Bab 6 | Lamaran ditolak!

93 2 1
                                    

SEMUA yang berlaku bukan kemahuan Emran, namun semuanya adalah ketentuan. Hati dan perasaannya kini dimiliki Areej tanpa sedar. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia tidak mampu walaupun untuk menidakkan perasaannya kepada Areej. Namun begitu kenapa dia sentiasa rasa sedih dan kecewa.

Areej menolak dirinya mentah-mentah. Sehingga hari ini dia dilayan seperti tidak penting oleh Areej. Mungkin ini semua balasan kerana dia sering mempermainkan hati gadis-gadis sebelum mengenali Areej. Semua itu bukan salahnya seratus peratus tetapi akibatnya dia menerima balasan begini. Ditolak. Ditolak. Ditolak oleh Areej tanpa pertimbangan. Sampai bila?

Seminggu dia berkurung di kondonya. Dia cuma memberitahu pembantunya Yunus dia mahu merehatkan minda. Tidak menjenguk Areej. Tidak ke pejabat. Selepas insiden dia meninggalkan Areej begitu saja. Hatinya terluka, tidak gembira, dirinya lagi menderita. Bukan dia tiada maklumat lengkap tentang Areej, semuanya ada dalam genggaman tapi dia tak mampu berbuat luar batasan. Dia masih menghormati prinsip Areej. Gadis itu terlalu istimewa padanya.

Selepas bertapa tujuh hari, Dia nanar dengan rindu. Dia panasaran mahu melihat dan berbual dengan Areej. Namun Areej tidak melayannya seperti orang yang dilamun cinta. Mungkin inilah namanya cinta bertepuk sebelah tangan. Mungkin Areej marah kerana gurauan umi, bahawa dia akan bertunang. Areej anggap itu serius. Boleh jadi umi serius. Pening!

Wake-up Emran! Sedarlah. Bangunlah dari angan-angan yang panjang. Emran bersiap ala kadar. Niat hatinya ingin menjenguk umi dan abah di rumah. Dia bukan seorang yang suka memaksa, apa lagi bila gadis itu gadis yang dicintainya. Entah mengapa hari-hari yang dilaluinya hambar belaka. Dia buat keputusan mahu bersua muka dengan Areej hari ini.

Sebentar saja Emran sudah tercengat di depan asrama Areej bersama senyuman lebar. Tanpa banyak soal Areej setuju mengikutnya keluar makan. Pelik tapi benar kali ini sikap Areej berlembut sedikit dengannya sejak insiden tujuh hari lalu.

Kalaulah makanan yang terhidang boleh terus kenyang. Perut Areej yang sememangnya lapar tidak sabar untuk menelan hidangan di depannya. Dia suka sekali hidangan nasi ayam penyek yang didatangkan dengan segelas jus tembikai. Kehidupannya yang serba kekurangan membuatnya lupa seketika dengan siapa yang ada bersamanya. Mereka bersarapan di Restoran Getaran Jiwa Alamesra dekat saja dengan univerisiti.

"Kenapa tenung saja, makanlah!" Emran bersuara.

Areej seperti biasa, berasa segan dengan layanan dan kehidupan sempurna Emran dibandingkan dirinya.

"Kenapa?" Emran melihat mata Areej berkaca.

"Apa yang penting sangat, awal pagi awak dah datang jemput saya?"

"Saya rindu awak, awak?" Emran memegang garfu mahu menyuap bihun tapi berhenti di pertengahan.

"Awak memang takkan jawab soalan saya kan?"

Wajah Areej berubah dengar jawapan Emran.

"Saya rindu awak, sebab itu saya datang,"

Emran meletakkan garfu ke pinggan tidak jadi makan. Mata Emran tidak lepas dari meratah seluruh wajah Areej yang begitu asyik menyoalnya.

"Awak tak ada kerja lain ke?" Oh! Areej rasa macam nak cekik Emran. Bercakap ikut suka hati dia saja, Areej jadi tambah segan. Emran, tolonglah jangan kata macam tu, kata-kata godaan begitu. Tuhan, tolong kuatkan hati ini untuk tidak tewas pada tiap pengakuan Emran ini.

Melihat wajah Areej sudah berubah, Emran berasa kasihan. Waktu menjamu selera mereka terbantut oleh kerana kata-katanya, Areej langsung belum menyentuh hidangan di depan yang mulai sejuk. Silap haribulan Areej akan cabut begitu saja jika dia silap perhitungan. Areej tidak seperti gadis-gadis lain yang pernah diusungnya.

Si Pemburu Hangat!Where stories live. Discover now