LIF NO 1

300 12 1
                                    

Aku yakin korang biasa dengar citer pasal lif berpuaka, lif berhantu, macam macam versi punya kan? Tapi aku nak cerita satu cerita yang lain dari yang lain, pasal lif jugak...nak tau apa yang lain? Layan.....

*****************************************

Ini Marzuki, kawan kawan panggil dia Juki. Dia budak baik, sopan santun, berpakaian kemas dan rambut sikat belah tengah. Juki bekerja di salah satu syarikat insurans terkenal di ibu negara, beroperasi di sebuah bangunan yang agak tinggi, 20 tingkat.

Hari ini Juki kena kerja sampai lewat malam, dipaksa oleh bossnya untuk kerja lebih masa. Walaupun duit gantian untuk kerja lebih masanya lumayan, Juki paling tidak suka untuk kerja lebih masa. Salah satu sebabnya adalah pejabatnya terletak di tingkat paling atas, aras 20, dan alasan yang lain, dia seorang penakut. Ditambah pula cerita cerita menakutkan yang terjadi di bangunan itu. Beberapa bulan yang lepas, seorang pengawal dijumpai mati di dalam lif no 1 dengan lidah terjelir keluar hingga ke perut.

Juki menutup suiz desktop, mengemas meja lebih kurang, dilihat jam di dinding, 11.35 malam. Cukuplah untuk hari ini, esok sambung kerja, hati Juki berkata sendiri.

Juki tutup pintu pejabat rapat rapat, berjalan cepat cepat ke arah lif, matanya liar melihat sekeliling.

"HARAP MAAF, LIF SEDANG DIBAKI" kertas nota berwarna kuning ditampal di pintu lif no 2 & 3. Maknanya cuma sebuah lif sahaja yang boleh digunakan. Lif no 1.

Juki simpan perasaan takutnya jauh jauh dalam hati. Punat lif ditekan, turun ke bawah. Nombor digital disebelah kelihatan naik dari satu aras ke satu aras.

"Tinggg!" pintu lif terbuka.

Juki langkah masuk, tiba tiba alarm lebih muatan berbunyi...

"Beep...Beep..Beep.." berulang kali. Juki hairan, matanya bulat memandang sekeliling.

Beberapa saat kemudian, alarm terhenti. Juki menghembus nafas lega. Mungkin sistem lif ni dah rosak, teka Juki dalam hati. Pintu lif tertutup rapat, no digital di atas pintu lif turun dari satu aras ke satu aras, 19, 18...lif bergegar...sekali lagi Juki cuak, tapi mujur lif terus bergerak turun, 17...

"Tingggg" pintu lif terbuka. Kosong...tiada sesiapa di hadapan lif. Lama juga pintu lif terbuka, menampakkan persekitaran pejabat yang gelap gelita.

Juki tersentak, satu kelibat putih kelihatan berlalu dihadapannya, sepintas lalu, antara nampak dengan tidak. Juki segera menekan punat tutup beberapa kali. Beberapa ketika, pintu lif tertutup rapat. Juki menghela nafas, peluh jantan mula terbit dari dahinya walaupun lif itu berhawa dingin.

16...15..."Tinggggg" sekali lagi pintu lif terbuka. Satu susuk tubuh wanita berdiri dihadapan lif, membuatkan Juki terkejut bukan kepalang.

Wanita itu melangkah masuk, berbaju kurung berwarna putih, rambut tidak bertudung, mengurai hingga ke bahu. Ketika lalu dihadapan Juki, bau harum memenuhi lubang hidungnya.

Pintu lif tertutup, segera turun...

Juki telan liur, matanya menjeling ke arah wanita disebelahnya. Antara takut dan berani....

"Lambat balik Cik?..." sapa Juki.

Tiada jawapan, cuma anggukan perlahan. Juki lihat wanita itu dari atas hingga ke bawah, hatinya terdetik...

"Menarik jugak, body boleh tahan..." sekali lagi Juki menelan air liurnya.

Lif masih turun dari satu paras ke satu paras. 14...13...12...11....tiba tiba...

"Krekuummm.." lif terhenti, lampu berkelip kelip beberapa kali, menyala semula.

Muka Juki pucat, cuak bukan kepalang. Wanita bersamanya hampir hampir jatuh ketika hentakan lif sebentar tadi. Ketika ini wanita itu mendongak, melihat nombor yang tertera di atas pintu lif. Menampakkan wajahnya.

Cantik sekali, rupa wanita melayu yang jarang jarang ada pada zaman sekarang...ayu...

