Nadhirah Reacts To... Slanga Ibarat Parasit Dalam Bahasa

272 13 4
                                    


Twitter: @sitinanadhirah

Pertama sekali, perlu saya jelaskan kepada kalian bahawa secara kasarnya, ada dua jenis linguist, iaitu purist dan progressive. Linguistic purist merangkumi mereka yang merasakan bahawa bahasa perlu kekal dalam kondisi asalnya, serta mengikut peraturan dan batasan yang telah ditetapkan, manakala progressive merujuk kepada mereka yang terbuka kepada perkembangan bahasa dalam apa jua bentuk. Kedua-dua jenis linguist ini wujud dalam satu continuum, dalam ayat mudahnya, akan ada ramai yang purist tentang beberapa aspek bahasa, tetapi juga progressive dalam aspek bahasa lain.

Kenapa saya mulakan esei dengan mumbo jumbo teknikal ini? Kerana, jika anda linguistic purist, mungkin anda patut berhenti membaca di sini. Seperti yang kalian pasti sedar, saya memang seorang pengguna tegar bahasa rojak.

Esei ini ditulis sebagai respons kepada artikel Abd Aziz Itar dalam Mingguan Malaysia. Berdasarkan cara beliau menulis, saya difahamkan beliau berkemungkinan besar seorang yang agak purist.

Sejujurnya, saya cukup mengkagumi purist kerana mereka sangat berdisiplin dengan bahasa dan mementingkan peraturan dalam bahasa. Walaupun saya juga mementingkan ketepatan (dalam beberapa aspek bahasa), saya tidak dapat mencapai tahap disiplin dan keterbatasan yang sama.

Saya agak kecewa apabila beliau mengatakan bahawa bahasa umpama manusia, dan mengaitkannya dengan peraturan dan norma. Apakah manusia tidak berkembang, seperti juga bahasa yang berkembang mengikut zaman? Apakah manusia (dan bahasa) seharusnya seperti robot yang semuanya kekal sama diprogramkan? Sedangkan kita manusia banyak ragam, adat dan caranya, apatah pula bahasa kita.

Dalam artikelnya, beliau menyentuh dua perkara, iaitu bahasa rojak dan slanga. Sejujurnya, saya seseorang yang mampu menerima penggunaan bahasa rojak dalam karya asalkan ia bertepatan dengan konteks dan situasi, serta tidak keterlaluan. Kadangkala, memang ada perkara yang lebih mudah atau lebih sesuai disampaikan dengan bahasa rojak. Perlu juga diketengahkan, ada situasi di mana bahasa yang sering dirojakkan itu dimasukkan ke dalam kamus dan menjadi sebahagian daripada bahasa tersebut.

Contoh yang paling mudah untuk saya berikan adalah perkataan "genre". Saya tertarik dengan penggunaan perkataan "genre" oleh penulis artikel ini. Sedar atau tidak, perkataan ini sudah menjadi sebahagian daripada bahasa Malaysia. Sebenarnya, perkataan ini datangnya dari Perancis. Jadi bagaimana pula bila dilayangkan ke dalam kamus kita ya? Ini disebabkan semakin ramai yang menggunakan perkataan ini di Malaysia, sehingga ia menjadi sebahagian daripada bahasa kita. Okay, sebenarnya proses ini mengambil masa yang lama, dan ia proses yang sentiasa berlaku. Menarik juga penulis artikel tersebut terlupa yang Bahasa Malaysia memang terlalu banyak meminjam daripada bahasa-bahasa lain. Memang bahasa tercipta dan berkembang berdasarkan proses meminjam dan menggunakan bahasa rojak sehinggalah ia menjadi sebahagian daripada bahasa kita juga.

Agak menarik untuk penulis beri gelaran "kategori parasit" kepada sesuatu yang seharusnya membawa kepada perkembangan. Penulis sendiri setuju bahawa "kategori parasit" ini menyebabkan purata bacaan rakyat Malaysia meningkat, tetapi beliau mengecewakan saya dengan sambungannya yang terus menyalahkan syarikat buku indie. Seolah-olah penulis membayangkan syarikat buku indie adalah evil villain yang mahukan world domination. Sejujurnya, kalau ada sesiapa yang mungkin mahukan world domination pun, saya rasa drama senja di TV3. Tetapi ini isu lain untuk hari lain ya.

Berkaitan slanga pula, oleh sebab penulis tidak memberikan contoh slanga yang digunakan itu, saya menganggap bahawa beliau terlalu banyak membaca tweets Rempit Logic di Twitter. Saya juga tidak begitu gemar jika terlalu banyak slanga digunakan, dan ia digunakan dalam situasi yang tidak bersesuaian. Namun begitu, apabila dihadapkan dengan buku Kitab Terfaktab contohnya, saya merasakan bahawa penggunaan slanga dapat mendekatkan karya dengan pembaca, kerana buku-buku ini lebih bersifat self-help, dan bukanlah fiksyen biasa.

Perlu saya ingatkan juga kepada kalian dan penulis artikel ini, Dewan Bahasa dan Pustaka yang diseru untuk mengadakan Audit Bahasa "agar (Bahasa Malaysia) tidak mudah disepak terajang atau dibogelkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab" (ya ini saya quote dari artikel Abd Aziz Itar pada 19 Jun 2016) telah menerima perkataan "selfie", "hashtag", dan "tweet" dalam kamus dewan. Ya, saya sedar bahawa perkataan-perkataan ini diterima sebagai bp, bahasa percakapan, tetapi ini tidak mengubah yang perkataan tersebut telah diterima dan dimasukkan ke dalam kamus dewan secara rasminya.

Saya bukanlah seseorang yang tegar menggunakan slanga di dalam karya, atau mahu menggalakkan semua orang untuk menggunakan bahasa rojak, tetapi saya sekadar mahu mengingatkan diri saya (dan kalian semua) bahawa bahasa sering berkembang mengikut zaman. Walaupun kita mungkin tidak suka dengan perkembangannya (Ya, Shakespeare juga dicemuh kerana terlalu banyak menggunakan bahasa "moden" dalam karyanya suatu ketika dahulu), namun begitu kita harus lebih terbuka terhadapnya.

Saya juga tidak mahu Bahasa Malaysia mati ditelan zaman, tetapi bagaimana bahasa (atau manusia) mahu hidup jika dihalang untuk berkembang?

Nadhirah Reacts To...Where stories live. Discover now