Bab 5
"MENGANTUK LAGI?" Rayn perasan kelat mata Pearl sewaktu hidangan sudah berada di hadapan mereka. "Awak nak kopi? Atau teh?"
"Teh." Bisik Pearl pendek.
Rayn angguk.
Seperti hidangan pertama, kali ini Pearl jamah menu yang sama. Menguap yang Rayn perasan tadi, memang dia tak dapat kawal. Walau sudah cuci muka, dia masih mengantuk. Minum susu pula. Santapan ala-ala memanggil katil sungguh.
Sepuluh minit kemudian, isi dulang hidangan Rayn yang hampir licin, dan isi dulang Pearl Ratna yang masih penuh, diambil semula oleh pramugara. Hidangan kini berganti dengan secawan kopi dan secawan teh di meja masing-masing.
"Emm, Pearl. Nanti awak balik mana?" Jari Rayn mula memusingkan pengaduk air plastik putih.
Pearl toleh ke kanan. Dia angkat kening. Ada rasa curiga timbul di benak fikiran. Dia berpergian solo. Perlu lebih hati-hati. Zaman sekarang, ada orang jahat yang berpakaian ibarat mahu ke pejabat. Sudahnya Pearl cuma tayang senyum tanpa sebarang jawapan. Dan kembali tunduk menghadap cawan teh. Tangan dia mula meniru gaya tangan Rayn.
"Bukan apa, sleepyhead-"
Pearl kembali teleng ke kanan dan bicara lelaki itu turut terhenti. Apa Rayn panggil dia? Reynolds Hanafi! Nasib sahaja dia tak boleh nak menjawab. Tapi sumpah, Pearl dah tak boleh nak tayang wajah serius lagi.
Rayn sengih. "Awak marah ke? Betul, kan?" Rayn angguk ringan. "Awak memang mengantuk lagi, kan?"
Pearl kejap pengaduk plastik di antara dua bibir. Dia nak mengelak daripada turut sama menyeringai.
Tapi ada betulnya juga apa yang Rayn katakan. Kalau dia naik bas transit nanti, mungkin sahaja dia tidur pulas sehingga ke pusat bandar. Adik beradik Reynolds ini pulang ke Central Business District juga ke? Naik bus transit yang sama? Kalau sama, boleh dia ikut sekali.
"Takkan awak nak balik CBD sorang-sorang? Lalok macam ni? Bahaya tau." Rayn pusing-pusingkan cawan yang masih berisi. "Jangan anggap dia orang tu duduk negara maju, pemikiran pun semua maju. Ramai lagi yang tak ada kesedaran sivik. Yang sakit mental pun ramai juga."
Pearl Ratna angguk perlahan.
Memang betul. Apa yang Rayn cakap sama seperti apa yang berlaku di kejiranan lama dia. Di tengah Bandar Melbourne juga. Seorang jiran lelaki telah ditangkap. Dia selalu anggap lelaki yang berusia awal 30-an itu pelajar juga, sebab nampak sivil 24 jam. Dengan gaya nerdy, dan sentiasa nampak kemas. Tapi di sebalik gaya mesra dengan anak-anak jiran yang lain, lelaki itu rupa-rupanya pesalah kes pedophilia yang sedang diburu polis. Betapa naifnya pengamatan dia.
Sekarang ini, kalau dia beritahu Rayn yang dia akan pulang ke arah mana, apa akibatnya? Pearl Ratna capai buku nota dan letak di atas penghadang antara tempat duduk mereka. Pen yang terselit lama di poket kerusi kini diambil semula.
La Trobe St.
Kemudian bibirnya bertanya bisu ke arah Rayn. Awak?
Tapi lain pula jawapan yang dia terima. Lelaki itu sudah tayang wajah terkejut. Apahal ni?
"Ya Allah! Pearl!" Rayn raup wajah. "Dekatnya rumah kita!
Pearl gantung kening. Maksud? Dekat? Dekat yang macam mana? Orang lelaki memang suka cakap ayat tergantung ke?
"Pearl, saya tinggal dekat Arrow, dekat Swanston Street. Awak di La Trobe Street. Pearl Ratna, kita berjiran!"
Pearl ketap bibir sambil renung sepasang mata buntang di sisinya. Mereka berjiran? Mana ada! Pearl geleng sambil sua cawan teh sedikit. Kemudian teh dicicip perlahan-lahan. Dia masih tak gemar bercerita tentang butiran rumah kepada orang yang baharu dia kenal. Cukuplah dia berikan nama jalan sahaja. Boleh kan?
YOU ARE READING
Pearl
ChickLitBLURB: PEARL "You define your own happiness. Kita tak perlukan lelaki yang sesuka hati tarik rasa bahagia kita semudah macam tu! Kenapa perlu bersedih hanya kerana seorang lelaki yang tak mahukan kita?" Ya Pearl, kenapa? Kenapa? Dan kenapa ayat-ayat...