My Dear Sayang - Part 7

296 9 0
                                    


BUKAN main lagi gelak Adelia dan Insyirah, sebaik tengok wajah bengang Hadi bila dapat tahu yang Adelia kawan baik isterinya masa di universiti dulu. Kalaulah dia tak buat majlis makan-makan dan jemput kawan-kawan rapat datang, mahu sampai ke pencen agaknya dia takkan tahu komplot mereka berdua.

"Adel, kejap eh! Aku hantar depa balik dulu."

"Yalah... aku tunggu. Aku pun rindu nak sembang-sembang dengan kau. Dah lama tak jumpa kan? Asyik bersembang kat telefon je bosanlah," luah Adelia dalam gelak halus sebelum Insyirah melangkah menuju ke pintu pagar rumah.

Adelia termangu sendirian di halaman rumah. Tetamu lain semuanya sudah pulang, yang tinggal hanya dia dan Aqil Muffid. Dari luar dia nampak Aqil Muffid ralit bersembang dengan Hadi di dalam rumah. Sekali-sekala nampak mereka berdua gelak besar. Pasti topik yang menarik.

Adelia mengatur langkah ke meja kecil di laman rumah. Duduk di kerusi kayu. Seketika menunggu Insyirah, dia bermain-main dengan pasu bunga kecil yang terletak di atas meja bulat di depannya. Sekejap dipusing-pusingnya, kemudian diangkat. Tilik-tilik tengok, kemudian diletak kembali.

Sendirian di taman, tiba-tiba saja terimbau kenangan lama ketika mula-mula kenal dengan Insyirah. Pejam celik pejam celik sudah masuk lima tahun dia bersahabat dengan Insyirah, merangkap BFFnya.

"Adel! Kau nampak tak senior lelaki hujung sana tu. Aku perasan dari hari pertama minggu orientasi dia asyik perhatikan kau saja. Setiap kali ada aktiviti berkumpulan, mesti dia nak masuk group kita," tutur Insyirah, kawan baru Adelia yang baru dikenali di UKM.

Insyirah berasal dari Melaka. Orangnya cantik, kecil molek, berkulit cerah, tetapi sedikit kalut. Selalu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan dan tidak mudah percaya dengan orang yang baru dikenali. Lebih-lebih lagi dengan lelaki. Falsafah hidupnya mudah, jangan kacau orang kalau orang tak kacau kita.

"Yang mana satu?"

"Itu... yang pakai T-shirt hitam tu. Yang sedang bagi arahan pada Zetty, Ira dan Jeslina tu! Kau nampak tak? Kalau tak nampak, aku boleh bagi pinjam cermin mata aku ni," usik Insyirah dalam gelak kecil.

Bercakap pun terpaksa berbisik-bisik, takut kena marah dengan senior. Bukan kata abang-abang senior saja, kakak-kakak senior pun tegas. Maklumlah bukan senang nak bagi arahan kepada pelajar baru. Freshies pulak tu. Ada juga yang menikus dalam kumpulan. Tak nak menonjol sangat.

"Jangan nak perasan sangat boleh tak? Senior tu tengok orang lainlah, bukan aku. Apa ke halnya dia tengok aku? Bukannya aku cantik sangat. Kenal pun tak!"

"Eh, kau ingat orang cantik saja ke baru orang nak pandang? Habis, kalau yang tak cantik, maknanya tak adalah lelaki nak tengok? Macam tu?" bidas Insyirah bersungguh. Marah pula Insyirah bila mendengar kata-kata Adelia.

Dia dah mula dah! Geleng kepala Adelia.

"Bukan macam tulah maksud aku. Cantik atau tak itu subjektif di mata orang lain. Yang pasti dia bukan tengok aku. Ada faham?" Tingkah Adelia membetulkan persepsi Insyirah tentang kata-katanya sebentar tadi. Bimbang Insyirah tersalah faham.

"Yalah... aku yang salah. Tapi senior tu memang tengok kau pun. Kau cuba-cubalah usyar. Manalah tahu tersangkut. Esok-esok tak bimbang sangat. Orang kata, masa inilah kalau nak cari teman. Bila dah keluar U susah. Lebih-lebih lagi bila dah bekerja. Kau ingat dalam sebuah syarikat ramai ke lelaki bujang. Huh, susah! Baik kau rebut peluang yang ada."

"Nak saja aku gelak kuat dengan kau ni. Yang kau suruh aku tu apasal, kenapa tak kau saja yang cuba nasib?"

"Aku? Hehe... aku lambat lagi. Belajar dulu..."

My Dear Sayang - Part 12Where stories live. Discover now