PANGGILAN telefon dari kekasihnya Nadia, tidak dilayan. Faris melurut rambutnya ke belakang. Dia malas mahu bertegang urat dengan Nadia lagi. Jika Nadia mahu memutuskan perhubungan mereka pun, dia tidak peduli. Dia sudah lelah dengan kerenah Nadia yang adakalanya seperti kebudak-budakkan.
Dia juga tertekan kerana kes-kes yang ditanganinya kebelakangan ini gagal di dalam perbicaraan. Kebenaran sentiasa terlindung. Dia menutup semula failnya dan bingkas keluar dari mahkamah.
"Sabar Faris. Tak semua kes yang kita handle akan menang. Ini satu cabaran untuk awak." Dato' Jamil menepuk-nepuk bahunya.
Faris hanya tersenyum.
Dato' Jamil berlalu. Faris menuruti langkah lelaki itu.
"Tak apa malam ini aku bereskan lelaki itu."
Langkah Faris terhenti.
"Aku tidak akan benarkan kau buat kerja terkutuk tu lagi."
"Hehehehe... boleh ke kau halang aku?"
"Aku akan cari kau."
Bayang hitam muncul di belakang Faris. Bayangan yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia.
"Kau tidak akan dapat menghalang aku, Faris. Orang-orang tu adalah sampah. Sampah memang patut dilenyapkan dari muka bumi. Aku hanya menegakkan ketidakadilan bagi pihak kau. Aku tahu kau juga mahu sampah-sampah itu mati."
"Kau membunuh. Membunuh itu salah!"
"Kau akan bersetuju dengan cara aku itu. Hehehehe..."
Bayangan hitam itu menghilang.
"Aku tak sama dengan kau Aku bukan pembunuh." Hati Faris menjerit.
Apabila kakinya sampai di tempat letak kereta, Nadia sudah ada menanti di situ dengan muka yang masam mencuka. Renungan mata Nadia cukup tajam. Ada rasa tidak puas hati di raut wajah cantik Nadia.
"You cuba lari dari I?"
"I tak lari dari you."
"So, kenapa tak angkat call dari I?"
"I busy. You pun tahu macam mana kerja I."
"Alasan. You sebenarnya dah ada orang lain di belakang I?" Nadia menundingkan jari telunjuknya pada muka Faris.
"Ikut suka you nak kata apa."
"Faris!"
Pantas Nadia menarik lengan Faris.
"I letih. I nak balik ofis."
"You sayangkan I lagi atau tidak?"
Faris tidak membalas. Dia menarik lengan dari pautan jari-jemari runcing Nadia. Faris melolos masuk ke dalam perut keretanya.
"Faris!" Nadia berteriak.
Faris tidak peduli. Enjin kereta dihidupnya.
Nadia makan hati melihat kereta Faris berlalu pergi. Faris benar-benar sudah berubah laku.
JARI-jemari Asmida laju menekan abjad-abjad pada keyboard komputer ribanya. Idea seakan mencurah-curah untuk menulis novel seramnya yang terbaharu itu. Dia sudah menjanjikan manuskripnya itu siap pada hujung bulan ini kepada pihak editor penerbit. Mata Asmida terbuntang luas apabila melihat skrin pada komputer ribanya itu mengalir darah merah. Dia berhenti dari menaip. Cermin mata putih yang terletak pada batang hidungnya itu ditanggalkan.
Lantas dia bingkas bangun. Panik seketika melihat darah merah yang mengalir pada skrin komputer ribanya itu. Petanda apakah ini? Asmida mengertap bibir. Wanita berambut panjang mencecah lantai di belakangnya membuatkan bulu tengkuk Asmida tegak. Asmida kaku berdiri di hadapan meja tulisnya itu. Diam tidak berkutik.
Tangan wanita itu memengang pada bahunya. Bau busuk yang membuatkan tekak Asmida menjadi loya. Asmida masih tidak bergerak. Dia juga tidak punya kekuatan untuk menoleh. Wanita itu mencengkam bahunya lama. Asmida memenjamkan matanya rapat. Kemudian wanita itu hilang dalam sekelip mata. Asmida terduduk semula pada kerusinya.
"Orang yang sudah mati tidak akan bangun semula. Itu semua permainan syaitan dan jin." Kata-kata emak tergiang-giang di telinga.
Sewaktu kecilnya dia sering mengadu nampak 'benda' macam-macam. Dia jadi takut untuk bermain-main di luar. Tidak seperti arwah kembarnya. Alam ghaib dihijab oleh Allah daripada pandangan mata kasar manusia. Ayah kata dia diberikan kelebihan untuk melihat perkara yang tidak nyata.
Apabila ayah menerangkan tentang Al Hijab barulah dia mengerti. Al Hijab adalah perkataan Arab yang membawa maksud tirai atau dinding penghalang. Pandangan mata manusia itu disekat penglihatannya untuk melihat sesuatu di luar kemampuan manusia.
Jadi, setiap manusia itu mempunyai hijab yang menutup pandangan mata halus kerana apa yang kita lihat sekarang adalah merupakan pandangan mata kasar.
Walaupun Asmida dapat melihat makhluk-makhluk halus itu sejak kecil, perasaan takutnya masih tetap ada. Dia memandang semula pada skrin komputer ribanya. Tiada lagi darah yang mengalir.
Asmida memandang pada jam di dinding. Dia leka menulis hingga tidak menyedari sudah pukul 1.00 pagi.
Telefon bimbitnya yang berada di sisi komputer ribanya itu bergetar. Ada panggilan masuk waktu-waktu begini. Apartmen sewanya No 13 ini dulu dikatakan ada perempuan mati dibunuh. Punca, kerana rasa irihati teman baik sendiri. Tiada orang yang berani menyewa lebih lama di situ setelah diganggu dengan 'benda' yang masih menetap di dalam apartmen ini. Dia tidak kisah 'menetap bersama 'benda' itu. Dia lebih berhak dari 'benda' yang tidak nampak di mata kasar manusia.
Nama Faris tertera pada skrin telefon bimbitnya. Apa hal lelaki itu menelefonnya awal pagi begini?