Rabu, 24 November 2010. Pukul 9 pagi. Aku menaiki tren dari stesen keretapi Leeds ke hentian Lapangan Terbang Antarabangsa Manchester. Penerbangan Air France AF2099 berlepas tepat jam 12:30pm dari terminal 3 seperti yang dijadualkan. Untuk perjalanan kali ini, aku mengusung sebuah beg galas serta sebuah gym bag bersaiz kecil. Kedua-duanya hand carry. Tiada item untuk aku check-in.
Beg galas berisi dokumen penting serta beberapa unit quantum cascade laser (QCL) yang telah dibungkus rapi. Gym bag pula berisi sedikit persalinan pakaian dan satu paket besar Nescafe 3-in-1 berwarna hijau. Diturutkan hati, aku kurang meminati versi 3 dalam 1 kerana banyak gula. Sebagai bekalan menggembara, tidak mengapalah sekali-sekala. Lagipun, otak aku tak mampu berfungsi tanpa Nescafe. Kopi jenama lain pula tidak memberi kesan.
Menurut siaran BBC, cuaca di Paris diramal dingin sepanjang seminggu yang akan datang dengan kemungkinan turunnya sedikit salji. Maka, tidak perlulah aku mengusung banyak pakaian. Musim sejuk, pasti kurang berpeluh. Sebagai persediaan menghadapi kemungkinan salji, aku bawa juga sehelai jaket denim serta snow cap. Toiletries pula, selalunya akan disediakan oleh pihak hotel. "Takpelah, gamble aje."
Penerbangan memakan masa 90 minit. Terlalu singkat untuk melelap mata. Pesawat mendarat di terminal 2 lapangan terbang Charles De Gaulle (CDG) sekitar jam 3 petang (waktu tempatan). Ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke kota Paris, kota cinta dunia. Beza waktu antara Paris dengan UK, satu jam. Berdasarkan pengumuman sewaktu mendarat, suhu di luar mencatatkan bacaan 8°C. Sedap.
YOU ARE READING
Le Oulala
Non-FictionTravelog Paris MrFlowerman sekitar hujung tahun 2010. Kembara sains ke kota cinta dunia tatkala hati sedang berbunga mekar. 8 Bab keseluruhan yang dipecahkan kepada 41 bahagian kecil. Pecahan entri akan dimuatnaik setiap hujung minggu. Semoga terh...