Bab 7

62 1 0
                                    

HARI-hari berlalu sedang Umairah semakin hairan. Manakan tidak, Faeeq yang dahulunya cukup suka menyakat dan mencari pasal, tidak lagi menyakitkan hati seperti dahulu. Setiap masa, dia tekun mengulangkaji pelajaran sedangkan rakan-rakannya masih nakal seperti dahulu. Umairah rasa kekurangan pada hari-hari akhir yang dilaluinya. Dia rasa kurang kerana tidak dapat marah-marah lagi seperti dahulu, terutamanya pada Faeeq.

"Ada yang aku tak tahu berlaku ke masa aku tak ada seminggu, Zati?"

"Apa yang berlaku? Tak ada apa-apa." Tanya Izzati kembali.

Dia berasa aneh pula pada soalan teman baiknya itu, malah tidak dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh Umairah. Namun, dia sempat menangkap lirikan pada seseorang. Tahulah Izzati, apa yang dimaksudkan oleh Umairah. Dia bertanya akan perubahan sikap Faeeq yang serius dan fokus pada pelajaran rupanya.

"Maaflah Umairah...Aku tak tahu pasal Paeeq. Maklumlah, asyik bertekak aje sebelum ni. Jadi, kalau ada hal aneh-aneh tu, aku diamkan aje. Malas nak bertanya."

"Selalu kan dia juara." Tokok Umairah lagi.

Izzati hanya menjungkit bahu. Tidak tahu bagaimana lagi hendak memuaskan hati Umairah yang panasaran ingin tahu tentang Faeeq. Apakah mungkin Umairah menyukai Faeeq? Arghhh. Semoga tidaklah sampai ke situ.

"Apa kata kau tanya aje pada kawan-kawannya."

"Isy...takkan aku nak bertanya pada Apek pulak?"

"Tanya pada Bob." Balas Izzati, tersengih.

Mereka berdua terus berbisik, tak sedar yang mata guru Bahasa Malaysia, Puan Mawaddah melekat pada mereka. Bagi guru Bahasa Malaysia merangkap guru kelas 5 Gamma, saat-saat akhir sebelum peperiksaan bermula awal bulan depan seharusnya dimanfaatkan sebaiknya oleh para pelajar.

Dia melihat Izzati dan Umairah masih tidak fokus dan tidak mengerti apa yang menanti di depan. Hendak berleter, tak sampai hati kerana masing-masing meningkat usia remaja, tetapi jika dibiarkan, kelas yang sunyi dengan aktiviti penulisan, menjadi hingar juga dengan gelagat Umairah dan Izzati, tak kurang juga dengan telatah dua tiga orang pelajar lain.

"Barangkali Umairah boleh berkongsi pendapatnya dengan rakan-rakan tentang perubatan tradisional seperti herba yang masih diamalkan oleh masyarakat kini."

"Aaaa...Emm..." Umairah kaget sebaik namanya disebut oleh Puan Mawaddah.

Terasa darah merah membakar muka. Dia tahu dia menjadi sasaran guru Bahasa Melayu kerana kelekaannya berbual dengan Izzati sebentar tadi.

Rakan-rakan lain di belakang masing-masing sedang memberi perhatian. Mereka maklum akan sikap Puan Mawaddah yang tidak gemar para pelajarnya hilang fokus di dalam kelas. Adalah yang akan menjadi sasaran untuk berkongsi jawapan. Faeeq tidak ketinggalan memberi perhatian. Dia sudah bersedia menyemak jawapannya. Manalah tahu jawapan Umairah lebih bernas dari jawapannya. Bob yang duduk di meja hadapan berpaling ke arahnya.

"Pandang aku lama-lama, sat gi hang pulak kena jawap soalan ketiga." Ujar Faeeq, selamba. Dia tidak lagi memandang Bob.

"Umairah..." Nama Umairah disebut sekali lagi oleh Puan Mawaddah. Umairah sudah berdiri, tetapi masih belum kedengaran sebarang bunyi dari mulutnya. Sesungguhnya Umairah berasa gugup menjawab soalan itu.

