"Tuan, saya terima laporan ada mayat dijumpai di rumah kosong. Alamatnya saya akan WhatsApp nanti."
"Aizat, panggil Agent Melinda periksa dulu. Bawa sekali pasukan forensik. Kau tunggu dekat EPN. Biar Tarmizi dan Rizal je yang follow Agent Mel. Dalam 30 minit lagi aku sampai," ujar LAt. Bujang. Suaranya tegas memberi arahan.
"Baik, tuan!" Dt. Aizat kemudiannya mematikan panggilan tersebut sebelum menuju ke arah At. Melinda. Entah kenapa bibirnya jadi kering setiap kali At. Melinda berada di hadapannya.
"How?" soal At. Melinda yang sedang berpeluk tubuh. Keningnya terangkat sama ketika soalan itu diajukannya.
"Puan, Tuan Bujang suruh Puan pergi dulu. Nanti dia menyusul. Saya sudah hantar alamat pada WhatsApp Puan. Detektif Rizal dan Tarmizi akan turut serta bersama pasukan forensik." Dt. Aizat cuba menyampaikan pesanan yang diterimanya dalam satu nafas. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Perasaan malunya tempohari masih belum pudar.
"Baiklah, terima kasih. Saya pergi dulu. Kalau ada apa-apa dekat sini, roger saya."
At. Melinda mengambil Pistol Heckler & Koch di dalam laci. Pistol tersebut dimasukkan ke dalam sarungnya. Belum sempat dia melangkah kaki keluar dari situ, Dt. Aizat memanggilnya lagi sekali.
"Oh ya, puan."
"Ya, saya?"
"Selamat menjalankan tugas, puan!" ujar Dt. Aizat sambil memberikan tabik hormat. At. Melinda membalas perilaku itu dengan gaya yang serupa.
🔪🔪🔪
"Ambil gambar untuk dijadikan bahan bukti dahulu. Jangan sentuh apa-apa." At. Melinda memberikan arahan kepada pasukan forensik.
"Baik, puan."
Bau hanyir itu tidak menyenangkan tekak dan perut At. Melinda. Namun demi tugas yang sudah dipertanggungjawabkan, dia cuba untuk melatih otaknya supaya tidak terkesan pada bau tersebut. Ada perkara lebih teruk daripada ini yang akan dialaminya.
At. Melinda mengambil keputusan untuk berjumpa dengan penduduk taman itu terlebih dahulu. Ada beberapa soalan yang berlegar di fikirannya.
"Boleh saya tahu siapa yang jumpa mayat di rumah ini?" soalnya kepada penduduk yang masih berada di situ.
"Saya, Cik Ejen," ujar Kamal.
"Saya ada beberapa soalan untuk awak..." Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, Azmi sudah memintasnya terlebih dahulu.
"Uih, kalau ejen cantik macam cik ni, tanya banyak pun tak apa." Azmi mula tersenyum gatal. Bisepnya terasa mahu dipam-pam supaya ejen cantik itu sedar akan badannya yang sado.
"Tapi encik berdua diminta ke balai siasatan untuk memberi keterangan. Saya rasa, tak ada masalah bagi awak berdua kan?" At. Melinda cuba mengukirkan senyumannya yang paling manis. Saksi gatal sebegini seharusnya dipancing dengan cara gatal juga.
"Boleh, boleh. Asalkan cik ejen ada, saya sudi berikan keterangan," setuju Azmi tanpa berfikir panjang. Hatinya sedikit demi sedikit terkesan dek penangan senyuman manis At. Melinda.
"Rizal, bawa mereka berdua ke EPN. Saya akan menyusul selepas periksa kawasan ini."
"Baik, Puan!"
Tiba-tiba At. Melinda berpatah balik dengan wajah yang serius. Dia berhenti apabila sudah berdiri di sebelah Dt. Rizal.
"Pastikan mereka tak lari," bisik At. Melinda sebelum menuju kembali ke rumah kosong berkenaan.
At. Melinda memakai sarung tangan getah sebanyak dua lapis untuk mengelakkan diri daripada terkena darah mangsa bunuh itu. Langkah berjaga-jaga itu perlu kerana mereka masih lagi tidak tahu akan perihal mayat tersebut. Boleh jadi mayat itu merupakan mayat mat pet yang telah dibunuh oleh rakan-rakan mat petnya yang lain kerana tidak mampu membayar dadah yang dibelinya.
YOU ARE READING
💀 Hanya Ada Kematian | Preview
Misterio / SuspensoAWAS! Bacaan matang 18+! Kekejaman maksima dan melampaui batas. Baca jaga-jaga. Kalau jadi apa-apa aku tak tanggung k! *Diterbitkan oleh Lejen Press pada April 2017* *Jangan lupa support dan beli versi buku untuk tahu kesudahan novel ini ok?* Baru s...