MASJID

97 7 2
                                    

Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan para jemaah. Kegembiraan jelas membaluti wajahku setelah berjaya menggagahi diri bagi bersolat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat diikuti solat sunat witir. Satu-persatu wajah jemaah masjid tenang berlalu pergi meninggalkan ruangan solat. Ada juga yang kelihatan gusar dan cepat-cepat mengangkat kaki keluar dari masjid. Mungkin ada urusan yang sangat penting, telahku. Aku memandang ke segenap ruangan solat dan ibadah masjid.

Di suatu sudut, terdapat sekelompok hamba Allah berteleku membaca kalam Allah secara tadarus. Suara yang dialunkan hamba-hamba Allah itu kedengaran merdu meresap ke jantungku. Suatu perasaan tenang yang aneh menusuk jantung. Senyuman terukir di bibir. Aku sungguh selesa berada di sini merenung kelompok itu.

Di sudut bertentangan bahagian belakang ruang ibadah masjid, terdapat kelompokan anak remaja yang leka menatap gajet canggih di tangan. Sekali sekala mereka akan bergelak ketawa seakan baru sahaja ditembak ubat ketawa sehingga mereka terlebih dos. Mereka seakan tidak menghiraukan manusia yang sedang ralit berkomunikasi dengan pencipta seluruh alam, Allah. Riuh gelak ketawa mereka sungguh pun bergema, tidak diendahkan hamba-hamba Allah yang taat. Alunan ayat suci Al-Quran masih kedengaran, diselangi riuh ketawa sumbang manusia yang tidak tahu erti hormat. Apakah mereka tidak sedar mereka kini berada di dalam masjid, rumah Allah?

Hati yang mula berasa kesal dan malu melihat tingkah laku anak remaja sebayaku membuatkan aku bangkit berdiri. Mengangkat kaki meninggalkan aktiviti memerhati golongan hamba yang taat. Golongan manusia remaja itu telah merosakkan niatku. Tidak mengapa sekiranya esok masih ada. Itu pun jika esok masih ada dan golongan hamba taat itu masih sudi meluangkan masa mereka di sini, berbanding dengan jemaah lain yang lebih selesa menjamu selera di luar masjid. Mengingatkan manusia gelojoh itu membuatku hairan, bukankah kita umat Islam perlu lebih meluangkan masa beribadah?

Sekilas pandangan dikerling kepada dua golongan manusia yang berbeza perlakuannya bak langit dan bumi. Golongan yang lebih gemar aku gelar hamba taat masih taat dan dikelilingi cahaya-cahaya putih menyilaukan. Manakala golongan yang aku gelar perosak masih selesa membelek gajet canggih mereka walaupun mereka dirantai api yang sedikit membara. Kelibat separa jelas di mataku kelihatan memeluk si perosak erat. Masih walau wajahnya sehodoh wajah dan bertanduk.

Kaki dilangkah membawa diriku ini ke rumah.

***

Aku kini berdiri di hadapan rumahku. Kegembiraan mungkin jelas terpapar di wajah meskipun dahiku ini dibasahi peluh. T-shirt Polo yang dipakai kian lencun dengan peluh-peluh yang masih ligat mengalir keluar. Semuanya terima kasih kepada bahang panas di Malaysia dan teksi yang tidak berpenghawa dingin yang ku naiki sebentar tadi. Sudahlah tambangnya agak mahal, tapi bukan itu apa yang sepatutnya aku kesalkan. Keadaan dalam teksi yang sangat busuk umpama tidak pernah dibasuh bersama najis hidung yang masih melekit di kerusi penumpang, benar-benar tidak boleh diterima.

Kini, aku boleh menikmati udara segar kampung halaman setelah penat berada di kota Kuala Lumpur. Kalau bukan sebab kerja sudah tentu lebih kerap aku pulang ke kampung. Bukan mudah untuk pulang ke kampung apabila diri ini sering dilambakkan kerja oleh bos syarikat, ditambah dengan staf senior yang kuat membuli. Tak menang tangan menyiapkan kerja disamping gaji yang seciput. Menyukarkan diri untuk melepaskan diri daripada belenggu hutang untuk kehidupan selesa di kota. Tetapi aku masih akan memikirkan untuk kerap pulang ke kampung sekiranya aku perlu menggunakan teksi 'taik' seperti tadi.

