Kau pernah melihat sekumpulan ikan salmon yang melawan arus sungai hanya kerana ingin mencari tempat untuk membiak dan seterusnya mati? Begitulah perasaan kami, aku dan berjuta lagi adik-beradik yang lain, bila kali pertama kami dikeluarkan oleh Ayah ke dalam satu dunia yang asing. Dunia yang kami tidak pernah tahu kewujudannya. Dunia gelap. Kami berlumba. Mencari sesuatu yang kami sendiri tidak pasti. Laju berlumba. Seolah-olah, jika kami gagal untuk mendapatkan sesuatu yang tidak pasti itu secepat mungkin, kami akan terus lenyap atau dibawa ke dunia yang lain pula.
Aku di depan sekali. Entah dari mana datangnya kudrat untuk berenang sepantas itu, aku sendiri tidak tahu. Mungkin terkena sampuk Michael Phelps, perenang terbaik dunia di sukan Olimpik Beijing dahulu yang juga ahli sukan kegemaran Mak. Atau mungkin aku memang begitu. Tidak suka melengah-lengah. Adik-beradikku yang lain jauh aku tinggalkan di belakang. Kebanyakannya tidak bernasib baik. Ada yang mati sebelum sempat berenang jauh. Ada yang tersasar pergi entah ke mana. Ada juga yang mengikut tetapi kecundang.
Setibanya bertemu dengan satu benda bulat, aku merempuh masuk. Terperamlah aku berbulan-bulan di situ selepas itu. Berubah dari satu bentuk menyerupai berudu ke satu bentuk yang lebih comel rupa parasnya.
*************
Pintu gelap tiba-tiba terang apabila luas terbuka. Aku menangis apabila melihat doktor lelaki menyambutku keluar dengan tersenyum lebar. Wajahku ditunjuk kepada Mak yang berpeluh sakan. "Ini baby awak. Comel, kan?" soalnya.
"Lelaki ke perempuan?" tanya Mak semula.
"Lelaki."
Dia melepaskan kepalanya semula ke katil. Hampa.
Aku kemudian diserahkan kepada jururawat untuk dimandi dan dibersihkan. Tubuh dililit erat dengan kain putih sebelum dihantar semula kepada Mak dan Ayah yang sudahpun lama menunggu di dalam bilik yang lain. Ayah mendukung tubuhku erat. Dahiku dikucup. Dia kemudian berdiri dan membisikkan sesuatu. Halus sebutannya memuji-muji nama Allah. Aku bersyukur.
"Kita cuba lagi?"
"Awak ingat saya ni kilang? Berapa kali lagi nak mencuba?" jawab Mak tak berapa berkenan dengan cadangan Ayah tadi. "Syafiq dengan Syahid mana?"
"Saya suruh dia orang tunggu kat rumah."
"Budak-budak lagi dia orang tu, Bang. Kalau dia orang main api nanti tak pasal-pasal pulak rentung satu rumah."
"Ish, awak jangan cakap macam tu. Saya dah siapkan nasi dengan telur goreng untuk dia orang. Awak dukung budak ni jap. Saya nak gi amik wheelchair. Awak tu boleh berjalan ke?"
"Dah call semua orang?"
"Dah. Mak awak kata dia dah gerak dari kampung tadi. Petang sampailah kot."
"Jomlah kita balik. Awak singgah kat kedai nanti gi beli baju lain untuk budak ni. Takkan nak pakaikan dia baju pink?"
"Baju jugak tu. Saya belum gaji lagi ni. Awaklah beriya sangat kata budak ni perempuan. Percaya sangat dengan cakap Mak awak tu."
"Awak tu saya suruh keluarkan duit sikit untuk scan tak nak."
Ayah diam. Dia memasukkan pakaian kotor Mak di dalam beg. "Kita nak bagi nama apa kat budak ni?"
"Kita dah janji nak bagi dia nama Syamilla. Saya tak terfikirpun nama lelaki."
"Syamil. Kita bagi dia nama Syamil."
"Syamil?" Mak mencebik. "Ada ke orang lelaki nama Syamil?"
"Kalau tak ada, kita adakan je. Dah, tunggu kejap saya nak gi mintak wheelchair."
YOU ARE READING
LELAKI SESUATU ITU - sebuah cerpan Shaz Johar
AdventureSebuah kembara kenal diri yang melibatkan alien. Cerpan (cerita panjang) ini mula-mula dicetak dalam buku "II" yang dilancar di Big Bad Wolf Disember 2016 dan kini dah soldout. Cerpan ini kini disirikan di Wattpad untuk mengelakkan harga pasaran ge...