Mat Despatch Yang Tidak Menunggang Kapcai

657 32 17
                                    

"Menteri tak ada otak!"

"Menteri akal singkat!"

"Banyak sangat minum ketum menteri ni!"

"Bahalol punya menteri!"

Itu antara caci-maki yang saya dengar di pejabat pagi ini. Semuanya berpunca daripada azam seorang menteri yang mahu mengharamkan motosikal kapcai masuk ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Saya hanya tertawa kecil melihat telatah mereka semua yang sudah mula melatah dengan cadangan menteri tersebut. Itu baru cadangan, belum dilaksanakan lagi. Kalau sudah dilaksanakan mungkin caci-maki yang lebih kasar akan berlaku.

Kemudian, teruskan hidup seperti biasa.

Padan muka! Siapa suruh jadi orang miskin dan undi menteri yang tak pernah menunggang kapcai.

Serentak dengan itu, datang memori menerpa. Bermain-main di benak ingatan saya tentang Majalah Kapcai yang suatu masa dahulu agak popular. Juga terngiang-ngiang lagu Motor Kapcai dendangan kumpulan Senario. Ah, benar-benar menggamit kenangan masa silam sewaktu saya sepenuh masa menjadi kutu.

Lalu, kenangan silam itu membunuh masa saya dengan kejam.

12.57 tengah hari!

Saya melompat bangun dari kerusi menguburkan semua kenangan masa silam bersama kapcai. Saya ambil sebiji batu-bata tanah liat dan terus melemparkan ke arah skrin komputer.

Berkecai!

Akibat terlalu berang dengan kisah-kisah kapcai, saya berjalan kaki laju-laju menuju ke Gerai Mak Yam. Iya, saya terlupa untuk berzikir sambil jalan kaki.

"Lewat rehat hari ini? Banyak kerja ke?" tegur Siti sebaik saya tiba.

"Repair motor kapcai tadi. Limau ais satu," jawab saya.

Semoga asid dari buah limau mampu menghakis ketidakselesaan saya terhadap kapcai sekarang ini.

Kemudian, saya terus mengambil sepinggan nasi. Tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit. Badan saya sudah cukup molek jika ditenung. Kuantiti nasi yang sederhana penting untuk mengekalkan bentuk badan sebegini.

Bukan macam kamu, upload gambar di Instagram dengan kapsyen "Gemukkk" tapi ambil nasi letak dalam pinggan serupa nak makan sama-sama dengan setan.

Seekor ikan bawal masak tiga rasa saya ambil dan letakkan ke dalam pinggan. Kuahnya yang merah pekat saya cedok dan jiruskan biar rata ke permukaan nasi. Menitis-nitis ke dalam pinggan likat kelazatannya. Hirisan lobak yang dipotong petak-petak dan kacang hijau lembut turut diambil. Menambahkan seri dan keenakan dalam menu hari ini.

Tengah telan air liur ke tuuuuu?

Dengan lauk ikan bawal ini, saya berjalan mendada mencari tempat kosong. Alah, kalau pakai tudung bawal nampak bentuk dada boleh, takkan berjalan mendada sambil bawa lauk ikan bawal tak boleh? Ye dak?

Saya duduk di sebelah seorang pemuda yang sedang lahap meratah paha ayam goreng. Mesti orang miskin ni. Kalau orang ada-ada paling koman pun makan ayam goreng di KFC.

Sukar untuk saya bersangka baik dengan orang pada persepsi pertama saya melihatnya.

Saya tarik kerusi sambil senyum dan anggukkan sedikit kepala terhadap pemuda itu. Dia membalasnya dengan senyum. Kepalanya masih senget meratah saki-baki daging ayam yang masih melekat pada tulang.

"Ikan apa ni, bang?" tanya pemuda itu sambil memandang ke arah pinggan saya.

Saya duduk dalam keadaan mendada bila mendengar soalan yang ditanya itu.

"Ikan bawal hitam ni," jawab saya penuh yakin dengan nada suara Syamsul Yusof.

"Fuh, mahal ikan ni kan? Saya tengok kat pasar boleh tahan harganya."

"Memang pun. Bukan selalu boleh makan ikan ni. Sesekali takpelah. Kalau hari-hari, boleh rabak duit gaji."

Sesekali, saya perlu merendah diri untuk menghormati orang miskin yang meratah paha ayam. Sudahlah miskin, undi menteri yang tak pernah naik kapcai pula.

"Betul tu. Tapi hari-hari makan ayam pun jemu juga. Saya dah seminggu tak makan ayam, asyik makan ikan je. Itu yang macam jin jumpa ayam hari ni!"

"Wah, makan ikan hari-hari? Banyaklah duit. Ikan lagi mahal dari ayam sekarang ni."

Pemuda itu tersengih.

"Ikan bilis. Sehari goreng sepuluh ekor. Makan dengan nasi dan kicap. Kadang-kadang ada lauk telur goreng. Orang bujang kan."

"Amboi. Jimat betul sehari sepuluh ekor. Simpan duit nak kahwin ke?"

"Zaman sekarang ni semua benda kena berjimat bang. Bukan sebab nak kahwin je."

"Betul tu!"

Saya mengangkat jari telunjuk tanda setuju. Pemuda itu menghirup air kosong kemudian menyeluk kocek seluarnya. Sekotak rokok Dunhill dikeluarkan. Ada tanda harga kedai 24 jam yang tertampal di kotak – RM17.00.

Berjimat kepala kuda dia!

"Saya bab makan tak kisah sangat, bang. Jangan bab rokok. Macam mana sesak sekalipun mesti kena beli Dunhill juga. Dah cuba rokok seludup, tapi tak boleh pergi. Rasa macam baik hisap rumput kering je!" ujarnya penuh panjang lebar sebelum menyalakan rokok.

Inilah yang dipanggil berjimat langsung tak kena pada gaya. Lebih mudah diumpamakan berjimat kepala kuda dia seperti dua perenggan di atas tadi.

"Kerja kat mana ni?" saya bertanya kepada pemuda tersebut yang mengecil matanya sambil menghembus asap rokok berharga 85 sen sebatang itu.

"Destpatch je bang. Kompeni kurier."

"Oh, susahlah lepas ni nak masuk KL."

"Kenapa pula susah?"

"Yelah, kan menteri dah cadang untuk mengharamkan motor kapcai masuk KL."

"Iya tak ya juga. Jibauk punya cadangan! Takkan destpatch nak kena hantar barang naik tren atau bas pula. Mau mengamuk customer nanti barang lambat sampai!"

"Tapi mungkin destpatch dikecualikan kot. Tak bolehlah nak jadikan bandar KL sifar karbon ye dak?"

"Kahkahkah! Sifar karbon atuk dia! Tapi saya tak kisah pun. Saya bukan naik kapcai pun."

Amboi, tak naik kapcai? Dia hantar surat naik superbike ke apa? Saya memandangnya dengan dahi berkerut.

"Saya bawak van, bang. Lepas buat lesen GDL dapatlah naik pangkat jadi destpatch guna van. Tak payah nak naik kapcai lagi. Ada aircond, hujan pun tak kena. Hihi," balasnya sambal tersengih.

Saya mengangguk mesra. Pemuda itu menghembus asap yang terakhir sebelum menenyeh bara rokok ke dalam ashtray. Dia menghirup air sampai ke titisan terakhir. Kemudian, menghulurkan tangan untuk berjabat dan berlalu pergi bersama van sebuah syarikat kurier.

Kalau semua syarikat kurier sudah tidak menggunakan kapcai lagi, mungkin mereka perlu menggunakan dron untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Harapnya akan berlaku sebelum Tranformasi Nasional 2050.

Seperti harapan kita terhadap kereta terbang menjelang Wawasan 2020 dahulu.

Jumlah bayaran untuk makanan saya hari ini masuk buku seperti biasa. Saya berikan satu flying kiss buat Siti sebelum pulang ke pejabat.

Lagu Motor Kapcai dendangan kumpulan Senario berkumandang menuruti setiap langkah saya.

~kJ*kQb

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 23, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Siri Bercakap Dengan KutuWhere stories live. Discover now