Bab 2

4.4K 59 20
                                    


BAB 2

            Pagi itu langit membiru seperti selalu. Awan putih terapung-apung di angkasa. Merpati dan gagak seronok beterbangan sana sini membelah cahaya mentari. Suasana alam seperti merestui keceriaan dan kegembiraan sebuah keluarga yang tampak kekurangan daripada mata kasar namun begitu bahagia dalam jiwa dan naluri mereka.

            Amirul mengheret beg besar jenama Polo bukan original yang dibelinya dengan menggunakan wang hasil kutipan orang kampung kepadanya. Dia meletakkan ke dalam bonet kereta yang disewa oleh Pak Hanip.

            Pak Hanip- ketua kampung Kampung Mesra. Umurnya sudah menjangkaui 70 –an. Seorang yang agak berwibawa dan sentiasa menjaga kebaikan anak-anak kampungnya. Tidak memilih bulu, baginya semua manusia ni serupa sahaja. Kaya ka, miskin ka, tua ka, muda ka, gagah ka, PAS ka, UMNO ka, semuanya last-last sekali akan masuk kubur juga. Akan jadi semiskin-miskinnya juga. Jadi, buat apalah dia mahu membandingkan seseorang dengan orang lain. Kalau seseorang itu baik, perlulah kita menghargainya. Kalau orang itu jahat, perlulah kita menghukumnya.Itu prinsip hidup selama ini dipegang kukuh bersama jati diri yang teguh.Tiada kompromi.

            "Dah siap Mirul?" Tanya Pak Hanip yang sudah bersedia untuk menutup bonet kereta Waja yang disewanya. Beberapa orang kampung juga turut bersama mereka untuk menghantar pemergian Amirul yang bakal berjuang di selatan tanah air kelak.

            "Belum lagi. Ada satu lagi beg yang nak kena masukkan ke belakang." Kata Amirul sambil melangkah semula masuk ke dalam rumahnya.

            "Haaa.. Elok lah tu... Panggil kan emak hang sekali. Dah siap-siap nanti boleh kita gerak terus. Nanti lambat-lambat, lambat pulak kita sampai sana nanti."

            "Ok!"

            Ketika dia melangkah masuk dalam rumah.

"Amirul..." Panggil emaknya yang sudah menitiskan air mata. Dia terus memeluk anak sulungnya itu. Entah kenapa hatinya seperti berat mahu melepaskan anaknya pergi. Bagaikan ada satu perasaan yang sukar diungkapkan dalam hatinya kini. Macam-macam benda tengah mengusik jiwa keperempuanannya.

"Kenapa ni mak? Malu lah orang kampung tengok dekat bawah tu. Dah lah mak..." Amirul cuba melepaskan pelukan emaknya. Entah kenapa dia berasa agak tidak selesa apabila dilakukan sedemikian. Padahal sebelum ini, ketika dia diumukan sebagai pelajar cemerlang, dia berasa sangat bahagia apabila berada di dalam pelukan emaknya. Entahlah.Mungkin dia kini berada disatu tahap yang berbeza.

"Amirul, jaga diri baik-baik ya. Jangan tinggal semayang. Jangan lupakan mak dengan adik-adik ya. Selalu-selalulah talipon mak nanti ya..." Pesan emaknya seperti dia akan pergi meninggalkan keluarga itu buat selama-lamanya.

"Mak... Nanti cuti pertengahan semester nanti orang balik la mak. Bukan Amirul nak duduk sana lama-lama pon. Amirul mesti rindukan mak punya kalau lama-lama Amirul dekat sana. Daripada Amirul duduk sana, baik Amirul balik rumah tengok mak dengan adik-adik." Amirul cuba menenangkan emaknya dengan harapan tangisan emaknya sedikit reda.

"Abang, jangan lupakan Apit dengan Una tau. Jangan nak bercouple lagi. Belajar bagi rajin-rajin dulu baru pikir nak couple semua..." Tiba-tiba adik perempuannya mencelah. Kalsom yang tadi tersedu-sedu menangis, tiba-tiba saja tersenyum dan mahu gelak besar. Memang telatah si Husna di luar jangkaan. Orang tengah berdrama sedih-sedih pesan itu ini pada Amirul, slow saja dia masuk bagi nasihat sedemikian rupa. Amirul turut ketawa kecil mendengar nasihat adiknya itu.

"Ye lah! Abang tak kan couple selagi Una tak couple. Boleh?" Amirul melutut cuba menyamakan ketinggiannya dengan Husna.

"Ishk! Abang ni! Husna ni kecik lagi. Nanti kalau couple lepas tu kantoi dengan cikgu, nanti cikgu suruh bersanding depan perhimpunan. Macam kawan Una kena. Malu gila bang! Sebulan jugaklah semua orang dok kata dekat dia... huntong ah bersanding atas pentas free.... Siap pakai baju sekolah lagi. Ishk... Kalau jadi dekat Una, mau sebulan Una berjalan tutup kepala guna tong sampah besar Majlis Bandaran punya yang warna hijau tu..." Kata Husna. Akhirnya, pecah juga ketawa keluarga itu mendengar bebelan Husna.

KENCINGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang