CERITERA 3 ~ PERTEMUAN

672 21 3
                                    

Sekolah Tinggi Bukit Saujana merupakan sekolah baru tempat Nawwar menimba ilmu.  Semuanya dirasakan serba baru.  Jika dahulu,  abah akan menghantarnya ke sekolah rendah yang terletak agak jauh dari rumah.  Tetap sekarang dia hanya perlu mengayuh basikal kerana jarah dari rumah ke sekolah barunya itu tidaklah begitu jauh.  Sampai sahaja di sekolah,  Nawwar tidak tahu hendak buat apa.  Dia seperti rusa masuk kampung.  Terpinga-pinga.  Hendak terus ke kelas atau tunggu sehingga loceng berbunyi.  Mata Nawwar meliar memerhati sekeliling.  Mana tahu ada kawan-kawan yang dikenali semasa di sekolah rendah yang menyambung belajar di sini.

Setahu Nawwar,  ada enam buah sekolah menengah di sekitar daerah Port Dickson ini.  Jadi agak banyak pilihan yang boleh dibuat.  Nawwar memilih sekolah ini kerana terletak tidak jauh dari rumah.  Itu merupakan sebab utama.  Selebihnya,  dia juga ada mendengar khabar bahawa sekolah ini adalah antara sekolah terbaik di daerah ini.  Entahlah,  abah yang menguruskan hal persekolahan.  Dia hanya menurut.

"Awa!"

Nawwar terdengar namanya dilaung.  Pantas dia mencari kelibat yang memanggil namanya tadi.  Dari kejauhan,  Laila kawan sekelasnya semasa belajar di sekolah rendah kelihatan.  Syukur,  ada juga orang yang dikenalinya di sini.

"Wah,  tak sangka awak masuk sekolah ini juga!  Gembiranya saya!"  sapa Laila sejurus bertentang mata dengan kawannya itu.

"Iya,  saya juga gembira!   Awak apa khabar?  Cuti sekolah senyap sahaja ya,"   ujar Nawwar seakan berjauh hati.

"Saya sihat sahaja.  Cuti sekolah saya tinggal di kampung,  sebab tu awak tak nampak.  Dengar kata awak dapat tawaran ke MRSM.  Tak pergi?"

"Tak.  Malaslah,"  jawab Nawwar.

"Ke nak duduk bawah ketiak mak lagi?"  perli Laila.

Nawwar tergelak.  Tak kisahlah nak dilabel anak emas ke,  anak manja ke,  Nawwar tidak ambil hati.  Asalkan dia bahagia,  sudahlah.

"Eh,  awak masuk kelas apa?"    Nawwar bertanya.

"1 Berlian.  Awak?"

"Ala...  tak samalah kita.  Saya masuk kelas 1 Bitara,"  jawab Nawwar.

"Rasanya tu kelas budak pandai.  Yalah,  yang keputusan UPSR semua A.  Lainlah saya ni,  3A saja,"  terang Laila.

Nawwar melemparkan senyuman.  Dia memegang bahu Laila.  Terpinga-pinga Laila diperlakukan begitu.

"Ala,  tak kisahlah berapa  A pun.  Perkara dah lepas.  Yang penting,  kita masih dapat belajar.  Perjalanan hidup ni masih jauh.  Jadi,  harus terus berusaha!  Dahlah,  jom!"  ajak Nawwar.

Laila turut mengukir senyuman setelah mendengar kata-kata Nawwar tadi.  Benar,  kehidupan tetap perlu diteruskan.  Apa yang penting adalah usaha.  Ini hanyalah titik permulaan dalam kehidupan.  Masih banyak yang perlu diteroka.  Ternyata Nawwar semakin matang dalam berfikir.  Sejak dulu lagi kawannya itu sentiasa berfikiran jauh.

"Emm,  jom tu nak ke mana ya?"  soal Laila.

"Entah,  saya pun tak tahu."

"Awak ni..."  ujar Naila lalu tergelak kecil diikuti dengan Nawwar.

Telinga kedua-duanya menangkap pengumuman yang meminta para pelajar beratur di tapak perhimpunan.  Nawwar dan Laila bergegas ke tempat yang diberitahu.  Kedua-duanya tercari-cari barisan kelas masing-masing.

"Nak beratur dekat mana ya?"  tanya Laila.

"Saya pun tak tahu.  Apa kata kita tanya orang,"  cadang Nawwar.

Semanis CoklatTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang