Rockers Yang Tidak Tahu Bermain Gitar

822 33 21
                                    

Hari ini saya berjalan kaki seperti biasa menuju ke Gerai Mak Yam. Melangkah sebanyak 200 tapak dan terlupa untuk berzikir.

Mak Yam tidak lagi mencedok nasi untuk saya. Mungkin sudah menjadi pelanggan tetap, Mak Yam tidak perlu melayan saya sebegitu lagi. Lauk-pauk juga saya yang ambil dan pilih sendiri. Tidak ada sambal sotong segar pada hari ini. Tinggal lagi air sahaja yang tidak dibuat sendiri.

Agaknya kalau saya sudah jadi menantu Mak Yam, air pun kena buat sendiri.

Saya ambil lauk gulai ayam dan sedikit sayur kangkung goreng belacan. Saya pesan air nescafe ais untuk memberikan kesegaran pada hari yang meletihkan ini.

Letih duduk di kerusi berpusing sambil menghadap komputer dan menaip sebanyak 73 patah perkataan sepanjang 4 jam 45 minit bekerja tidak termasuk waktu curi tulang.

Apa? Kamu semua tak pernah curi tulang?

Saya duduk di suatu tempat kosong. Di sebelah ada seorang lelaki bertubuh kekar. Rambutnya panjang diikat ke belakang. Pakai baju warna hitam gambar band orang putih. Bercelana jeans lusuh ketat dan bersepatu kulit. Berkilat dan boleh dijadikan cermin untuk menyikat rambut di situ. Itupun jika lelaki itu tidak menerajang muka kamu.

Saya duduk sambil senyum. Lelaki itu balas dengan senyuman juga. Suci benar senyuman seorang rockers ini jika diamati dengan teliti. Dia juga makan dengan tertib. Tidak ada secebis lebihan makanan yang tertumpah ke atas meja sampailah ke suapan terakhir.

Usai makan, rockers itu meneguk air suam. Nampaknya dia mengamalkan gaya hidup yang sihat. Saya tertarik dengannya. Kemudian, dia mengeluarkan sebatang rokok dan mencucuhnya. Lalu, saya terfikir dia minum air suam sahaja mungkin disebabkan ada dalam kalangan keturunannya yang menghidap kencing manis.

Bersangka buruk dengan orang lain adalah salah satu daripada prinsip seorang kutu.

Saya makan lekas-lekas supaya dapat berbual dengan rockers ini. Adalah satu kerugian buat seorang kutu sekiranya tidak dapat berborak dengan orang lain. Tambah-tambah lagi, dengan rockers yang semakin pupus pada zaman ini.

Rockers-rockers generasi baru pada hari ini sudah hilang kerockersannya. Mereka tidak lagi berambut panjang dan berbaju band orang putih. Mereka rambut pacak-pacak dan pakai baju kemeja kotak-kotak. Kemudian, bila ditanya kumpulan rock apakah yang diminati, mereka sebulat suara memilih Bunkface.

Rockers apa benda?

Lihatlah lelaki ini, dia ada ciri-ciri sejati seorang rockers. Rambut panjangnya melambangkan dirinya seorang rockers sejati. Saya sedang membayangkan dia sedang head banging ketika konsert rock kumpulan XPDC. Lagu Bahalol bukan lagu Sakinah.

"Boleh pinjam lighter, bang?" saya cuba memulakan perbualan sebaik selesai makan nasi. Sebenarnya, saya sudah ada lighter sendiri. Bukan mahu menjimatkan gas, lebih kepada kata-kata aluan dalam memulakan perbualan.

Sebiji lighter Zippo berwarna emas dengan lambang tengkorak dikeluarkan dari poketnya lalu dihulurkan kepada saya. Lihat lighternya sahaja saya sudah kagum. Jenis yang layan muzik rock keras saya fikir lelaki ini. Itu baru lighter, belum lihat lagi benda lain kepunyaannya.

Selepas mencucuh rokok, saya hulurkan kembali lighter itu kepada dia sambil mengucapkan satu ucapan terima kasih. Tak perlu rasanya untuk saya mengucapkan ribuan terima kasih. Sampai petang belum tentu cukup seribu saya ucap terima kasih.

Kemudian, dia mengeluarkan lagi sebatang rokok dan mencucuhnya. Gaya dia mencucuh rokok memang ada ciri-ciri seorang rockers sejati. Malah, cara dia menghembuskan asap juga membuktikan dia adalah rockers yang paling rockers pernah saya jumpa sepanjang hidup. Lebih rock daripada Bandi Amuk.

Siri Bercakap Dengan KutuWhere stories live. Discover now