Ustaz Yang Makan Tidak Mengikut Sunnah

705 39 11
                                        

Jam baru sahaja 12.30 tengah hari. Tapi perut saya sudah memekik-mekik meminta nasi sepinggan dua. Sudah terlalu kebuluran akibat bersarapan dengan segelas air suam dan sekeping biskut jagung pagi tadi.

Terus sahaja saya tutup PC dan melangkah keluar ke pejabat sambil berpura-pura sibuk mengangkat panggilan telefon yang tidak wujud. Sengaja saya bunyikan ringtone pada level maksimum biar satu pejabat tahu saya sedang sibuk.

Walaupun satu pejabat tahu orang yang paling tak pernah sibuk adalah saya.

Abang Ya Jaga sedang berkira-kira waktu makan tengah hari sewaktu saya melangkah keluar dari pejabat. Dia melihat jam di telefon bimbit berulang kali. Barangkali dia juga bersarapan biskut jagung seperti saya. Saya angkat kening pada Abang Ya sambil tunjuk isyarat lima jari yang dikuncupkan hujungnya ke arah mulut.

Abang Ya angguk. Kemudian dia geleng-geleng kepalanya. Entah apa pula maksud isyarat sebegitu. Saya tak peduli, saya tinggalkan Abang Ya di situ. Lantaklah dia hendak geleng kepala sampai meninggal sekalipun. Yang penting saya mahu ke gerai Mak Yam dengan kadar segera.

Hari ini saya terlupa memasang azam untuk berzikir sambil jalan kaki ke gerai Mak Yam. Sedangkan dengan memasang azam saya boleh terlupa, apatah lagi dengan langsung tidak ada sebarang azam.

Jadi, saya berjalan kaki dengan tidak berzikir ke gerai Mak Yam tanpa rasa bersalah.

Selepas mengenyit mata terhadap Siti, saya terus mencedok nasi ke dalam pinggan. Hari ini saya makan lauk sambal ikan keli dan sedikit sayur kangkung goreng belacan. Sejak semalam lagi saya teringin makan ikan keli selepas terbaca satu kisah viral yang diviralkan oleh laman Siakap Keli di Facebook.

Sebenarnya saya tak peduli fasal kisah viral tersebut. Yang saya peduli adalah nama Keli pada laman Siakap Keli tersebut. Mungkin esok lusa saya akan ada keinginan untuk makan ikan siakap juga. Siapa tahu?

Usai mengambil lauk dan nasi setimbun serupa buruh Bangladesh yang tak makan tiga hari, saya terus duduk di sebuah tempat yang masih kosong tanpa ada sesiapa di kiri, kanan, depan mahupun belakang.

Sedang saya menyuap nasi ke mulut, saya lihat Siti terkocoh-kocoh datang ke arah saya. Lengannya disingsingkan sedikit sehingga menampakkan keputihan kulitnya. Apa? Perkataan keputihan hanya sesuai digunakan untuk faraj sahaja? Baiklah, saya ubah. Menampakkan lengannya yang putih melepak. Okay?

Apa halnya si Siti ni sampai singsing lengan baju. Hendak menggusti saya di sinikah? Saya jadi jeda seketika sambil fikiran terbayang-bayang akan penggusti wanita bernama Chyna yang terkenal tengan tumbukan cedok ke arah skrotum penggusti lelaki. Ah, tak dapat saya banyangkan jika Siti berubah menjadi Chyna.

Lalu, saya ubah bayangan Chyna menjadi penggusti bernama Lita. Lita selepas melakukan pembedahan silikon. Barulah Siti nampak berdenyut-denyut di mata saya jika dia menjadi Lita. Tidaklah, saya bimbang ditumbuk di bahagian skrotum lagi sampai senak seminggu.

Siti tiba dengan wajah originaliti Melayu yang langsung tidak ada sedikitpun ciri-ciri seorang Lita mahupun penggusti-penggusti wanita lain. Siti ukir senyum yang buat mata saya jadi senak dengan ketulusan kasih sayang.

“Awak lupa order air atau saja nak dera saya supaya datang ke sini?” tanya Siti. Senyum yang diukir tadi hilang sekelip mata.

“Hihihi, sorry. Saya terlupa,” saya sengih kerang tunjukkan gigi jarang.

“Hah cepat, nak air apa?” cebik Siti. Tapi masih comel.

“Air apa yang paling sedap awak boleh buat?” saya cuba bermanja-manja seketika.

“Hish tak payah nak main-mainlah Subri. Customer dah mula datang ramai ni. Karang saya buatkan air cili blended baru awak tahu!” Siti bertambah comel bila meradang sebegitu.

“Saya nak air… air… airr… Love you! Kekeke,” serentak dengan itu satu cubitan singgah di paha kiri saya. Rasa macam digigit dengan cengkaman sakti kasih dan sayang. Sakit yang penuh kebahagiaan.

Siri Bercakap Dengan KutuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang