Nadhirah Reacts To... Pokemon Go Musuh Ulat Buku

161 9 0
                                    


Twitter: @sitinanadhirah

Wattpad: @NadhirahRahman

Esei ini ditulis sebagai respons kepada artikel 'Pokemon Go Musuh Kepada Ulat Buku' yang ditulis oleh Dr Aminudin Mansor dalam akhbar Utusan, bahagian Seni & Budaya, Sastera pada 14 Ogos 2016. Ketika terbaca tajuk artikel ini, saya mengharapkan bahawa ia seperti artikel-artikel lain yang sekadar pancing pembaca dengan tajuk kontroversi, dan isi artikelnya rasional sahaja. Apakan daya, artikel-artikel di bahagian sastera dalam akhbar baru-baru ini seringkali mengecewakan saya.

Artikel-artikel yang disiarkan dalam bahagian sastera akhbar kadangkala mengecewakan saya sehingga saya tertanya-tanya, apakah tiada isu sastera yang lebih signifikan untuk dibahaskan? Saya pasti semua pembaca esei saya ini boleh memberikan satu atau dua cadangan isu sastera dalam negara. Pemilihan topik begini seolah-olah menghina intelek pembaca artikel ini.

'Lantaran itu, apabila seseorang itu tidak membaca buku, maka bagaimanakah dia dapat membuka otak dan fikirannya daripada pemikiran yang sempit?' kata penulis artikel yang terpelajar dan pasti banyak membaca, tetapi cukup negatif dan, izinkan saya membuat andaian, tidak begitu berfikiran terbuka terhadap Pokemon Go. Apakah kegunaan bahan bacaan yang memenuhi rak buku di rumah jika minda masih terkongkong kepada pendirian sendiri sahaja?

Saya bersetuju yang Pokemon Go (dan kebanyakan permainan) boleh membinasakan jika keterlaluan. Namun begitu, apa sahaja yang tidak membinasakan jika kita keterlaluan dan taksub? Membaca seharusnya diiringi oleh pengalaman hands-on. Seseorang yang membaca semata-mata tanpa melibatkan diri dengan kegiatan lain seharusnya adalah seseorang yang rugi. Memang kita layak mempunyai pandangan dan pendirian terhadap apa-apa sahaja, dan saya tidak menyalahkan penulis artikel jika beliau memang tidak menyukai Pokemon Go. Walaubagaimanapun, mengapakah kita perlu memaksa orang lain untuk menerima pandangan kita mengenai sesuatu hanya kerana kita tidak menyukainya?

Sesuatu yang harus saya ketengahkan juga, kebanyakan 'ulat buku' akan kekal 'ulat buku' dan tetap ingin membaca buku walaupun mereka bermain Pokemon Go atau apa-apa sahaja permainan. Harus kita fahami bahawa bahan bacaan dan permainan ini membawa kepuasan yang cukup berbeza. Pokemon Go bukanlah gula getah nikotin kepada buku sehingga dapat menggantikan 'ketagihan' terhadap buku. Malah, kebanyakan rakan 'ulat buku' saya cukup suka mengisi masa lapang mereka dengan pelbagai permainan video dan maya, serta kegiatan-kegiatan lain.

Saya tidak menidakkan kebaikan buku, dan tidak juga mengagungkan Pokemon Go. Apa yang ingin saya ketengahkan di sini, kita usah terlalu takut dengan perkara baru. Berdasarkan artikel-artikel bahagian sastera dalam akhbar baru-baru ini, itulah trend terkini sastera aliran perdana. Saya tidak menyalahkan pihak-pihak yang terlibat secara keseluruhannya. Siapa sahaja tidak curiga terhadap apa-apa perkara yang boleh mengancam sesuatu kepentingan mereka? Namun begitu, seperti yang dikatakan dalam The Godfather Part II (1974), "Keep your friends close, keep your enemies closer". Maka seharusnya kita kenali dan fahami perkara yang mungkin mengancam kedudukan kita, dan bukanlah terus membangkang kewujudannya.

Tambahan pula, saya rasa bahawa teknik penulis-penulis artikel sebegini yang bersifat 'Scared Straight Program' ini tidak mampu memberikan impak yang signifikan terhadap anak-anak muda masa kini. Bagi kalian yang tidak tahu, 'Scared Straight Program' merupakan program di US, yang mana pelajar-pelajar bermasalah dibawa ke penjara dan disajikan dengan kepayahan hidup di penjara bagi menakutkan mereka. Namun begitu, program ini mendapat bantahan kerana tidak begitu efektif dalam mencapai objektifnya, serta memudaratkan keadaan. Seperti juga program tersebut, teknik penulis-penulis artikel ini tidak relevan, dan sekadar membangkitkan ketidakpuasan hati.

Oleh itu, saya rasa yang mungkin penulis-penulis artikel sastera harus meninggalkan sentimen di pintu dan masuk dengan berfikiran terbuka, serta memberikan diri mereka dan juga pihak lain peluang untuk mengalami dan mempelajari apa-apa fenomena yang melanda negara ini dan bidang sastera.

Sebelum mengakhiri esei ini, ada satu lagi perkara yang ingin saya kongsikan mengenai artikel tersebut. Saya cukup terhibur dengan pemiilihan kata dalam artikel itu, 'Tak usah fikir jauh jika diteliti manusia memang tak mampu melaksanakan dua kerja', sedangkan ada seruan untuk rakyat Malaysia melakukan '2 kerja'. Mungkin ini cara penulis artikel menyampaikan pendapatnya mengenai seruan ini secara halus?



Nota: Sejujurnya, saya juga tidak bermain permainan Pokemon Go ini, namun begitu ini disebabkan kemalasan saya untuk berjalan-jalan, serta kerana telefon pintar saya sudah penuh dengan aplikasi-aplikasi lain. Tetapi saya juga seorang peminat Pokemon dan sudah seringkali terjebak dengan permainan dalam telefon pintar dan komputer. Namun, buku masih ada tempat yang istimewa dalam hati dan hari saya.

Nadhirah Reacts To...Where stories live. Discover now