Juki tercengang, melihat wajah wanita itu lama lama, bagaikan hilang semua perkara yang membingungkannya sebentar tadi.

"Awak tak apa apa" tanya Juki penuh sifat kelelakian. Hidungnya mengembang sedikit.

Wanita itu cuma mengangguk perlahan, matanya melihat ke bawah semula, rambutnya yang lurus menutup semula sebahagian wajahnya.

Lif terus turun ke bawah...

10...9...8... tiba-tiba lampu berkelip kelip sekali lagi...dan terus terpadam, gelap gelita. Lif terhenti. Tidak kelihatan apa apa, cuma Juki dapat rasakan wanita tadi memegang lengannya kuat kuat, ketakutan.

Seketika kemudian, keadaan menjadi tenang, senyap...dan...

Tiba tiba keadaan menjadi riuh, seakan akan ada orang sedang bergelut, Juki menjadi bingung. Cuma dapat mendiamkan diri di dalam kegelapan.

"Aaaaahhhhhhhhhhh!!!!" sekali lagi Juki terkejut bukan kepalang, suara nyaring wanita itu betul betul di sebelah telinganya. Dalam kegelapan yang melampau, Juki segera meraba raba ke dalam poket seluar, mengeluarkan handfhonenya. Butang 'on' segera ditekan, mengeluarkan cahaya yang malap malap.

Handfone dihala kekiri dan kekanan, mencari punca suara.

Apa yang dilihat kala ini benar benar membuatkan jantungnya hampir terhenti. Wajah wanita tadi yang cantik, kini dipenuhi darah, sementara dari mulutnya menyembur darah pekat berwarna merah kehitaman, seluruh tubuhnya bermandi darah. Wanita itu terkapai kapai cuba memegang lengan Juki untuk berpaut, dalam ketakutan yang teramat sangat, Juki menolak wanita itu hingga terperosok ke dinding.

Tubuh wanita itu terkapai kapai, umpama kelemasan, lemas dalam darahnya sendiri. Mata Juki terbeliak melihat keadaan wanita itu, baju yang dipakainya koyak rabak seperti dicarik sesuatu yang tajam. Terdapat lubang yang besar didadanya, jantungnya bagai di rentap keluar. Perutnya terburai keluar bersama sama darah yang membuak. Saat itu Juki muntah semahu mahunya, terperosok di tepi dinding lif.

"Tiinngggggg...." lif bergerak semula, lampu kembali menyala, memperlihatkan keadaan di dalamnya yang benar benar mengerikan. Darah memenuhi setiap ruang lif, cuma yang menghairankan, terdapat lebih dari dua jenis tapak kasut yang terkesan di atas limpahan darah....dan dihujung dinding kelihatan sebilah parang berlumuran darah

Tubuh Juki dipenuhi darah, otaknya sendat dengan pelbagai persoalan, perlahan lahan dia mencapai parang tersebut, melihat dekat dekat, hampir mengena batang hidungnya.

"Tttiiiinnngggggg...." Juki tersentak.

Ground floor, pintu lif terbuka....

"Angkat tangan!!!...jangan cuba berbuat apa apa..." beberapa orang pegawai polis mengacukan pistol ke arah Juki. Juki tergamam, dalam keadaan kebingungan, Juki tiba tiba berlari keluar, cuba untuk menyelamatkan diri bersama parang digenggam rapi.

Tindakannya itu menempa maut, tiga butir peluru hinggap tepat dijantungnya dan dia terus jatuh...terkapai kapai meminta nyawa, lama kelamaan senyap bersama seribu pertanyaan tidak terjawab.

*****************************************

Pintu lif no 2 terbuka, aku melangkah keluar. Kelihatan ramai manusia yang sibuk sibuk ingin tahu, tidak kurang juga yang menunjukkan muka ngeri melihat keadaan itu. Aku berjalan diantara mereka, sedikit pun mereka tidak sedar.

"Kasihan kau Juki, kau orang yang baik, tapi di waktu yang salah, kau bukan sasaran aku, tapi wanita itu.....walau apa apa pun, jantung dia memang antara yang terbaik, manis dan kurang berlemak" aku menjilat sisa darah di bibirku, tersenyum puas.

"Korang dah dengar citer aku, berbeza kan? Aku gerak dulu, ramai lagi yang menunggu untuk menjadi mangsa..."

Aku melangkah keluar dari bangunan itu tanpa siapa sedari dan hilang dalam kepekatan malam.

-end-

MALAM INI ADA HANTUWhere stories live. Discover now