Selepas selesai urusan melapor diri di pejabat, saya turun ke bawah dan melepak di kaki lima bangunan sambil hisap rokok dengan Abang Ya, pengawal keselamatan yang berasal dari Kelantan. Nama sebenar Abang Ya adalah Yatim. Mungkin tak sedap jika dipanggil Abang Tim, dia memilih nama Ya. Abe Ya!
Ya dalam Kamus Dewan edisi keempat membawa empat maksud. Pertama, huruf ke-29 dalam abjad Arab atau yang terakhir dalam abjad Jawi. Kedua, bermaksud benar, betul atau kata untuk menyatakan setuju. Ketiga, kata untuk memanggil seperti hai atau wahai ( Ya Allah, Ya Rabbi dan sebagainya ). Keempat, kata untuk bertanya pada hujung ayat, kata tambahan untuk menguatkan pertanyaan atau kata untuk menguatkan maksud kata sebelumnya.
Ya, memang panjang lebar saya berikan penjelasan tentang 'Ya' ini. Kerana setakat ini, hanya Abang Ya sahaja yang sempat saya melepak sambil hisap rokok bersama. Orang-orang lain dalam pejabat belum sempat saya berkenalan. Samada mereka sedang sibuk atau pura-pura sibuk, saya tidak tahu.
Abang Ya tenang sahaja menggulung asap kretek di udara. Matanya sekejap-sekejap terpejam. Saya perhatikan dengan penuh rasa jengkel. Kalau kutu-kutu di kampung yang buat muka macam Abang Ya depan saya sekarang memang nak kena penerajang. Tapi, cota di tepi pinggang Abang Ya buat saya tak jadi terajang dia.
"Kau toksei makan ko?" Abang Ya cuba menyembunyikan loghat Kelantan. Ketika itu saya hampir tergelak namun sempat ditahan setelah mata saya terpandang lagi cota di tepi pinggang Abang Ya.
"Abe Ya kecek kelate jah nge kito. Kito pehe," Abang Ya terangkat sedikit kepalanya dan hampir tumbang ke belakang.
"Huk Aloh! Dop royak awa-awa sakni. Tu, demo napok ko gerai tepi jale bawoh pokok besar? Kalu nok make gak, demo gi denu jah. Gerai Mok Yey! Abe Ya ado bekal doh ni ha," ujar Abang Ya penuh semangat. Saya tidak pasti samada mahu bersorak Gomo Abe Ya Gomo atau tidak pada masa itu.
Saya lihat jam di tangan, sudah 12.47 tengah hari. Berdasarkan penerangan yang diberikan oleh penyelia saya tadi, waktu rehat adalah sekitar jam 12.45 tengah hari sehingga 1.45 petang. Bermakna, sudah lebih 2 minit saya berehat tidak termasuk dengan masa merokok dan berborak dengan Abang Ya sebentar tadi.
Kaki saya terus laju melangkah menuju ke Gerai Mak Yam yang terletak kira-kira 100 meter sahaja dari kaki lima bangunan pejabat. Jika satu langkah saya bersamaan 0.5 meter, bermakna saya perlu berjalan sebanyak 200 langkah untuk ke Gerai Mak Yam. Bagi seorang manusia yang berpengalaman menjadi kutu, ia bukanlah masalah besar kepada saya. Pergi makan tengah hari seorang diri juga bukanlah masalah kepada saya.
Tenang sahaja saya berjalan kaki menuju ke Gerai Mak Yam yang sudah mula dipenuhi pelanggan. Bayangkan jika setiap langkah saya berzikir memuji Tuhan Yang Esa, saya boleh berzikir sebanyak 400 kali untuk perjalanan pergi dan balik ke Gerai Mak Yam. Betapa barakahnya hidup saya kelak.
Tapi, itulah. Saya tak berzikir pun.
Sampai sahaja di Gerai Mak Yam, saya terus melihat lauk-pauk yang terhidang. Banyak juga lauk yang dimasak Mak Yam. Saya congak ada lebih 20 jenis lauk. Handal juga Mak Yam memasak walaupun gerai ini nampak tak semenggah. Kerusi meja di luar pun jenis yang satu baris panjang. Serupa dewan makan asrama. Tinggal lagi tiada pinggan tray sahaja.
Pening juga kepala saya untuk fikir makanan apa yang perlu saya makan pada hari pertama bekerja di sini. Saya harus memilih lauk yang benar-benar lazat dan enak agar lebih bersemangat untuk terus bekerja di sini. Kalau lauk serupa bagi kucing makan, saya sanggup berhenti kerja dan kembali menjadi kutu di kampung. Tapi, kucing pun sudah makan biskut zaman sekarang. Mana ada makan tikus lagi.
Ketika masih pening untuk fikir lauk yang paling sedap, datang seorang wanita yang boleh digelar Mak Cik menghampiri saya. Dia memakai apron. Saya yakin, mak cik ini adalah seorang pekerja Mak Yam atau mungkin dia sendiri adalah Mak Yam. Mustahil jika pelanggan datang makan dengan memakai apron.

YOU ARE READING
Siri Bercakap Dengan Kutu
ЮморSabri seorang kutu kampung. Pada suatu hari, Sabri mendapat kerja sebagai kerani dengan sebuah jabatan kerajaan di ibu kota. Sabri berhijrah dan menjadi kutu yang berkarier di sana. Setiap hari Sabri akan makan nasi di Gerai Mak Yam yang terletak be...