FARIS menongkat dagu sambil menyelak helaian akhbar di atas meja itu. Air di dalam gelas sudah tinggal hampir separuh. Bayang Asmida masih tidak kelihatan. Adakah gadis itu sudah tidak sudi bertemu dengan dia? Tidak sudi mendengar keluh-kesahnya lagi? Tidak sudi berkawan dengannya? Faris membuat tafsiran sendiri.
Asmida mungkin kelihatan seorang yang gadis yang pelik tetapi firasatnya mengatakan gadis itu seorang yang boleh dipercayai. Gelagat Asmida yang kelam-kabut itu selalu mencuit hati Faris. Faris tersenyum sendiri. Namun hanya seketika. Faris mengerling lagi jam di pergelangan tangan. Jika 10 minit lagi Asmida tidak tunjuk muka, dia akan meninggalkan restoran mamak itu.
"Assalamuailaikum..." Suara lembut yang memberikan salam itu mengembalikan senyuman di bibir Faris.
"Waalaikumusalam..." Faris bangun dan menarikkan kerusi untuk Asmida.
"Terima kasih." Mata Asmida tidak memandang ke arah wajah Faris. Dia seakan memandang sesuatu di belakang Faris. Hatinya menarik nafas lega. Tiada bayang-bayang itu kelihatan di belakang Faris.
Mujur saja tingkahnya itu tidak disedari oleh Faris.
"As orderlah. Saya belanja."
Asmida melirik senyuman.
"Saya order air saja." Perut masih kenyang. Dia jarang makan di luar. Dia lebih senang masak sendiri di rumah.
"Tak lapar?"
Asmida laju menggeleng.
"Okaylah kalau begitu."
Asmida sekadar memesan segelas laici ais. Selama berkenalan dengan gadis itu, Faris tidak pernah bertanya akan pekerjaan Asmida.
"As bekerja di perpustakaan itu ke? Kita selalu bersua pun di sana."
Asmida menggeleng lagi.
"Saya seorang penulis."
"Penulis?"
Asmida mengeluarkan sebuah novel dari beg sandarnya lalu dihulurkan kepada Faris. Sebuah novel seram.
Faris terkesima. Dia tidak menduga sekali yang gadis pelik ini adalah seorang penulis
novel. Antara penulis seram yang popular di Malaysia. Faris sendiri pernah membaca karya-karya yang ditulis oleh Asmida. Penulis biasanya menggunakan nama pena dari nama sendiri.
"Awak Asmiranda Ali."
Asmida angguk.
"Ya, saya penulis sepenuh masa. Nama pena itu adalah nama kembar saya."
"Awak ada kembar?"
"Kembar saya meninggal dunia ketika kami berusia 12 tahun."
"Maaf."
"Tidak mengapa."
"Awak percaya ada hantu?"
"Makhluk halus itu ada. Hantu hanya gelarannya saja."
"Saya takut awak tidak percaya apa yang saya lalui. Saya sendiri menjadi takut. Saya dengar suara berbisik pada telinga saya."
"Suara?"
"Ya, suara. Dan saya mengalami mimpi aneh. Mimpi tersebut menjadi kenyataan. Dan beberapa kali bangkit dari tidur pakaian saya berlumuran dengan darah."
Hati Asmida berdebar-debar.
"Awak ingat apa yang berlaku dalam mimpi awak?"
Faris menghela nafas kecil. Kepalanya digelengkan.
"Saya tidak ingat apa-apa. Langsung tidak ingat."
"Emmm..."
"Awak percaya pada cerita-cerita saya?"
"Tiada yang mustahil. Tapi awak kena berhati-hati."
Bola mata Asmida membulat besar melihat bayang di belakang Faris yang sedang menyeringai ke arah dia itu.
"As... awak seakan berpeluh."
"Oh, cuaca sekarang panas. Air cond pula tak kena pada kita." Asmida berdalih. Dia masih tidak ada keberanian untuk bercerita tentang bayang-bayang itu kepada Faris.
"Faris!"
Nadia muncul secara tiba-tiba. Faris dan Asmida tersentak.
"Nad..."
"Patutlah I call you tak dapat. You ada date dengan perempuan nerd ni!" Nadia mula melenting.
"You jangan salah sangka. Tak baik you membuat tuduhan melulu pada I dan As."
"I sudah berikan warning pada you jangan rapat dengan perempuan ni. And you... You tak malu ke nak rampas boyfriend I. Cermin muka you dulu. Kalau you takde cermin di rumah, I boleh pinjamkan cermin I pada you untuk you lihat diri you itu!"
Asmida terkilan dengan cemuhan Nadia.
"Stop it, Nad!" Faris sudah makin jelak dengan sikap cemburu buta Nadia.
"You tengking I kerana perempuan ni."
"Nad, jika macam ini sikap you, kita break-up!" Faris hilang sabar. "As... mari saya hantar awak balik." Faris menarik lengan Asmida. Terkocoh-kocoh Asmida menuruti langkah panjang Faris.
ASMIDA tidak dapat menghabiskan baris-baris ayat pada manuskrip yang sedang ditaip itu. Dia bersandar pada kerusinya dengan wajah lesu. Dia agak keletihan sedikit. Asmida bingkas bangun dan menuju ke dapur mengambil segelas jus oren. Asmida mencapai majalah di atas meja tamu lalu membeleknya. Televisyen sengaja dibiarkan terpasang tanpa ditonton. Cantik gadis yang menjadi penghias utama depan majalah itu. Seorang model yang sedang meletup dan penuh dengan kontroversi. Kontroversi dengan skandal dengan orang-orang kaya. Terutamanya di kalangan suami orang.
Dengan tidak semena-mena wajah model di muka majalah itu berlumuran dengan darah. Asmida terkejut lalu dia melemparkan majalah tersebut di atas meja. Entah kenapa bulu romanya terasa meremang. Asmida terasa seolah-olah ada sesuatu di belakangnya. Dia menoleh. Tiada sesiapa. Mungkin mainan perasaannya.
Asmida meloncat dari sofa apabila terasa bahunya disentuh dari bealakang. Matanya liar memandang sekeliling. Asmida hampir menjerit melihat perempuan yang sedang merangkak-rangkak di lantai ruang tamunya itu. Asmida memenjamkan matanya saat tangan perempuan itu mencengkam kakinya. Dia kuatkan semangat membaca ayat Kursi. Seketika kemudian, Asmida tidak lagi terasa kakinya dicengkam oleh perempuan itu. Dia membuka matanya. Tiada lagi bayangan perempuan tadi. Asmida terjelupuk duduk.
Nafasnya turun naik. Dia mengurut dada. Apa petanda pula kali ini? Asmida mencapai
semula majalah yang dilemparkan tadi.
"Adakah kau mangsa seterusnya?" Bisik hati kecilnya.
Bayang-bayang menyeramkan? Pembunuhan misteri? Gangguan-gangguan pelik ini semuanya menjadi tanda tanya. Asmida tidak dapat menghuraikan misteri di sebaliknya. Adakah semua ini berkaitan dengan Faris?