3. Ah Tong

255 4 0
                                    

"Aku blah la Tih," aku bersuara sedikit menjerit dalam bingit bunyi musik kelab malam macam guruh berdentum dalam ribut taufan.

Cahaya laser warna-warni menyimbah dalam suasana cahaya samar-samar. Wajah-wajah orang sekeliling pun tak berapa nampak sangat. Aku meneguk air bergas dari cawan atas meja.

"Lepak la dulu awal lagi kot bukan ada bini pun dekat rumah," suara Putih juga sedikit menjerit tenggelam dalam bunyi musik yang membingitkan telinga.

Aku diam malas mahu melayan Putih yang sudah mabuk. Cawan air yang sudah kosong aku letak kembali di atas meja. Seorang gadis pelayan mahu menuang beer ke dalam cawan yang sudah kosong.

Aku tutup mulut gelas dengan tapak tangan sebagai isyarat dia tidak perlu menuang air. Sebenarnya aku tak minum arak. Air coke aku cuma secawan sudah habis.

"Ko bawak air kosong," aku bersuara di tepi telinga gadis pelayan. Entah apa dia fikir order air kosong di kelab malam. Ah, lantaklah. Peduli apa aku. Gadis pelayan berlalu dari meja kami. Aku mengikut langkah dia dengan pandangan sampai dia hilang dicelah manusia ramai dalam cahaya suram di simbah lampu warni-warni yang berkelip mengikut musik.

Pening juga dengan bau arak dan orang ramai yang sudah bercampur baur dalam ruang sempit macam ni. Aku yang tak tahu nak buat apa dalam suasana macam ni cuma memandang keadaan sekeliling.

Di satu sudut sekelompok orang ramai asyik bergoyang dihiasi cahaya warna-warni dan bunyi bingit musik. Aku cuma nampak orang ramai bergoyang-goyang dalam suasana lampu suram, berhibur katanya. Berhibur apa macam ni, Gila.

Tengah ralit aku memerhati orang ramai dan gadis pelayan yang macam tak pakai baju menari bergoyang di pentas menari seorang budak muda dari mukanya aku agak umur lebih kurang sebaya aku datang menghampiri. Dia datang betul-betul dekat aku, lalu berdiri di sebelah.

"Senyap je bro," dia berteriak di sebelah muka aku melawan bunyi bising. Tapi tak adalah sampai menjerit, kalau dia menjerit tepi telinga aku makan botol beer dia.

Aku cuma menggeleng kepala, apa gila nak berborak dalam tempat bising macam ni.

"Nak five bro," dia mempelawa. Aku geleng kepala. Aku tunjukkan pada dia Putih yang sedang berborak dengan entah siapa, di meja sama dengan aku cuma berselang beberapa kerusi. Putih yang pesan awal-awal tak payah masuk campur hal yang dia tengah bincang. Nanti lepas selesai dia cerita semula dekat aku.

Budak muda tu aku tengok cuma mengangguk. Dia mempelawa minum dengan isyarat ibu jari di hala ke mulut. Aku geleng kepala. Memang susah nak bersuara dalam bunyi yang mengalahkan bengkel besi macam ni. Selesai urusan budak itu aku agak, dia terus berlalu menuju ke meja bar, tempat minuman di sediakan tak jauh dari meja aku.

Budak muda tu cuma duduk mengadap air di depan dia dan bercakap dengan bartender. Aku tengok gerak geri dia sebab dia nampak lain macam lepas aku aku kata aku datang dengan Putih. Aku agak dia memang tokan dalam ni sebab selama aku duduk dah berjam-jam dia seorang sahaja yang offer nak sambar biji. Tapi aku tak kenal dia. Mungkin grup lain. Lagipun budak-budak aku memang tak masuk kelab.

"Yid," suara Putih menggegar gegendang telinga aku yang sudah makin lali dengan bunyi bingit musik kelab. Aku angkat kepala sikit isyarat bertanyakan kenapa.

Dia pusing sedikit kepala, aku agak dia ajak berlalu dari situ. Aku bangun dari kerusi lalu mendekati Putih.

"Mana?"

"Jom blah, Tong ajak port lain," kata Putih dan berlalu menyertai seorang budak muda yang dia berborak dalam bising dari tadi lagi. Tahupun engkau. Gila ke apa berbincang dalam bising macam ni.

Kami bertiga berlalu dari meja menuju ke satu sudut dalam kelab yang suram itu. Sudut tu ada pintu yang aku sendiri tak perasan kewujudannya. Nampak macam sekata dengan dinding kelab yang dihiasi lampu warna-warni menyimbah ke permukaan dinding.