Apapun, aku sudah pulang. Azan Asar pun berkumandang. Oh ya, aku perlu pantas bersiap untuk bersolat di masjid. Malam ini aku mahu solat tarawih penuh lengkap dengan solat witir. Maklumlah kehidupan di bandar sentiasa menghimpit berbeza dengan keadaan di kampung.

Kaki pun melangkah untuk memasuki rumah. Salam dilaungkan penuh ceria.

***

Salam diberi petanda berakhirnya solat. Setelah sekian lama, aku berjaya menamatkan solat sunat tarawih 20 rakaat beserta solat sunat witir. Kegirangan di hati menyerbu sehingga membentukkan senyuman di wajah. Fikirkan tentang wajah, aku masih sedikit hairan dan pelik. Wajah-wajah jemaah masjid malam ini cukup berbeza dengan muka-muka yang aku pernah tatap. Masa pastinya berlalu pantas, dan mungkin seperti aku ramai yang berhijrah ke bandar. Penduduk kampung yang aku lihat di masjid kala ini semuanya berwajah menenangkan diriku dan putih sehingga sedikit kabur di pandanganku. Lebih memggamit perhatianku, seluruh jemaah kecuali diriku mengenakan jubah putih dan minyak atar haruman kasturi, termasuklah aku. Mereka juga seperti memakai celak, seperti aku. Mungkin hanya kebetulan. Bibirku basahkan dengan tasbih memuji pencipta mengikut imam.

Setelah tamat bacaan doa, seluruh jemaah bersalaman. Tangan yang menyentuh tapal tanganku sedikit dingin namun agak selesa lembutnya. Lebih menghairankanku, seluruh jemaah tidak bangkit lalu keluar dari masjid. Sebaliknya mereka mengambil Al-Quran di rak dan duduk membentuk bulatan besar. Aku juga mengikuti perlakuan mereka yang padaku jauh berbeza daripada penduduk kampung yang aku kenal.

Bacaan dan alunan suara seluruh jemaah ini merdu di halwa telingaku. Aku yang turut membaca kadang-kadang tersilap makhraj atau tajwid. Dan setiap kali aku tersilap, mereka akan berhenti dan memperbetulkan bacaanku. Suara mereka yang sama sedikit menggentarkan diriku. Sebaik sahaja tamat bacaan surah Al-Mulk, seorang daripada jemaah itu berdiri di tengah bulatan. Mula memberikan tazkirah yang padaku sungguh menyentapkan. Ibarat setiap kekhilafan manusia yang disebut terkena kepada batang hidungku.

Aku menangis tersedu-sedu. Sinar keinsafan mula memutik di hati. Jemaah yang lain masih tekun sehingga tamat. Tazkirah ditamatkan dengan kalimah syahadah, menyaksikan diri ini bertuhankan Allah, berrasulkan Rasulullah. Hatiku rawan dengan keinsafan. Air mata mengalir sehingga melurut ke jubahku.

Disebabkan sedikit rasa malu apabila seluruh jemaah menyaksikan tangisanku, aku berlari keluar dari masjid.

Larian yang tidak teratur dan hati yang rawan, aku terjatuh. Pandanganku tertancap pada ruangan dalam masjid yang diterangi cahaya. Seketika kemudian, kelihatan jemaah masjid yang aku lihat tadi terbang menembusi bumbung masjid. Dengan sayap putih besar seputih salju.

***

Apa yang berlaku seterusnya sungguh mengejutkan. Masjid yang tadinya terang kini gelap. Yang tadinya bersih kini kelihatan seperti hutan terbiar. Dengan tumbuhan menjalar-jalar di dinding. Bahuku disentuh mengejut. Pantas aku berpaling.

"Apa lu buat sini? Itu masjid sula lama orang tinggal. Itu masjid balu ganti. Talak olang kat dalam. "Seorang lelaki Cina botak menyapaku.

Aku tergamam seketika. Langit mula terang. Jantungku berdegup pantas.

Azan subuh pun berkumandang di kejauhan.

P/s:Cerpen ini sekadar mengisi kelapangan masa.

Cerpen 2016Where stories live. Discover now