Bab12

84 2 0
                                    

NADYNE Umairah cepat-cepat masuk ke dalam bilik air sebaik tiba di rumah mama. Soalan Puan Afya tentang rupanya yang bagai hendak menelan orang pun langsung tak dijawabnya. Dia hendak membersihkan diri terlebih dahulu. Hal Dayyan Putra akan diputuskan selepas itu. Biar Puan Afya tahu yang bakal menantunya itu manusia yang bertopengkan nafsu. Jijik!

Dia bernasib baik kerana berjaya membuatkan Dayyan menukar fikirannya, jika tidak, maruah yang dipelihara selama 25 tahun musnah di tangan lelaki hidung belang seperti Dayyan. Tergamak Dayyan memujuk dirinya untuk berlaku sumbang? Nadyne Umairah mengeluh lagi. Dia bersiap seadanya sebelum kembali ke ruang tamu. Tentu Puan Afya belum melabuhkan tirai malamnya. Dan kalaupun Puan Afya sudah beradu, Nadyne Umairah pasti akan mengetuk pintu bilik mamanya. Biar hal Dayyan Putra diselesaikan malam itu juga! Tekad Nadyne Umairah di dalam hati.

"Mama..." Panggil Nadyne Umairah perlahan.

Hampir satu pagi, Puan Afya masih belum berangkat ke kamar tidurnya. Dia tahu Puan Afya belum tidur kerana menanti dirinya yang lewat pulang ke rumah. Perlahan-lahan dia mengalas kepalanya ke atas ribaan Puan Afya. Terasa rambutnya dielus embut oleh sang mama.

"Maira nak makan?"

"Dah lewat, mama. Esok pagi Maira makan, ye?"

"Orang nak kahwin kena pasang badan, kan? Ikat hati dan mata suami untuk Maira aje."

"Maira tak mahu kahwin dengan Dayyan, mama."Luah Nadyne Umairah, perlahan.

Kejadian tadi masih segar di ingatannya, malah dia tidak akan lupa perangai buruk Dayyan Putra. Justeru, untuk apa dia bersuamikan Dayyan? Jika Dayyan ikhlas mengahwininya, tentu Dayyan takkan tergamak melukakan perasaan Nadyne Umairah dengan kata-kata biadapnya.

"Maira ni...ke situ pulak. Mama dah buat persiapan lah, sayang. Kenapa Maira tiba-tiba tak mahu kahwin dengan Dayyan ni?" Tanya Puan Afya, berusaha untuk menyembunyikan rasa terkejutnya.

Setahun lepas, dia dan Kapten Ameer berbincang untuk menyatukan anak masing-masing. Baik Dayyan, mahupun Maira, kedua-duanya setuju tanpa banyak keletah. Masing-masing mengangguk apabila ditunjukkan gambar bakal pasangan mereka. Lantas, tali pertunangan diikat enam bulan lepas. Sepanjang tempoh itu, tiada pula sebarang rungutan disuarakan oleh anak daranya, mahupun dari pihak Dayyan sendiri. Setelah semua persiapan dibuat, dan tinggal hari berlangsungnya sahaja, Maira berubah hati pula. Ada sesiapakah yang telah mengalih tumpuannya dari Dayyan Putra? Apa mereka tidak serasi bersama?

"Maira..."

"Maira dah buat keputusan, mama. Maira tak mahu bersuamikan seorang lelaki yang berakalkan nafsu. Maira tak mahu. Pendek kata, Maira nak, pertunangan Maira dan Dayyan diputuskan esok jugak!" Kata-kata Nadyne Umairah beremosi sekali. Puan Afya berusaha lagi memujuk anaknya.

"Jangan ikut perasaan, sayang! Majlis Maira sebulan sahaja lagi. Dalam tempoh berlangsung ni, persiapan semua mama dah buat, termasuklah menjemput tetamu. Maira tentu kasihankan mama, kan? Tolonglah kasihani mama dan keluarga Dayyan. Kalau ada perselisihan sikit-sikit, sayang betulkan dengan Dayyan, ya?" Puan Afya berusaha memujuk.

"Tak mahu, mama! Maira dah bertekad. Kalau mama sayangkan Maira, mama tolonglah Maira. Mama jumpa dengan keluarga Kapten dan katakan padanya majlis ni takkan jadi."

"Maira...takkan mama nak buat macam tu?" Puan Afya berdiri spontan.

Hilang juga bahasa halusnya. Benarlah kata pepatah, jaga anak perempuan seorang lebih susah dari menjaga lembu sekandang. Lihat sahaja telatah Maira yang kebudak-budakan. Bukankah hal yang dimintanya melibatkan maruah keluarga kedua-dua belah pihak? Bagaimana dia hendak menghadap muka Kapten Ameer dan isterinya yang terlalu banyak memberi pertolongan di kalanya dirinya dalam kesusahan. Maira tidak tahu hal itu, bahkan dia sama sekali takkan ambil tahu, sebab itu dia meminta apa sahaja walaupun di luar batasan permintaan.

"Tolonglah Maira, mama. Maira tak mahu bersuamikan lelaki macam Dayyan." Suaranya lirih memohon simpati.

"Maira selesaikan sendiri perselisihan Maira dengan Dayyan. Mama tak mahu masuk campur dan tak akan sesekali memutuskan pertunangan kalian." Putus Puan Afya sebelum meninggalkan ruang tamu yang malap. Pada dirinya yang telah melalui gerbang perkahwinan, dan pernah gagal melaluinya, hal remeh-temeh yang disebut oleh Maira tidak perlu diperbesarkan. Cukuplah pisang berbuah sekali, janganlah kegagalan komunikasi seperti yang dialaminya sewaktu mengahwini ayah Nadyne Umairah menjangkiti anaknya pula.

Bagi Nadyne Umairah, dia hanya mampu menghempas badan di atas sofa panjang. Dalam hati, dia cukup menyesal kerana pernah menyatakan iya pada sebuah janji yang bakal merosakkan hati. Air mata menitis hampa. Tentu bagus jika pasangan di atas pelaminnya nanti Muhammad Faeeq!




Kawan Dulu, Okay?Where stories live. Discover now