Dalam bilik kecil itu tersedia sofa bersaiz besar. Selesa lagi kalau duduk dalam enam orang. Sekarang cuma kami bertiga yang duduk dalam tu. Aku mengembil tempat agak jauh dari Putih dan kawannya yang duduk dekat berdua. Di depan kami ada meja kaca dengan beberapa cawan kosong siap tersusun.

"Yid, ni Ah Tong bos kita, bos pada Mat Pek," aku berpaling muka mengadap wajah cina di tepi Putih. Seketika aku dengan cina tu bertentang mata.

"Aku dengar Mat Pek dah nak keluar," Ah Tong mula bersuara. Kali pertama aku dengar suara cina ni. Tak kuat sangat pelat cinanya. Fasih berbahasa melayu. Mungkin dia banyak berurusan dengan melayu sampai hilang pelat melayunya.

"A'ha, hujung bulan ni Mat Pek keluar," Putih menjawab pertanyaan Ah Tong. Aku rapatkan sedikit kedudukan dengan mereka berdua bila nampak isyarat kepala dari Putih mengarah aku merapati mereka.

"Aku ajak Syahid ni pergi angkat Mat Pek dekat sana," Putih menyambung cerita. Aku masih diam, tak ada apa rasanya nak masuk campur perbincangan mereka.

"Aku dapat tau Mat Pek kena letak dekat kampung, dekat Pahang," Ah Tong berhenti bercakap lalu melihat telefon bimbit.

"Kau tolong cover Mat Pek dekat kampung tu, dia kena jaga kawasan sana," Ah Tong bersuara kuat sambil melihat telefon bimbit di tangannya. Putih mengangguk kepala macam ayam mengutip makanan di tanah dengan paruh.

"Budak sana macamana?" Putih memandang Ah Tong yang masih menumpukan perhatian ke telefon bimbit.

"Aku dah uruskan, budak sana semua ambik barang dekat Mat Pek, kau dengan mat ni cover Mat Pek dari sini," Putih masih dengan reaksi macam tadi. Aku pula masih mendiamkan diri.

"Lu apahal mat diam je," Ah Tong mengalih pandangannya pada aku, menentang mata aku yang sedang menumpukan perhatian pada dia. Seketika kami bertiga diam.

Aku dengar bunyi pintu ditolak. Seorang gadis masuk dengan bucket berisi botol beer dan secawan air berwarna hitam atas dulang di tangannya. Dia menyusun bucket berisi beberapa botol arak berwarna hijau dan air secawan dia letak depan aku. Gadis tu senyum pada aku masa letak air di depan aku dan aku balas senyuman dia. Mengata aku dalam hati lah tu.

Ah Tong keluarkan duit dari poket dan hulur pada si gadis bertubuh montok berpakaian seksi itu. Aku perhatikan wajahnya macam orang melayu. Sebaik mengambil wang dari Ah Tong dia terus berlalu, dan aku mengikutinya dengan pandangan sampai ke pintu.

"Sapa nama kau," Ah Tong berkata sambil mengangkat kepala memandang ke muka aku. Putih menuang beer ke dalam cawan kosong dari botol dalam bucket.

"Syahid, orang panggil Yid," aku menjawab pertanyaan Ah Tong, lepas jawab aku capai air coke di depan.

"Putih sudah cerita pasal ko, aku nak bagi ko job," Ah Tong berhenti berkata-kata bila melihat Putih selesai menuang air ke dalam cawan. Dia mencapai cawan di meja dan meneguk air lebih kurang setengah cawan.

"Aku nak ko bawak barang pergi tempat Mat Pek kena hantar," aku mengangguk kepala mendengar arahan Ah Tong. Putih cuma mendiamkan diri mendengar cakap-cakap aku dengan Ah Tong, memandangkan dia di tengah-tengah antara kami berdua.

"Nanti aku panggil budak hantar barang dekat tempat ko," Ah Tong menyambung cakapnya bila melihat aku dan Putih cuma mendiamkan diri. Sebenarnya memang tak payah cakap, dan kami diajar untuk cuma mengikut arahan yang sudah ditetapkan.

"Ko lagi ada hal Putih," Ah Tong mengalih perhatian pada Putih, aku tengok Putih cuma menggeleng kepala. Kemudian Ah Tong mengalih pandangan pada aku pula. Aku juga gelengkan kepala. Dia bangun dan terus berlalu meninggalkan kami berdua dalam bilik kecil itu.

Aku dan Putih juga bangun dan terus berlalu.

TamatWhere stories live. Discover now