Bab 8

22K 132 1
                                        

Sudah seminggu si kecil bernama Rara diasuh oleh mereka berdua. Kedua-duanya mengambil pendekatan untuk bergilir-gilir menjaga si kecil berkulit cerah kemerah-merahan itu. Sekiranya Tiara menghadiri kuliah, sudah tentu Reena yang akan mengawasi Rara dan begitu juga sebaliknya. Masing-masing tidak berkira bahkan gembira menguruskan si kecil yang sudah pandai ketawa itu.

Dan setiap hujung minggu juga, Danny akan datang melawat sambil membawa kedua-dua pengasuh Rara, keluar makan malam bersama-sama.

"Rara okey?"

"Alhamdulillah sihat. Tak banyak ragam, senang nak jaga, kan Tiara?" hambur Reena sambil menanti respons rakan serumahnya itu.

Tiara pula terus mengangguk dan menyokong.

"Betul tu. Rara ni memang senang nak diurus. Jaga dia memang tak banyak masalah.

"Huh, lega saya dengar! Ingatkan dia meragam 24 jam."

"Tak adalah! Rara okey, jangan risau, ya? Kalau dia kuat meragam, saya serahkan semula Rara ni kepada awak. Tak kuasa saya nak jaga," tukas Reena disambut tawa kedua-duanya.

"Ada-ada aje awak ni, Reena. Okey, sebagai tanda terima kasih, saya belanja awak berdua makan malam. Amacam? Okey tak?!" tutur Danny mahu mengubah corak perbualan. Sesekali anak matanya sempat mengerling si kecil yang sedang tidur di dalam kereta tolak bayi. Lena sungguh!

"Perghhh... Awak nak belanja kami makan?" soal Reena dengan mata membulat.

Danny mengangguk bersama seulas senyuman dan dengan kening lebat yang terjongket tinggi.

"Oder apa saja yang awak berdua nak makan. Saya bayar."

"Alright! Tiara, apa lagi... Oder yang mahal-mahal. Kita kikis duit bos kita ni kaw-kaw!" Keletah Reena membuatkan Tiara juga ketawa lucu.

Usai ketiga-tiga mereka menikmati makan malam ala-ala makanan barat itu, Danny terus menghantar kedua-dua pengasuh Rara pulang ke rumah mereka.

"Tiara, aku naik dululah. Nak buat assignment." Reena yang sedikit sibuk untuk menyiapkan laporan tahun akhir pengajiannya, meminta diri untuk terus naik ke rumah sewa di tingkat lima.

"Okey, kau pun dah penat jaga Rara siang tadi. So, giliran kau pula studi dan siapkan kerja-kerja kau. Rara, biar aku yang jaga."

"Thanks, Tiara. Aku naik dulu tau."

Tiara mengangguk sambil memerhatikan teman serumahnya naik ke tingkat atas. Kini yang tinggal hanya mereka berdua ditemani si kecil yang baru terjaga.

"Rara, kacau Aunty Tiara tak?" soal Danny kepada si kecil yang gemar menghisap ibu jari. Tiara yang mendengar, menggeleng dalam senyuman.

"Rara tak pernah kacau saya. Tapi saya yang selalu kacau Rara. Yalah, comel sangat! Geram tengok pipi dia yang gebu ni." Jari-jemari yang lepas bebas mencuit pipi montel milik Rara.

Sesekali, Tiara mengagah si kecil itu dan kegembiraannya berganda-ganda apabila Rara turut memberi respons. Tawa si kecil tanpa gigi itu cukup mendamaikan.

"Meh dekat aunty... Kita naik, dah malam ni," tutur Tiara seraya menghulur tangan untuk menyambut Rara ke dalam pelukannya. Danny yang memahami maksud Tiara yang mahu masuk ke rumahnya, segera menyerahkan si kecil itu.

"Kenapa tak bahasakan mama atau mommy kepada Rara?" Soalan yang meluncur di ulas bibir Danny buat Tiara tersentak. Untuk seketika, dia merenung wajah lelaki berkening lebat itu.

"Bukan apa, kalau awak bahasakan mama atau mommy, atau apa-apa sahaja panggilan berbunyi keibuan, saya pasti hubungan awak dengan Rara semakin rapat."

"Perlu ke saya buat semua tu?"

Danny tidak terus menjawab. Lambat-lambat dia mengangguk lalu menguntum senyum.

"Kalau awak tak kesah, apa salahnya. Oh, ya..." Jari-jemari dibawa menyentuh kening lalu anak mata yang cukup menggoda itu dihala ke arah wajah bujur sireh milik Tiara.

"Apa kata awak panggil saya abang? Bukan apa, saya rasa saya dihormati. Lagi-lagi, saya ni tua tujuh tahun daripada awak, kan?" omel Danny sengaja mahu Tiara memanggilnya dengan panggilan abang.

Alah, bukan selalu dia buat kerja gila ni. Hanya sekali-sekala apabila bertemu dengan perempuan yang baik-baik. Kalau perempuan kurang baik, sudah tentu memanggil dirinya dengan panggilan darling dan pelbagai lagi panggilan yang menggelikan anak tekak.

"Panggil awak abang?" soal Tiara seraya mengunjuk jari telunjuk ke arah Danny.

"Hmmm... Boleh, kan?" balas Danny dengan menyengetkan senyumannya.

"Isy, seganlah!"

"Apa nak segan? Anggap saja ini panggilan untuk yang lebih tua. Kalau nak anggap lain pun, tak ada masalah," sengeh Danny buat Tiara ketawa kecil.

"Isy, ada-ada aje awak ni. Tengoklah, bila saya rasa selesa, saya akan panggil awak dengan panggilan yang awak mahukan tu. Buat sementara waktu ni, saya belum cukup kenal siapa awak. Jadi, eloklah kita berawak-awak, ya?"

"Ya, mama Rara!" angguk Danny bersama senyuman. Terjongket kening lebatnya.

"Isy, awak ni..." Wajah Tiara berona merah. Malu apabila disakat sebegitu.

Danny hanya mampu tersenyum. Sesekali dia mengerling jam tangan. Sudah menghampiri jam 11 malam.

"Eh, dah lewat ni! Jom saya temankan awak naik ke atas."

"Awak larat ke nak naik tangga yang bertingkat-tingkat tu?"

"Tengok kakilah, sayang. Panjang kut!" tukas Danny, tergelak-gelak.

Tiara pula tersenyum dalam gelengan kecil.

"Macam-macamlah awak ni. Kalau macam tu, marilah kita naik! Saya pun dah mengantuk ni."

"Alright, jom!" Dengan langkah beriringan, mereka mendaki anak tangga untuk naik ke rumah bernombor 504 di tingkat paling atas. 

Pujaan Hati KandaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang