Bab 14

112 3 1
                                    

"KAWAN aku habaq, nama Umai tak dak dalam list doktor yang berdaftar di kementerian. Aku rasa dia bukan doktor, Paeeq." Suara Apek kedengaran sayup-sayup di hujung talian.

Faeeq mendiamkan diri. Nun jauh di dasar hati, ada rasa kecewa yang cuba menghuni. Ini kekecewaan ketiga yang dirasainya sebaik mengenali Umairah. Kali pertama, sebaik berakhirnya peperiksaan SPM, Izzati telah menyampaikan berita bahawa Umairah telah kembali ke pangkuan ibunya. Kali kedua dia berasa kecewa, sebaik Lan memberitahu bahawa dia tidak berjaya menemui Wan Senah dan Tok Rahim di rumahnya. Mereka sekelamin mengerjakan umrah pada waktu itu.

Kini, dia kecewa lagi. Umairah bukan seorang doktor. Bukankah itu cita-citanya lapan tahun yang lalu? Mengapa dia tidak menggapai awan seperti yang diangan-angankannya.

"Hello...oiiii! Melamun apa? Frust ka?"

"Dak aih. Melangut! Berjanggut! Awat susah sangat aku nak cari Umai?" Balas Faeeq, tertekan.

"Bukan jodoh hang kot."

"Habis tu jodoh sapa?" Tanya Faeeq, kian tertekan. Baginya, jawapan Apek hanya menambah kekecewaan sedia ada. Sekian lama dia mencari masa yang sesuai, takkan semudah itu peluangnya terlerai.

"Jangan marah aku, Paeeq."

"Dak aih. Aku tak marah hang. Tension sikit. Apa pun terima kasih banyak tolong aku cari Umai. Aku cuba cara lain." Suara Faeeq kendur sendiri. Menyesal pula kerana terlalu larut dalam perasaan kecewa. Bukankah ikhtiar itu ubat segala penyakit?

"Hang masih nak cari Umai?" Soal Apek kembali. Jika boleh, dia ingin menasihati Faeeq supaya melupakan niatnya. Tambahan pula, Umairah hanya cebisan memori zaman sekolah.

"Emmm...sampai aku jumpa dan aku tau jodohnya. Kemudian, baru aku akan buat keputusan."

"Paeeq.Tok sah lah duk kalut sangat pasai Umairah. Bukan apa, aku takut hang frust ja."

"Thanks buddy. Aku faham niat hang. Doa yang baik-baik ja untuk aku." Suara Faeeq semakin kendur. Dia cuba mengheret perbualan lebih lama tetapi wajah Umairah lapan tahun lalu juga yang sedang mengganggu perasaannya. Akhirnya, perbualan mereka berakhir dan Faeeq termenung sendiri. Detik-detik sukar sedang ditempuhi, dan Faeeq berasa separuh lemas dalam belenggu kasih tak kesampaiannya.

Dia hanya bangkit dari kerusi apabila jam hampir satu petang. Waktu untuk mengisi perut dan mempersiapkan diri untuk solat. Pada jam dua petang, dia perlu berada di hangar untuk tujuan pemeriksaan berkala sebuah Airbus A380. Kalau dia tidak makan sekarang, bila lagi?

"Oi, lajunya." Tegur seseorang di belakang.

Faeeq menoleh kepalanya sedikit dan berhenti melangkah apabila melihat seorang pembantu juruterbang yang baru dikenali melambai tangan ke arahnya.

"Soru! Jom!" Ajaknya tanpa berfikir panjang.

Padanya, ada atau tidak teman untuk berbual waktu makan tidak menjadi hal. Dia sudah biasa merantau, jadi dia sudah lali bersendirian pada waktu makan. Tetapi, teman yang diajak itu sudahpun berjalan menghampirinya. Fahamlah Faeeq, dia perlu memperuntukkan masa yang lebih untuk makan tengah hari ini. Sempatkah dia ke hangar yang letak lima belas minit perjalanan dari lapangan terbang? Gatai mulut betui aku ni! Faeeq marah pada diri sendiri tetapi tetap positif dengan kawan baharunya.

"Kau nak makan kat mana?"

"Something light. Aku nak ke hangar sebelum pukul dua."

"Hisy...dan ke?" Soal Abdul Malik, seakan mengerti akan keterbatasan masa yang dimiliki teman baharunya itu.

"Menyesal pulak aku layan karat tadi."

Kawan Dulu, Okay?Where stories live. Discover now