"Umairah ada sebarang pendapat?" Tanya Puan Mawaddah, tidak sabar. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dibebeli Umairah sepuas hati, tetapi akal warasnya melarang dia melayan pelajar yang hampir menduduki peperiksaan dengan bebelan.

"Cikgu...." Ujar Faeeq, mengangkat tangannya. Dia jatuh kasihan dan hendak membantu Umairah.

"Ya."

"Boleh saya kongsikan pendapat saya tentang perubatan tradisional ni?"

"Ehem...ehem." Deheman nakal rakan-rakan baiknya kedengaran sebaik dia menyatakan usulnya.

"Silakan, Faeeq. Yang lain tolong beri perhatian, ya?"

"Terima kasih, cikgu. Saya berpendapat, perubatan herba masih diamalkan oleh masyarakat kerana kosnya yang lebih murah berbanding perubatan moden."

"Setuju." Suara Lan kedengaran mencelah.

"Ada pendapat lain?" Tanya Puan Mawaddah lagi. Faeeq mengangguk dan mula mengangkat skrip jawapannya.

"Pengalaman sedia ada. Maksud saya pengguna ada testimoni perubatan herba kerana pernah menggunakannya dan ia memberi kesan. Jadi, ia masih menjadi amalan."

"Setuju..." Apek pula menambah.

"Awak pula Muaz...takkan setuju sahaja? Tentu ada pendapat lain yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan. Terima kasih, Faeeq." Ujar Puan Mawaddah pula.

Faeeq mengangguk sebelum duduk. Sebelum itu, sempat juga dia menghantar pandangan pada Umairah yang masih berdiri di barisan hujung sana.

"Saya ada satu, cikgu." Jawab Apek atau nama sebenarnya Muhammad Muazzudin.

"Sila kongsikan."

"Perubatan herba mudah dicari. Kalau mengikut cerita Tuk Wali ni, cara mengenal jenis herba ada diajar. Individu hanya perlu masuk ke dalam hutan untuk mencarinya. Asalkan jangan sentuh pucuk muda, cukuplah. Sebab itu, ia masih diamalkan masyarakat sekarang." Terang Apek akan pendapatnya. Selepas dia dibenarkan duduk, rakan-rakan bertepuk tangan, mengusiknya.

"Umairah, duduklah."

"Terima kasih, cikgu." Ucap Umairah, malu-malu.

"Saya menyokong semua pendapat yang Faeeq dan Apek berikan sebab jawapannya relevan. Kenapa perubatan herba masih menjadi amalan, sedangkan perubatan moden ada, keluar sahaja duit dan bayar harganya, kita akan dapat perkhidmatan perubatan yang diperlukan. Tetapi..."

Komen Cikgu Mawaddah berhenti di situ. Dia cuba memberi penegasan tentang perubatan herba.

"Perubatan tradisioal atau perubatan herba ni masih diusahakan bersebab. Tenaga pakarnya masih ada, malah ada yang mengusahakannya secara turun temurun. Kedua, ia mudah didapati, bak kata Muaz. Kebanyakan pokok herba dikenali dari segi bentuk fizikalnya dan ia boleh didapati di hutan. Selain memiliki kepakaran, individu yang mengusahakan perubatan tradisional sangat mengenali pokok-pokok herba ini dan mereka tahu di mana hendak mendapatkannya. Sebab itu, ia masih menjadi amalan. Yang ketiga, kos yang rendah. Faeeq juga betul. Individu yang mengusahakan perubatan herba ini tak perlukan modal banyak. Ramuan utamanya, pokok herba yang boleh dipetik di dalam hutan. Berapa banyak kos yang boleh dijimatkan dengan perubatan tradisional ni, betul tak?"

"Betul." Jawab seisi kelas. Sebaik Puan Mawaddah menamatkan hujahnya, loceng berbunyi, menandakan waktu persekolahan telah pun tamat. Para pelajar berkemas untuk pulang ke rumah masing-masing.

8


Kawan Dulu, Okay?Where stories live. Discover now