Dengan segera, beliau melangkah keluar dan menuju ke biliknya. Asrama itu masih lagi gelap gelita dan sunyi namun langkahan Orkid tetap diteruskan. Sesekali, beliau teriak memanggil rakannya itu.
"Maya! Maya!", suara itu bergema.
Sampai sahaja di bilik kelihatan Maya sedang berada di tepi tingkap memandang ke luar.
"Maya... Maya... kau takkan percaya apa berlaku pada diri aku ni!", ujar Orkid mendapatkan rakannya.
Maya menoleh ke arah Orkid dan tersenyum lebar.
"Wahh!! Kau dah cantik Orkid! Aku hampir tak dapat kenal kau!".
"Kan.. kan... Serius aku tak sangka jamu tu betul-betul menjadi!".
Maya sekadar senyum melihat gelagat riang Orkid. Gadis itu melenggok-lenggokkan dirinya dan memusing untuk diperlihatkan oleh Maya.
Bilik itu gelap. Cuma cahaya bulan yang memasuki tingkap menerangi bilik itu samar-samar. Kesunyian itu memberi sedikit perasaan seram.
"Eh.. beb. Mana pergi semua orang hah? Kenapa asrama ni gelap je? Lagi pelik.. kenapa kau seorang je ada kat asrama ni?".
"Aih.. baru kau perasan ke?".
"Hm.. entah. Aku betul-betul ralit dengan perubahan ni sampai tak hiraukan pulak".
Maya masih lagi tersenyum. Beliau menggosokkan tangannya.
"Orkid... ada satu lagi perkara yang aku perlu bagitahu kau".
Wajah Orkid berubah wajah. Dahinya dikerutkan.
"Apa dia?".
Maya menarik nafas dalam-dalam dan dihembusnya perlahan-lahan. Dalam kegelapan itu beliau tatap wajah Orkid.
"Macam ni.. Sekarang kau dah cantik. Segala keburukan yang kau tidak suka dulu sudah tiada".
"Ookay... so?"
"Sebenarnya, keburukan itu tidak dihapuskan. Ia cuma dipindahkan".
Dada Orkid tiba-tiba berdegup kencang. Apa yang dikatakan Maya ini?
"Apa maksud kau ni Maya? Pindah? Pindah macam mana?".
"Hmm.. macam ni", Maya membetulkan posisi duduknya.
"Jamu yang kau makan itu sangat istimewa. Bahan yang digunakan bukan biasa-biasa. Siap jampi lagi".
"Bukan biasa? Jampi? Maksud kau? Jamu tu diperbuat daripada apa?Jampi apa?!".
"Dukun yang aku jumpa tu, dia buat dan jampi jamu ini daripada...", Maya berhenti seketika. Selepas menghela nafas dalam-dalam, beliau menyambung,
"Daripada janin yang telah digugurkan".
Orkid terkejut sehinggakan terjatuh ke belakang. Ketakutan melanda dirinya. Beliau tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
"J..janin?! K...kau gila?!".
Maya memandang wajah Orkid dengan pandangan yang bersahaja.
"Rileks la Orkid. Apa kau ingat semuanya senang begitu sahaja? Setiap kecantikan ada pengorbanannya. Kalau kau buat rawatan atau pembedahan plastik pun, tetap kau akan sakit untuk menjadi cantik, bukan?".
"Tapi ni dah dikira khurafat! Syirik!".
"Well... kau jugak yang setuju kan?".
"Ahh! Kau celaka!".
Maya ketawa kecil. Beliau berdiri dan menuju ke arah Orkid. Kemudian beliau melutut untuk mengusap pipi rakannya itu. Orkid menepis tangan Maya sambil mendengus.
"Kau cakap tadi ianya dipindahkan. Ia dipindahkan ke mana?".
"Oh ye.. lupa plak aku", Maya bersila di hadapan Orkid.
"Janin yang digugurkan itu meminta nyawa. Jadi, dengan memberikan kau kecantikan, segala yang buruk dipindahkan kepadanya. Dan dengan itu ia hidup. Janin itu berbeza mengikut tuannya. Kau punya barangkali akan datang kepada kau tak lama lagi. Janin tu akan ikut sahaja kau. Aku pun ada janin tersendiri".
Dada Orkid semakin kencang. Beliau tidak menjangkakan ini langsung! Apa yang beliau mahukan cuma kecantikan dan keyakinan sahaja. Bukan dengan sesuatu yang bersifat khurafat terikat dengannya.
"Apa?? Dia ikut aku? Apa dia nak?".
"Setiap bulan purnama, ia akan datang dan kau harus menyerahkan tubuh badan kau untuk.... Well, kau tau la kan..", ujar Maya sambil tersenyum sambil menunjuk ke arah kemaluannya tanpa segan silu.
"Hah?? T..tidak... Tidak! Aku tak akan serahkan tubuh aku ni! Jika lelaki pun aku tak beri.. Apatah lagi iblis!".
"Ala.. rileks la Orkid. Aku pun macam kau juga. Beri sahaja. Kau akan cantik selamanya macam aku".
"K..kau gila! Kau gila!!", Orkid lantas berdiri dan keluar dari bilik itu meninggalkan Maya. Langkahnya laju. Beliau tidak tahu ingin ke mana. Kakinya bergerak tanpa hala tuju.