar harapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bintara Hulu untuk memperoleh 9A di dalam semua mata pelajaran. Calon-calon lain berserta empat orang guru pengiring telah terlibat di dalam nahas kemalangan tanah runtuh sepuluh bulan yang lepas. Kesemua yang terlibat di dalam nahas tersebut telah mati di tempat kejadian kerana bus yang mereka naiki itu terjatuh ke dalam gaung. Berikutan daripada peristiwa tersebut, ianya sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada Tamim kerana pihak sekolah meletakkan harapan yang sangat tinggi kepadanya.
Kring! Kring!
Bunyi loceng basikal itu milik Fatin. Fatin merupakan teman rapat kepada Tamim. Dia telah menjadi kawan baik kepada Tamim sejak dari tingkatan satu lagi. Bezanya mereka adalah kelas yang tidak sama. Fatin tidak sepandai Tamim, tetapi itu tidak membuatkan Tamim tidak mahu berkawan dengannya.
"Masih fikirkan pasal Husin ke mim?"
"Hish...kau ni buat aku terperanjat jela, ingat hantu manalah tadi" Tamim tersentak dengan sapaan Fatin yang secara tiba-tiba
"Tak kan lah orang secantik aku ni kau nampak macam hantu. Benci ah" balas Fatin sambil mencebikkan bibir.
"Sudah jangan nak merajuk, aku tak nak pujuk pun. Lain kali datang bagi salam ye mak cik cantik"
"Hehe...asamekom"
Fatin kembali tersenyum. Pada petang itu Tamim tidak keseorangan kerana Fatin datang menemaninya. Fatin memang cukup rapat dengan Tamim. Selain Husin, Fatin merupakan sahabat baik kepada Tamim. Segala masalah akan dikongsikan bersama. Samada suka atau duka. Mereka telah membuat perjanjian bahawa tiada rahsia antara mereka. Beza antara Fatin dan Husin adalah berlainan jantina dan kini Husin telah tiada. Pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Fatin merupakan anak dari keluarga yang berada, tidak seperti Tamim yang datang dari keluarga yang kurang senang. Kesusahan itu membuatkan Tamim bertungkus lumus untuk mengubah nasib keluarganya. Walaupun keluarga Fatin kaya, dia tidak pernah menunjukkan kekayaannya apabila bersama kawan-kawannya. Fatin memang seorang yang rendah diri dan baik hati.
Gadis kecil molek itu memiliki sepasang mata bundar yang berwarna coklat terang dan bulu mata yang melentik. Tahi lalat manis yang elok terletak di sebelah dua ulas bibir. Bibirnya yang mungil seperti dua ulas limau yang baru lepas dikupas membuatkan dia kelihatan menawan apabila dipandang. Wajahnya mampu memukau setiap mata pelajar lelaki di Sekolah Bintara Hulu. Semua lelaki melihat syurga di dalam matanya. Siapa yang tidak berkehendak memiliki Fatin bukan lelaki tulen namanya. Aura Fatin memang tidak terkalah. Umpama ratu di Sekolah Bintara Hulu. Harum tubuh sentiasa memukau orang di sekeliling. Seperti sang ratu yang dimandikan dengan air kasturi.

ANDA SEDANG MEMBACA
KIAMAT
ActionAssalamualaikum Tamim bin Abu Bakar adalah nama saya. Saya anak yatim. Telah kematian emak dan tidak berbapa. Saya tidak kenal siapa anda, dan anda juga mungkin tidak kenal siapa saya. Saya tidak tahu bagaimana anda memiliki buku ini. Jika anda meme...