Bab 9

2.8K 62 1
                                    

Bab 9

CAHAYA matahari yang memancar masuk ke dalam bilik begitu menyakitkan matanya. Perlahan-lahan mata dibuka. Pandangan yang samar pada mulanya bertukar jelas setelah dipejam celik berkali-kali. Pelik. Ke mana perginya Aida? Jam di dinding bilik dipandang sekilas. Sudah jam tiga petang! Ya Allah, lama sungguh dia tidur! Cepat-cepat dia bangkit.

Terasa lenguh-lenguh dan sakit badan. Barulah hari ini terasa kesan sakit di muka dan badannya! Bagai direnyuk dan digusti oleh Hulk pula rasanya. Dia melangkah keluar dengan hanya berseluar panjang dan tidak berbaju. Wajah pertama yang dicarinya sebaik sahaja mata menyapa ruang tamu ialah wajah Aida. Aida tiada.

Wajah Ayah Chik dan Achik menyapa matanya. Pasangan tua itu hanya tersenyum memandangnya. Mereka sudah tidak marahkah dengan apa yang sudah berlaku?

"Bangun pun..." Achik menegur lembut.

Hafizul agak pelik dengan cara Achik menegurnya. Penuh keibuan. Sama macam dulu-dulu. Achik dah tak marahkan dia ke? Tapi, dia tetap membalas soalan Achik dengan senyuman dan anggukan.

Tangan Achik disalami penuh hormat. Achik menyambut elok tangan menantunya. Air matanya bergenang. Hati ibu mana yang tak rindukan anak? Hafizul sudah dianggap bagai anak kandungnya sendiri.

"Macam mana? Sakit badan?" sapa Ayah Chik sambil menepuk bahu Hafizul.

Mungkin berbangga dengan kemenangan Hafizul malam tadi. Hafizul tersengih. Salam dihulurkan kepada ayah mertuanya pula. Semakin pelik dia dengan layanan elok yang diterima. Adakah kerana wajahnya yang sudah menyerupai badut itu?

"Sakit jugaklah. Lenguh-lenguh bangun tadi." Kata Hafizul sambil tersenyum kekok. Sudah lama mereka tidak berbual begini selepas kejadian dulu.

"Saya tak berniat nak langgar janji saya pada Aida, tapi... semalam saya terfikir kalau saya tak sempat jumpa dia..." Hafizul berkata penuh rasa bersalah. Achik dan Ayah Chik berpandangan sesama mereka. Hafizul fikir mereka juga 'dalang' di sebalik perjanjian Aida itukah?

Selama ini mereka fikir Hafizul seorang yang tidak bertanggung jawab dan pengecut. Tak sangka ada sebab lelaki itu tidak pulang menjenguk mereka di kampung. Aida, Aida...

"Tak apa. Dah lama kami tunggu Pijoi balik. Pergi basuh muka dulu. Makan dulu siap-siap." Arah Achik lembut.

Hafizul mengangguk menurut. Dia memanjangkan langkahnya ke bilik air untuk membasuh muka. Kelibat dan wajah Aida masih tiada menyapanya. Mungkin Aida ada di luar rumah, sedang meladeni perasaan di pangkin. Fikirnya.

Dia melabuhkan punggung ke kerusi di meja makan. Aris datang ke dapur mengambil air dari peti untuk diminum. Aris kemudiannya duduk di hadapan Hafizul. Wajahnya tegang. Hafizul mula rasa takut apabila berdua-duaan dengan Aris. Bimbang juga jika dia dipukul hari ini. Sudahlah bengkak-bengkak semalam tidak surut lagi. Harapnya Aris sekadar duduk membatu saja.

Bukannya dia tak dapat nak tangkis sekiranya diserang Aris, cuma dia tak mahu bersikap kurang ajar.

"Macam mana kau boleh masuk battle tu?" soal Aris dengan suara mendatar. Nak kata dia berminat nak tahu, tak juga. Mungkin sekadar bertanya. Fikir Hafizul. Pelik juga mendengar soalan daripada Aris itu. Mungkin Aris sengaja mahu berlagak seperti biasa. Hubungan mereka dulunya elok sangat.

"Uncle Lim uruskan semua. Uncle dengan Ikmal. Aku masuk beraksi aje." Jawab Hafizul kekok. Aris mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Minuman diteguk. Halkum turun naik. Matanya tidak lepas dari memerhati wajah bengkak-bengkil Hafizul.

"Not bad." Kata Aris dengan muka seriusnya.

"Apa yang not bad? Muka aku ni ke?" soal Hafizul. Bukannya dia tak perasan cara Aris pandang dia. Macam nak telan. Kalau dia anak dara, harus dia takut. Buat pertama kalinya, Aris tersenyum nipis mendengar soalannya.

Salah Siapa?Where stories live. Discover now