Sang peri lukisan

2.2K 86 42
                                    

Afqar menguis-nguis sisa nasi lemaknya. Di kutip-kutip butir nasi yang masih tinggal. Kekacang yang mulanya diketepikan juga disuap kembali ke dalam mulutnya. Sama juga dengan ikan bilis. Sebagai seorang kanak-kanak, seleranya memang cerewet. Mahu makan nasi lemak, tapi tak suka timun, tak suka bilis, tak suka telur kuning, tak suka kacang. Namun dikutipnya jua sehingga licin demi melegakan kelaparan yang menggigit dinding perutnya.

Afqar baru berumur 11 tahun. Tinggal sebatang kara. Sudah lama Afqar tidak bersekolah. Jika ditanya, Afqar sendiri tidak tahu status dirinya. Nak kata gelandangan, dia berumah. Nak kata berada, dia sentiasa kelaparan. Yang pastinya Afqar yatim piatu. Sudah setahun lebih ibu-bapanya pergi meninggalkannya hidup berseorangan. Namun Afqar jarang merungut. Dia lebih suka menghabiskan masa bersendirian di dalam rumah itu. Meskipun hidupnya sukar, namun Afqar tidak pernah suka untuk meminta-minta.

Ada sebabnya dia suka bersendirian. Pernah dahulu dek kerana lapar, Afqar merayau-rayau di pekan. Sekejap-sekejap ada orang yang terlebih concern. Ada yang nak mengambilnya jadi anak angkat. Tak kurang juga yang nak hantar dia ke Pusat Kebajikan Masyarakat. Tetapi Afqar tak mahu semua itu. Dia mahu apa yang dia mahu, dan hanya dia tahu apa yang dia mahu. Perkara teratas di dalam senarai kemahuannya mestilah almarhum dan almarhumah ibu dan bapanya. Namun Afqar sedar itu mustahil untuknya.

Setiap hari adalah lagi satu episod survival dalam hidup Afqar. Jangan cakap pasal benda lain. Pasal makanan pun sudah cukup mencabar. Afqar tinggal di rumah setinggan yang dibina oleh arwah orang tuanya. Rumah-rumah setinggan lain sudahpun dirobohkan, penduduknya juga telah ramai yang berpindah untuk duduk di PPRT. Tapi Afqar tetap setia menjadi penghuni rumah itu. Walaupun hidupnya sedikit tidak terurus. Tapi baginya cukuplah begitu. Cukuplah dapat makan sekali dalam sehari dua. Dan teruskan hidup. Itupun jika inilah yang dipanggil kehidupan. Sebab kadang-kadang apa yang dipanggil kehidupan lebih terasa nerakanya buat Afqar.

Dulu pernah juga Afqar memasang impian. Mahu jadi orang yang berjaya, capai cita-cita dan bahagiakan ibu bapa. Kini, ibu bapa pun dah tak ada untuk dibahagiakan. Impian Afqar pula hanyalah untuk terus hidup selama yang boleh. Afqar suka melukis. Tapi dia tak ada kertas. Suatu hari Afqar mengutip batu-batu kapur yang bersepah di kawasan perumahan baru. Banyak batu kapur yang pecah-pecah jadi ketulan kecil. Afqar mengutipnya lalu dijadikan alat melukisnya. Kanvasnya pula mudah. Dinding rumahnya. Macam-macam yang dilukis Afqar.

Mula-mula Afqar cuma lukis benda-benda random. Tiba-tiba suatu hari tu Afqar tersangat lapar. Tapi dia tak ada sesen pun untuk membeli makanan. Afqar lukis pizza. Sambil melukis, dia membayangkan bagaimana rasanya pizza tersebut. Seumur hidupnya tak pernah pun makan pizza. Tapi dia pernahlah tengok iklan pizza di kaca TV dan papan-papan iklan. Nampak menarik. Dia tak pasti apa rasa sebenar pizza. Namun cukuplah dia membayangkan doh pizza yang lembut bersama ketulan ayam dan rasa masam-masam dari sos yang digunakan. Begitulah kot rasanya pizza kata hatinya.

Afqar tertidur melayan imaginasi dan himpitan rasa lapar yang menyeksa temboloknya. Dia terbangun apabila bau makanan menerobos deria hidunya. Bau itu lantas membuatkan perutnya merembeskan enzyme-enzyme penghadam makanan dengan lebih ligat. Nah sekotak pizza berada betul-betul di tepi tempat dia berbaring. Misterius betul. Diamatinya pizza tersebut, diamatinya pula lukisannya di dinding yang entah apa-apa. Afqar sentuh. Masih panas, walaupun tidaklah sesegar yang keluar terus dari dapur. Malas berfikir panjang, terus Afqar ambil satu slice dan suap ke dalam mulut.

Enaknya membawa Afqar melayang jauh.

Tak pernah dia rasa senikmat ini. Hidangan paling sedap datang tepat waktu perutnya bergurindam. Dia sendiri kurang percaya ini realiti atau mimpi, atau dia sudah mati kelaparan dan sudah sampai syurga? Digosok-gosok matanya dengan jari untuk memastikan ini bukan mimpi.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 06, 2015 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Nasi Kandar Cerita CampurWhere stories live. Discover now