"Dah dapat info?" Kasyah datang mendekat bersama satu muk kopi susu. Danny yang sedang tekun membalas mesej seseorang, memanggung wajah lalu menginjak ke kiri memberi ruang kepada rakan baiknya itu duduk.
"Belum!" sahutnya, pendek.
"Susah juga nak jejak skandal kau yang satu ni, ya? Misteri sungguh!" luah Kasyah persis bercakap seorang diri. Sesekali kopi susu yang berasap tipis itu ditiup perlahan.
"Buntu kepala otak aku ni! Jam rasanya!"
Tanpa menoleh, bibir Kasyah terus membalas.
"Yalah tu! Masa kau buat, kau tak kira jam ke apa ke... Dah jadi gini, baru kau tahu erti jam!"
"Diamlah! Nak ceramah aku pula."
"Haha... Terover pula aku ni!" Kasyah mengomel sikapnya sendiri. Mujur juga Danny tak ambil hati dengan kata-katanya. Kelak, susahlah hidup dia nanti.
"Aku nak ke hospital ni, kau nak ikut?" Danny menyoal pendek.
"Nak buat apa?" Berkerut-kerut dahi Kasyah. Yalah, untuk apa pula mereka ke hospital. Siapa pula yang sakit?
"Adalah!"
"Tengok tu... Nak berahsia dengan aku! Malaslah aku nak ikut kau."
Danny mengeluh. Kasyah memang begitu. Payah untuk diajak ke mana-mana jika dia tidak tahu asbab di sebalik perbuatannya itu. Payah memang payah! Mulalah tu nak main ugut-mengugut. Apa pun terjadi, Kasyah harus menemaninya ke sana.
"Kau wajib ikut! Aku ada urusan hidup dan mati. Ini berkenaan maruah dan harga diri!"
Kasyah menoleh sejenak. Mimik muka yang aneh itu sudah menjelma.
Melihat 'kelainan' itu, Danny terus menjongket kening.
"Apa hal kau pandang aku macam tu?"
"Ha..." Jari telunjuk digerak-gerakkan. Mula meneka yang bukan-bukan.
"Apa?" Terdongak-dongak Danny menyoal rakan baiknya itu.
"Jangan-jangan kau nak buat pemeriksaan kesuburan tak?" teka Kasyah bersama senyuman jahat. Wajah Danny direnung dengan pandangan penuh syak wasangka.
"Nak buat apa dengan benda alah tu, bro?"
"Yalah, bila kau buat pemeriksaan kesuburan, barulah kau tahu sama ada kau boleh mengandungkan seseorang ataupun tidak!"
"Oi, bingai! Kalau dah orang kata Rara tu anak aku, sah-sahlah aku ni subur!" sahut Danny, pura-pura marah. Kasyah pula sudah tergelak besar mendengar jawapan yang keluar dari mulut Danny.
"Habis, kalau bukan buat pemeriksaan kesuburan, untuk apa pula kau ke sana?" tanya Kasyah sesudah tawanya reda.
"Aku nak mandulkan kau!" balas Danny, geram.
"Weh... Jangan, weh! Nanti aku tak ada keturunan! Siapa nak doakan aku di alam kubur nanti?! Nak harapkan kau doa kan aku? Sembahyang pun tak cukup lima waktu, macam mana nak kirim doa pada aku?" gumam Kasyah masih sempat mengenakan rakannya itu.
"Yalah, imam muda! Kau sorang aje solat penuh lima waktu sehari semalam! Aku tak pernah penuh!"
Suara Danny seperti orang berjauh hati. Sensitif tiba-tiba. Masakan tidak, Kasyah masih ingat dia jahil macam dulu. Come on la, dia dah berubah! Dah dua tahun berubah! Dia orang aje yang tak tahu! Lagipun, dia memang tak pernah menunjuk-nunjuk.
"Alololo... Merajuk pula! Coollah, bro! Aku gurau aje." Kasyah tergelak lagi.
"Banyaklah gurau kau! So, kau nak ikut ke tidak?" Danny pandang wajah Kasyah.
YOU ARE READING
Pujaan Hati Kanda
عاطفيةBacaan Bab Awal Sahaja Tajuk: Pujaan Hati Kanda Penulis: Aulia Iman Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-91-3 Harga: RM27 (Semenanjung) // RM30 (Sabah & Sarawak)