Setahun sudah berlalu. Tahun terakhir aku di sekolah. SPM bakal menjengah beberapa minggu saja lagi. Mak sudah mula berjinak-jinak dengan perniagaan kuih dengan cara yang baru iaitu dengan membuka gerai di tepi jalan. Aku sudah jarang membantunya meniaga di rumah pangsa itu lagi. Dia mahu memberikan ruang untukku mengulangkaji pelajaran supaya aku dapat keputusan yang baik.
Hubunganku dengan Abang Helmi masih berjalan seperti biasa. Secara rahsia. Aku puji sikapnya yang matang itu. Dia tahu Mak tidak berapa berkenan dengan persahabatan kami lalu dia mengambil pendekatan yang berbeza untuk mengambil hati orang tua itu. Dengan wang. Dia lambakkan wang untukku buat belanja di sekolah ataupun di rumah. Aku tahu Mak tahu semua itu walaupun setiap kali ditanya di mana aku mendapat wang yang lebih, jawapan yang sama aku berikan. "Duit upah jual kuih yang Mak bagi tu lah, Mil kumpul."
Aku diberikan telefon bimbit ketika menyambut harijadi yang ke-17. Hadiah istimewa dari Abang Helmi kerana menjadi adik angkat yang baik. Aku tidak tahu berapa ramai adik angkat yang dia ada dan aku tidak mahu tahu semua itu. Yang penting, aku happy punya abang angkat seperti dia. Kacak, matang, bijak, baik dan berwang. Mak pelik ketika aku membawa pulang hadiah itu dahulu. Dia menuduh aku mencuri atau memeras ugut rakan-rakan sekolah. Aku yang lemah-gemalai ini mana reti mengugut. Biasanya aku yang diugut oleh gangster amatur di sekolah itu. "Hadiah orang bagi," jawabku ringkas. Mulanya jenuh juga menahan telinga apabila dibebel, lama-lama setelah penat, dia diamkan saja.
Suatu hari aku lambat pulang ke rumah kerana terlibat di dalam raptai penuh untuk persembahan di hari penyampaian hadiah di sekolah. Aku memilih untuk menjadi Puteri Gunung Ledang dalam sketsa Puteri Gunung Ledang versi adik-adik. Sekali-sekala berangan menjadi puteri Jawa, apa salahnya. Sedang aku sibuk berhias dan berdandan dengan berkemban kain batik dan rambut palsu mayang mengurai yang disewa dari guru lukisan yang juga merangkap wedding planner di luar sekolah, Mak muncul bersama abang-abang. Wajah mereka serius. Wajah aku masa itu, pucat lesi.
Aku ditarik keluar dari bilik persalinan itu sebelum diheret pulang ke rumah. Tiba di rumah pula, aku disoal-siasat oleh mereka bertiga di ruang tamu. Syafiq menolak kepalaku ke dinding. Syahid pula menyepakku dengan kuat di perut. Mak berlagak seperti pengadil. Menyuruh mereka berhenti hanya bila perlu. Aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa melainkan menangis dan meminta tolong.
"Kau dalam dunia ni bolehlah minta tolong. Nanti dalam kubur, kat akhirat, kau nak minta tolong dengan siapa?" jerit Mak. Di tangannya memegang telefon bimbit pemberian Abang Helmi. Aku tertinggal benda itu di dalam laci, di bawah himpunan seluar dalam hari itu. "Apa sayang, sayang, abang, abang dalam handphone kau ni? Jantan mana yang kau sayang ni ha? Siapa H?" Dia membuka semua pesanan SMS yang ada tersimpan di dalamnya.
Aku tidak menjawab. Aku takut untuk berkata benar waktu itu.
"Ni Helmi tu, kan? Kau kawan lagi dengan jantan tu, kan? Kau cakap dengan Mak! Baik kau mengaku Syamil sebelum aku bantai kau sampai mati!"
Aku tidak tahu samada keputusan untuk mengaku itu lebih baik dari mendiamkan diri saja. Aku tidak nampak apa-apa perbezaan yang akan aku dapat dari sebarang jawapan yang bakal aku beri.
Syahid menendang perutku sekali lagi.
"Cakaplah... Mak tanya tu..." Kepalaku ditunjal pula oleh Syafiq.
"Aku besarkan kau supaya kau jadi orang, ni yang kau balas eh, Syamil? Kau nak jadi perempuan sangat eh, Mil? Aku boleh amik parang sekarang, cincang benda kau tu kalau tu yang kau nak!" Tercungap-cungap Mak bernafas, menampakkan kemarahannya yang meluap-luap. Telefon bimbitku dicampak sehingga berkecai.
"Kau nak ke?" tanya Syahid.
Aku menggeleng. Aku meringkuk menahan kesakitan. Sakit hati lebih dalam rasa pedihnya dari sakit ditendang di perut atau dilempang di muka. Sakit hati melihat telefon bimbit yang selama ini dibelai mengalahkan suami sendiri, hancur berkeping-keping begitu. Aku memang ingin menjadi wanita, ingin cantik seperti mereka, ingin memakai skirt pendek yang terbelah-belah, ingin menunjukkan payudara yang masak ranum, ingin menonggek di depan lelaki, tetapi aku juga masih inginkan benda yang satu ini. Ini pemberian Allah. Ada sebab aku diberikan benda alah itu. Mana mungkin aku mahu membuangnya begitu saja.
YOU ARE READING
LELAKI SESUATU ITU - sebuah cerpan Shaz Johar
AdventureSebuah kembara kenal diri yang melibatkan alien. Cerpan (cerita panjang) ini mula-mula dicetak dalam buku "II" yang dilancar di Big Bad Wolf Disember 2016 dan kini dah soldout. Cerpan ini kini disirikan di Wattpad untuk mengelakkan harga pasaran ge...