Bab 14

24.8K 109 1
                                    

Pulang dari pejabat, kereta terus dipandu menuju ke Pasar Raya Giant di Seksyen 7, Shah Alam. Beberapa keperluan Rara harus didapatkan dengan kadar segera. Kata Tiara, stok si kecil itu semakin berkurangan.

Lampin pakai buang, susu formula yang sudah tinggal sedikit serta puting botol susu yang perlu ditukar, harus segera didapatkan. Sebagai penjaga si kecil itu, kemahuannya hanya satu. Memenuhi keperluan asas buat Rara yang semakin membesar.

Usai membuat bayaran di kaunter pembayaran, troli ditolak menyusuri laluan keluar hingga tidak sedar bahunya dilanggar seseorang. Untuk sejenak, dia menoleh ke arah insan yang melanggar bahunya.

Susuk tubuh lelaki berseluar jean bersama dengan baju T berkolar itu direnung lama. Jika tidak salah, lelaki ini bernama Pali. Rakan Tiara di universiti.

"Sorry!" tutur Danny, pendek. Namun ucapan maafnya disambut dengan senyuman senget anak muda yang memakai tanda nama Fazli itu.

"Beli barang anak ke, bro?" soal Pali buat-buat tersenyum sambil mengerling beberapa orang rakan lelakinya.

Malas mahu melayan, Danny sekadar menjongket bahu lalu berpaling menolak troli yang tadinya terhenti.

"Jangan kacau Tiara! Aku tak suka." Dalam pada kaki sedang melangkah, amaran keras itu menyusur masuk ke saluran pendengarannya. Kaki yang diayun, terhenti lagi. Tapi dia tetap statik, tidak menoleh.

"Jangan guna kekayaan yang kau ada untuk beli jiwa dia!" Sekali lagi kata-kata dari ulas bibir itu terhambur.

Danny hela nafas. Perlahan-lahan tubuh dipusingkan dan wajah Pali dan rakan-rakannya itu direnung silih berganti.

"Cukuplah kau umpan dia dengan duit... Sekarang kau nak umpan dia dengan apa pula? Tu..." Muncung Pali terhala ke arah troli.

"Semua tu untuk apa? Untuk anak kau orang berdua? Setahu aku, Tiara belum lagi berkahwin! Hairan, belum berkahwin... Belum bernikah tapi dah ada anak. Hairan... Hairan..." Gelak sinis Pali sekali lagi menampar gegedang telinga.

Danny pula sudah rasa bengang, namun sebagai lelaki yang lebih matang dan lebih berusia daripada pemuda awal 20-an ini, hatinya disabarkan sahaja. Buang masa melayan kerenah manusia yang berfikiran singkat.

"Eh, kau nak ke mana?" tanya Pali sewaktu melihat Danny berpusing mahu meneruskan langkah yang terhenti.

"Nak balik! Nak jumpa anak bini," getus Danny membuatkan Pali terdiam seribu bahasa. Dan kerana kebisuan itu, bibir terus menghambur kata.

"Kalau tak tahu apa-apa, jangan menyibuk hal orang! Jaga tepi kain lu, jangan jaga tepi kain gua!" sambung Danny seraya menolak troli yang penuh meninggalkan Pali terkulat-kulat sendirian. Puas hatinya dapat mengajar budak baru nak kenal dunia itu dengan beberapa baris ayat berbisa.

Sejurus mendekati keretanya, Danny memindahkan barang-barang yang dibeli ke dalam bonet kereta. Selesai sahaja kerjanya, dia memboloskan diri ke dalam BMW merah.

Untuk beberapa saat, dia memandang cermin pandang belakang sambil merungkaikan tali leher yang masih kemas lalu ditanggalkan dan diletakkan di atas kerusi bersebelahan. Dari cermin pandang belakang, dia melihat Pali bersama rakan-rakannya sedang berdiri di pintu keluar pasar raya itu. Barangkali sedang memerhatikan dirinya.

Tidak mahu menyesakkan fikiran dengan persoalan berkaitan pemuda itu, enjin kereta terus dihidupkan dan dia harus bertemu Tiara untuk menyerahkan kesemua barang-barang yang telah dipesan oleh gadis itu.

"Abang, kenapa tak call sebelum datang?" Wajah terkejut Tiara menerpa ruang mata Danny.

"Abang nak cepat, tak sempat nak call," terang Danny seraya memandang Tiara yang menutupi kepalanya dengan sehelai tuala. Comel!

Pujaan Hati KandaWhere stories live. Discover now