CERITERA 2 ~ KELUARGA HAJI MANSOR

944 21 0
                                    

Nawwar memasukkan kotak pensel rona hijau yang dibeli dua hari lepas ke dalam beg sekolah barunya.  Kakaknya,  Naila yang menghadiahkan beg sekolah itu kepadanya.  Beberapa buah buku kosong turut diisi bersama.  Beg sekolah itu kemudian diletakkan di bawah lantai dihujung katil. 
Dia memerhati pula baju seragam sekolahnya yang sudah siap digosok.  Sudah hampir sepuluh kali diacukan baju itu pada badannya sambil berlagak seperti model iklan pakaian.  Ala,  bukannya ada orang tengok,  buat apa nak kisah.  Sukahatilah dia nak berangan jadi apa pun.  Itu haknya.

"Ya Allah,  budak bertuah ni!  Sudah-sudahlah tu..."  tegur Halimah, ummi kepada Nawwar.

Nawwar hanya tersengih mendengar kata-kata umminya tadi.  Dia menyangkut semula baju itu di dinding.  Hajah Halimah berlalu ke katil anaknya lalu melabuhkan punggung di situ.

"Dah siap kemas barang?  soal Hajah Halimah pada anaknya yang hanya berseluar track bottom dan  T-shirt putih bercorak Hello Kitty itu.

"Dah ummi, tinggal nak pergi sekolah aje belum,"  jawab Nawwar seraya mengambil tempat di sebelah umminya.

"Esok, jangan lupa,  pilih kawan tu biar yang senonoh sikit.  Kita berkawan dengan semua tapi biarlah berpada-pada,"  nasihat Hajah Halimah.

"Faham ummi.  Ala, ummi janganlah risaulah.  Awa bukannya budak-budak lagi,"  balas Nawwar.

"Sebab kamu bukan budak-budaklah ummi lagi risau.  Kamu tu dah anak dara.  Darah manis kata orang.  Kena pandai jaga diri."

"Darah manis tu apa ummi?"  Nawwar bertanya,  tidak faham.

"Darah manis tu maksudnya kamu tu dah boleh kawin,"  usik Hajah Halimah.

"Hah?  Isy tak naklah ummi!  Awa nak kerja dulu,  nak jadi cikgu macam kak ngah.  Kemudian Awa nak beli rumah banglo untuk ummi dengan
abah,"  luah Nawwar. 

Hajah Halimah terharu mendengar kata-kata anaknya.  Sejak dulu lagi anaknya itu memang sentiasa memikirkan kesenangan orang tuanya.  Walau agak manja,  Nawwar tetap mampu berdikari.  Cuma anaknya itu sedikit cuai.  Entah dari mana dia mewarisi sifat itu,  tidak pulak Hajah Halimah ketahui.

"Kalau Awa nak jadi cikgu,  Awa kena belajar rajin-rajin.  Jawab periksa elok-elok,  dapat keputusan yang cemerlang.  Baru boleh jadi cikgu,"  ujar Hajah  Halimah .

Nawwar melentokkan kepala di paha umminya.  Hajah Halimah membelai lembut rambut anak kesayangannya itu.

"Baiklah ummi,  Awa janji!   Awa akan belajar betul-betul sampai masuk universiti,"  ucap Nawwar.

"Iyalah tu,  ummi tahu anak ummi boleh.  Dahlah,  pergi tidur.  Esok kena bangun pagi.  Dulu waktu sekolah rendah,  kamu belajar sesi petang,  bolehlah bangun lambat.  Ni dah sekolah menengah,  kena belajar sesi pagi.  Kamu tu bukan ummi tak tahu,  liat nak bangun pagi,"  sindir Hajah Halimah.

"Yes ma'am!"  balas Nawwar.

Hajah Halimah menyelimutkan badan anaknya lalu menghadiahkan sebuah kucupan di dahi dan kemudian melangkah keluar dari bilik anaknya itu.  Nawwar pula tidak dapat menahan perasaan terujanya untuk ke sekolah esok.  Tidak sabar berjumpa dengan kawan-kawan lama tidak dan juga baru.

Cepatlah datang wahai pagi,  cepatlah!

"UMMI, anak kesayangan ummi tu tak mahu bangun.  Malaslah Ila nak layan,"  rungut Naila,  Kakak Nawwar.

Hajah Halimah mengelengkan kepala.  Sudah dijangka akan perangai anaknya yang seorang itu.

"Tak apa Limah,  biar mak yang kejutkan,"  ujar Nek Som,  emak kepada Hajah Halimah.

Semanis CoklatTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang