Bab 1

238 2 0
                                    

KAMPUNG KUBANG JAWI, 2007

"SEPULUH tahun lagi, kau panggil aku Doktor Faeeq tau." Angan Faeeq sambil mengayuh laju basikal tuanya.Dia selangkah kayuhan menghampiri Umairah. Gadis itu menoleh ke arahnya, kemudian mencebik menyampah.

Semenjak di dalam kelas tadi, dia galak menyakat Umairah yang bercita-cita hendak menjadi seorang doktor bila ditanya guru kelas baharu mereka, Puan Mawaddah. Lalu, seharian dia menjadikan doktor sebagai modal untuk menyakat Umairah yang cantik manis di kalangan rakan sekelasnya.

"Heh, perasan! Tak ingin aku." Balas Umairah, bengkak hati.

Faeeq naik bertambah galak lantas dengan sengaja menghimpit basikal Umairah, tetapi sekejap cuma. Bila Umairah terhuyung hayang cuba mengimbangi badan dan basikalnya,cepat-cepat Faeeq meninggalkan Umairah di belakang. Kalau jatuh anak dara orang, haru!

"Kau ni memang menyakitkan hatilah, Faeeq!" Jerit Umairah sambil menongkat dengan sebelah kaki. Pandangan geram, bergalurkan benci dihantar tepat pada rakan sekelas yang jauh di hadapan sana.

Faeeq pula sangat seronok. Umpannya tadi mengena. Dia ingin melihat reaksi Umairah yang sakit hati kerana marahkannya lalu dia menoleh ke belakang. Benar! Reaksi itu melekat hingga ke dasar hati. Walaupun jarak mereka agak jauh dan dia masih berkayuhan, tetapi air muka bengis itu memikat.

"Gatalnya!" Suara Mak Yah terngiang-ngiang di benak minda. Terus Faeeq pandang ke depan tetapi terasa tubuhnya diseret laju. Sedar tak sedar, dia dan basikalnya sudah menjunam ke dalam tali air.

"Padan muka!" Omel Umairah dengan mata kecilnya.

Dia nampak tubuh Faeeq tercampak ke dalam tali air. Galak sangat menyakat orang, padah pada diri sendiri. Kutuknya di dalam hati. Dia terus mengayuh dan hendak segera balik ke rumah, tetapi kayuhannya berhenti sendiri sebaik tiba di lokasi Faeeq terjatuh tadi.

"Nak tolong ke orang nakal macam Faeeq tu?" Tanya Umairah sendirian. Dia serba salah, berbahagi dua antara hendak menolong dan tidak, tetapi bagaimana jika Faeeq tidak pandai berenang lalu lemas?

"Eh, mustahil! Hero Tamil macam dia tu takkan tak pandai berenang?" Soal Umairah lagi.

Dia buat keputusan untuk terus mengayuh tetapi tidak cukup satu kayuhan, sebelah kakinya menongkat lagi di atas rumput.

"Tapi takkan lama sangat dia kat dalam air tu? Eh, jangan-jangan..." Umairah berasa sangsi. Dia bergegas menongkat basikal lalu berlari menuju ke tebing tali air. Tayar basikal Faeeq kelihatan di sebalik warna air tetapi kelibat rakan sekelasnya itu tidak pula kelihatan.

"Lambatnya bantuan kecemasan tiba. Mana ambulans?" Suara Faeeq kedengaran dari jauh. Umairah menoleh ke kiri, baharulah dia nampak kelibat Faeeq yang sedang berenang ke sana ke mari. Sakitnya hati! Marah Umairah di dalam hati.

"Kau ni bengong dan menyusahkan orang. Kau buat lagi macam ni lain kali, aku sepak muka kau sampai senget." Marah Umairah, tak dapat menahan sabar lagi.

"Garangnya! Macamsinga betina dahaga ayaq. Nak ayaq ka?"

"Kau sajalah yang minum air tu. Lagi bagus kalau air tu pakej...minum air percuma cirit-birit, tak payahlah aku tengok muka kau seminggu kat kelas." Sembur Umairah lagi, terbawa-bawa pula marahnya. Faeeq selamba sahaja, malah siap tersengih kerang pula.

Macam ni punya orang pun ada! Getus hati Umairah, meluat.

Dia melangkah meninggalkan tali air itu lalu kembali mengayuh basikal dengan perasaan sebal. Setiap hari, ada sahaja hal yang sengaja dicetus Faeeq untuk menyakitkan hatinya. Bukan sepuluh kali tapi ratusan hal yang telah dicetuskannya, dan selalunya Umairah terpalit sama. Apa tujuannya?

Kata rakan sekelas yang lain, Faeeq menaruh hati padanya tetapi pada Umairah, itu bukan menaruh hati. Itu menyakitkan hati! Kalau Faeeq betul-betul sukakan dirinya, dah lama dia meluahkan perasaannya tetapi tak pernah pun Faeeq menunjukkan rasa suka. Yang dia selalu buat, menebalkan raya loya dan muak Umairah.

"Umai! Tunggulah!" Suara Faeeq kedengaran di belakang.

Tidak terlalu dekat dan tidak pula terlalu jauh. Umairah cepat-cepat mengayuh basikal. Laju dan laju hingga terasa tayar belakangnya berat dan tidak bergerak. Kain sekolahnya juga terasa tegang tiba-tiba. Dia sedar yang kain sekolahnya melekat di celah rantai basikal tetapi tidak sempat berbuat apa. Basikalnya terhuyung-hayang lalu dia pula yang terhumban masuk ke dalam tali air.


Kawan Dulu, Okay?Where stories live. Discover now