Bab 9

67 1 0
                                    


KUALA LUMPUR, 2015

"JUMPA Umairah?" Tanya Faeeq sebaik melabuhkan punggung di atas kerusi empuk. Telefon bimbit masih tertekap di telinga. Minggu kedua di Kuala Lumpur sebaik tamat kontrak selama tiga tahun sebagai jurutera penerbangan di Birmingham, United Kingdom mencabar buat dirinya. Cabarannya bukan kerana bidang tugas yang tergalas di bahu, sebaliknya kerana gadis yang dicari semenjak lapan tahun lalu masih belum ditemui.

Jika ditanya apa perasaannya, dia hendak sahaja melaung pada dunia yang perasaannya membuak-buak ingin bertentang mata dengan Umairah. Dan soalan pertama yang ingin ditanya, apakah dia sudah berpunya? Dia ingin berterus terang kepada Umairah bahawa seluruh hati ini hanya dipunyai Umairah. Telah lama dia menyimpannya dan dia teringin sekali menyerahkannya pada yang berhak. Tetapi, tuan punya nama entah di mana. Buntu Faeeq dibuatnya. Sedar yang dirinya masih di talian, akhirnya dia membuat keputusan.

"Kalau minggu ni aku tak jumpa jugak dia, memang aku jejak dia guna penyiasat."

"Ha ha ha. Berat sangat dah hang ni, Paeeq." Ketawa Lan kedengaran di hujung talian. Faeeq menyabarkan hati. Lan paling banyak membantu usahanya menjejak Umairah dan mereka masih berhubungan walaupun pernah terpisah beribu batu jauhnya.

"Tak tau kat celah mana aku nak cari dia. KL ni pun bukan kecik wey."

"Yang aku hairan, awat hang tak pi tanya tok dia? Dah lama aku cadang. Hang asyik kata nak cari dulu. Oi Paeeq, umuq kita 25. Kau, aku mungkin muda tapi orang perempuan lain. Aku takut dia dah jadi bini orang."

"Amboi, mulut hang! Doalah yang baik-baik untuk aku."

"Kalau dia jadi bini orang, hang laghu mana, Paeeq?"

"Aku yakin dia masih solo macam aku." Balas Faeeq, meluahkan keyakinannya walaupun dia sendiri goyah dengan kata-katanya. Masakan tidak, Umairah tidak lagi ditemui selepas hari terakhir peperiksaan SPM mereka. Paling mendukacitakan, Umairah langsung tidak hadir pada hari keputusan SPM diumumkan. Sehingga lewat petang, kelibat Umairah tak juga kelihatan.

Kini setelah punya kerjaya stabil dan punya wang ringgit sendiri, dia pasti akan berikhtiar untuk mencari Nadyne Umairah, sehingga mata bertentang mata, baru hatinya akan puas.

"Lantak hang lah, Paeeq. Kalau usaha hang berhasil aku tumpang gembira. Tak sabaq nak tengok hangpa naik pelamin."

"Sebelum tu, tolonglah usha Umairah untuk aku dulu."

"Aku tunggu result hang minggu ni. Kalau tak jumpa jugak, aku balik kampung. Tolong pi rumah tok Umairah untuk hang." Balas Lan, sengaja membakar perasaan sahabat lamanya.

Padanya, Faeeq memang setia. Jika lapan tahun lalu, dia melihat Nadyne Umairah sebagai cinta monyet Faeeq, tetapi semakin hari, semakin utuh pula nama Nadyne Umairah di jiwa sahabat lamanya. Anehnya, Nadyne Umairah tidak dapat dijejaki sedangkan teman-teman sekelas lain tidaklah terputus hubungan seperti itu.

"Kalau aku pi, takut aku malu muka. Tok Wan dia benci kot tengok muka aku."

"Hang mau mana? Mau jumpa Umairah atau mau malu muka?" Soal Lan tidak puas hati.

"Hang tak faham, Lan!" Balas Faeeq, memicit kepala yang terasa bengang.

Jika keluarganya dan nenek Umairah tidak sekampung, tentu sudah lama dia buat kerja mudah itu. Malangnya, dia masih punya emak dan perlu menjaga air muka emak. Insiden belasan tahun lalu masih segar di ingatannya. Kalaulah, dia punya bebola ajaib yang bisa menilik rahsia hatinya, tentu tiada mercun buatan sendiri belasan tahun lalu dan mudah pula Umairah disunting sebagai isteri. Betapa ruginya dia!

"Aduh..." Keluhan terlepas dari bibirnya tanpa disedari.

"Parak sangat dah hang ni. Kering tekak aku bagi idea itu ini dengan hang. Tunggulah hujung minggu ni. Aku balik kampung, tolong usha Umairah untuk hang. Kalau Wan Senah berkenan kat aku, hang jangan naik hantu pulak."Lan memancing emosi Faeeq sekali lagi.

Dia cukup mengerti, hajat Faeeq hendak menyunting diri Umairah bukan sebarang hajat. Barangkali, ia hajat suci murni yang lahir sebaik terpandang wajah Umairah buat pertama kali dalam diri Faeeq. Sebab itu terujanya Faeeq sebegitu rupa.

"Hang jangan buat pasai dengan aku. Aku karate hang sampai ke bulan."

"Aku ada Bob, sayap kiri. Apek, sayap kanan."

"Sayap kiri kanan hang tu aku pulas tak dan seminit aih! Tak hairan aku!"

"Oh, berlagak!"

"Ha ha ha. Ahad ni aku nak jumpa hang, siap dengan peta lokasi Nadyne Umairah." Balas Faeeq, tegas. Lan sengih di hujung talian. Memang sah Faeeq gila! Angau! Mereng! Dan sewaktu dengannya.

"Perghhhh...berapa upah aku?"

"Kopi dangdut secawan. Ada berani?"

"Kedekut macam dulu jugak."

"Asalkan kacak, kedekut tak lagi dipandang." Jawab Faeeq, selamba. Mereka sama-sama ketawa sebelum tawanya mati sebaik melihat jam yang melilit pergelangan tangannya. Sudah masanya untuk ke lapangan terbang.



Kawan Dulu, Okay?Where stories live. Discover now