Nadhirah Reacts To... Anak Muda Ketandusan Intelek

877 41 1
                                    


Twitter: @sitinanadhirah

Sebelum apa-apa, ingin saya tekankan bahawa apa yang saya tulis ini adalah pandangan sendiri berdasarkan 'domino-effect' yang dihasilkan oleh artikel yang ditulis oleh S M Zakir dalam akhbar Berita Harian. Saya bukan mahu mengkritik pandangannya, kerana siapalah saya, sekadar penulis muda picisan seperti yang ditulis di dalam artikelnya, tetapi saya mahu lontarkan pandangan saya mengenai isu ini. Diingatkan bahawa artikel ini ditulis oleh penulis picisan, maka ia akan sarat dengan nada yang mungkin sinis, dan tidaklah sarat dengan sejarah dunia dan falsafah.

Artikel tersebut mengatakan yang "Anak muda kita menuju zaman tandus intelek". Saya merasakan yang tajuk artikel ini dan artikel ini secara keseluruhannya membuat generalisasi dan tuduhan yang agak melulu terhadap golongan muda. Katanya "Sebahagian besar buku yang dipamer dan dijual di PABKL (ya, ini typo yang wujud dalam akhbar Berita Harian) adalah buku cerita yang melumpuhkan daya intelektual masyarakat terutama generasi muda". Apakah berita-berita yang terpamer di dalam Berita Harian, contohnya berkaitan Ayda Jebat yang pernah terlupa membeli baju Raya itu sesuatu yang lebih intelektual berbanding dengan kebanyakan buku yang dijual di PBAKL?

Soalan itu sekadar retorik dan tidak perlu dijawab. Di sini, saya bukan mahu membuat serangan ke arah Berita Harian, tetapi mahu mengingatkan bahawa informasi wujud dalam satu spektrum. Ya, memang ada banyak informasi yang tidak se-intelek ilmu yang disampaikan melalui contohnya ensiklopedia, tetapi informasi ini wujud. Maka buku akan wujud dalam satu spektrum ini, dari picisan yang tidak bermakna sehinggalah buku yang dari muka pertama hingga akhir melimpah ruah dengan ilmu.

Sejujurnya, saya mempunyai pandangan bahawa kita sebagai pembaca tidak sepatutnya mengharapkan nilai dan ilmu disuapkan kepada kita oleh penulis, lebih-lebih lagi penulis fiksyen, kerana kita yang sepatutnya menggarap nilai dan ilmu tersebut melalui pembacaan kita. Saya tidak mahu memberi contoh buku di dalam tulisan saya ini, kerana penulis artikel itu juga tidak menamakan buku yang dianggap membawa keruntuhan intelek anak-anak muda. Maka, tidak adillah bagi saya untuk membuat tuduhan melulu juga ke arahnya dengan menamakan buku-buku yang mungkin picisan baginya.

Sebagai anak muda yang picisan ini, saya agak kecewa dengan pilihan kata-kata penulis artikel tersebut. Saya tidak mahu mengulangi kebanyakan yang ditulis dalam artikel tersebut kerana terlalu banyak yang berbunyi negatif dan generalisasi melulu. Saya faham mengapa isu ini sesuatu yang perlu diketengahkan, kerana memang media cetak sedikit sebanyak mencerminkan komuniti yang membaca dan menulisnya. Namun begitu, ada banyak faktor dan isu lain yang perlu diambil kira, dan saya pasti ada cara lain untuk menyampaikan isu ini, yang tidak akan menyinggung mana-mana pihak.

Sesungguhnya, pemilihan untuk menyalahkan golongan 'muda' untuk isu berkaitan keruntuhan intelek adalah satu penyataan yang tidak bertanggungjawab. Harus saya ingatkan bahawa kebanyakan rumah penerbitan di Malaysia ini ada juga golongan yang tidak-begitu-muda, atau apakah kriteria umur penulis muda? Adakah golongan 'penulis muda' sebenarnya merujuk kepada media cetak 'indie'? Atau penulis arus perdana yang muda juga dipersalahkan atas keruntuhan intelek ini? Bagaimana pula dengan golongan yang tidak-begitu-muda tetapi juga menerbitkan buku yang mungkin juga membawa 'keruntuhan intelek'? Terlalu banyak soalan saya untuk penulis artikel ini.

Saya merasakan bahawa ada sesetengah pihak yang sering meletakkan 'muda' dan 'indie' sebagai sejenis genre untuk dipersalahkan apabila dihadapkan dengan buku-buku yang tidak menepati citarasa pihak tersebut. Suka ingin saya ingatkan yang 'muda' dan 'indie' bukanlah genre, tetapi sekadar umur dan juga golongan yang menerbitkan atau mengeluarkan produk sendiri. Untuk melakukan generalisasi 'buku indie' atau 'buku penulis muda' adalah tidak bertanggungjawab, dan seolah-olah saya mengatakan bahawa 'penulis arus perdana ada obsesi dengan cinta dua darjat' atau 'penulis tua dibayangi masa lampau'. Ini adalah pandangan yang tidak adil dan tidak bertanggungjawab kerana hanya sebahagian buku dan penulis begitu.

Bagi mereka yang terkejut atau terkilan dengan respons negatif daripada 'penulis muda', saya terkejut dan terkilan dengan kalian. Saya rasa sudah jelas dalam artikel ini yang penulis muda keruntuhan intelek, jadi bagaimana penulis muda mahu respon dengan intelek, bukan begitu? Sejujurnya, walaupun saya bukanlah penulis muda yang ada menerbitkan buku ataupun penerbit muda, saya turut terkesan dengan artikel yang ditulis, kerana ia bukan sahaja mengatakan bahawa golongan penulis-penerbit muda sahaja yang keruntuhan intelek, tetapi juga pembaca. Sebenarnya, jika penulis muda tidak memberikan respons negatif terhadap isu ini, saya sendiri akan terkejut dan terkilan dengan mereka.

Artikel yang memulakan 'domino-effect' ini terlebih sarat dengan sentimen, dan ia telah memulakan perang sentimen yang jelas tidak perlu. Isu ini boleh diketengahkan dengan cara yang lebih baik melalui pemilihan kata yang lebih sesuai dan juga pembentangan faktor-faktor lain yang turut mempunyai impak ke atas keruntuhan intelek golongan muda, contohnya media sosial. Tambahan pula, membuat generalisasi ke atas keruntuhan intelek golongan muda juga sesuatu tuduhan yang tidak adil, tidak rasional, dan tidak bertanggungjawab. Bagaimana sastera negara mahu berkembang jika kita hanya mahu menuding jari dan mencari kesalahan orang?

Nadhirah Reacts To...Where stories live. Discover now