"Jemput makan! Sambil makan bolehlah kita bincang," pelawa Danny tenang memerhatikan raut wajah kedua-duanya.
"Saya rasa lebih baik Encik Danny beritahu perkara yang encik nak bincangkan tadi. Kami dah tak sabar nak tahu apa yang encik nak bincangkan," tutur Reena meminta agar perbualan santai itu menjurus kepada topik utama perbincangan mereka.
"Baiklah, kalau itu yang you all nak tahu. I boleh beritahu. Tapi, I harap you all tak terkejut!"
"Maksud encik?" Tiara pula mempersoal. Seram sahaja nada yang dilantunkan oleh Danny. Hesy, janganlah mereka diapa-apakan! Simpang malaikat 44!
"Tapi sebelum kita bercakap lebih lanjut, you all boleh panggil I dengan panggilan Danny, atau kalau you all rasa tak selesa... Boleh saja panggil abang." Perlahan-lahan belakang tubuh disandarkan di penyandar kerusi menanti respons kedua-duanya.
Tiara pula mengangguk faham. Ada benarnya, takkan dia nak biarkan Danny berencik dengan dirinya sepajang masa. Persis berada di majlis formal pula.
"Kalau macam tu, boleh panggil saya Tiara, dan kawan saya ni Reena. Kami berdua housemate," terang Tiara, pendek.
"Oh, I see." Danny mengangguk seraya memandang jus oren miliknya. Dengan bersahaja, dia menyentuh penyedut minuman di dalam gelas lalu dikacau perlahan-lahan. Beberapa saat kemudian, wajah diangkat dan kedua-duanya diperhatikan.
"Okey... Tiara dan Reena, sebenarnya saya ada satu masalah dan perlukan pertolongan. Saya harap, awak berdua sudi membantu." Dengan sekali lafaz kata-kata itu dilontar tenang. Huh, lega rasanya!
"Tolong apa ni, Encik Danny?" tanya Tiara masih selesa menyebut perkataan encik di pangkal nama lelaki itu.
Dek panggilan itu, bibir Danny terus sahaja tersenyum.
"Panggil saja Danny. Tak perlu berencik-encik. Nak panggil abang pun boleh. Saya percaya, saya lebih berusia daripada awak berdua."
"Abang?" Reena sudah tayang wajah loya. Yalah, sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga yang dikelilingi empat orang abang, dia merasa tidak wajar memanggil lelaki lain selain daripada abang kandungnya dengan panggilan abang. Hesy, kekok rasanya!
"Kenapa? Tak selesa? Kalau tak selesa, panggil sahaja Danny," balas Danny sambil ketawa kecil hingga membuatkan si gadis yang mempersoal, menunjukkan senyuman senget.
"Saya tak biasa!"
"It's okay! Take your time, Reena."
"Thanks," ucap Reena disusuli dengan anggukan kecil. Beberapa ketika kemudian, suasana menjadi hening. Enggan membuang masa, Tiara bingkas bertanya tentang tujuan lelaki itu membawa mereka berdua ke kopitiam yang semakin dipenuhi para pengunjung.
"Tadi Encik Danny ada sebut tentang pertolongan. So, pertolongan macam mana yang encik perlukan?" aju Tiara masih belum bersedia memanggil lelaki itu dengan panggilan abang ataupun menyebut nama lelaki itu dalam perbualan mereka. Cukuplah sekadar berencik di awal perkenalan.
"Sebenarnya saya nak minta tolong awak berdua untuk jagakan baby!" terang Danny buat kedua-duanya tersentak.
"Jagakan baby? Baby siapa? Anak awak ke?" Reena pula menyoal bertubi-tubi.
"Eh, bukan! Bukan anak saya." Cepat-cepat dia menggeleng. Jatuh sahamnya andai pengakuan itu dibuat. Ah, berahsia itu lebih baik daripada berterus terang lalu mengaibkan diri sendiri.
"Habis, anak siapa?"
"Anak kawan saya. Dia... Dia... Erm, sebenarnya saya perlukan pengasuh!"
Danny tukar topik. Tentang anak siapa si kecil itu, dan bagaimana dia dan bayi tersebut bertemu, itu semua tidak perlu dinyatakan. Dia hanya memerlukan pengasuh untuk menjaga bayi yang berusia dua bulan itu dengan sebaik mungkin sementara penyiasatan dilakukan. Itu sahaja!
YOU ARE READING
Pujaan Hati Kanda
RomanceBacaan Bab Awal Sahaja Tajuk: Pujaan Hati Kanda Penulis: Aulia Iman Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-91-3 Harga: RM27 (Semenanjung) // RM30 (Sabah & Sarawak)