1.2 Charles de Gaulle

172 10 11
                                    

Keseluruhannya, arahan papan tanda di terminal ketibaan CDG agak mengelirukan. Segalanya dalam bahasa Perancis. Kadang-kadang ada terjemahan inggeris di bawah. Ada kalanya tidak. Selain mentafsir simbol, aku hanya mengikut arus. Ke mana sahaja penumpang sekapal denganku menghala, aku turuti. Sehinggalah sampai ke checkpoint pertama. Aku dapat mengagak itu pintu imigresen berdasarkan raut bengis tanpa senyuman setiap pegawai di sebalik kaunter. Tipikal.

Mujur urusan di imigresen tiada masalah. Selaku pelajar antarabangsa, visa pelajar yang sah dari UK sudah memadai buatku melepasi sempadan negara-negara Eropah. Sebarang dokumen tambahan tidak diperlukan kerana UK juga anggota Kesatuan Eropah (EU). Walau bagaimanapun, sedikit kekecohan timbul di checkpoint pemeriksaan kastam sejurus selepas itu. Isunya berkenaan beberapa unit quantum cascade laser (QCL) yang aku bawa dari UK.

Penghasilan QCL merupakan topik penyelidikan pengajian PhD aku. QCL adalah sejenis cip laser halus berasaskan semikonduktor yang mampu mengesan kehadiran objek berbahaya. Imbasan radiasi Terahertz yang dijana oleh seunit QCL berupaya mengenalpasti pelbagai spesis narkotik, ubat terlarang dan juga bahan letupan seperti RDX, C4 dan TNT.

Maka, QCL sangat popular dalam industri pertahanan dan keselamatan. Sebagai contoh, pemeriksaan penumpang serta imbasan bagasi di banyak lapangan terbang sudah mula beralih ke teknologi QCL. Oleh itu, aku telah menjangka tindakan mengusung QCL menggunakan laluan udara bakal mengundang seribu satu persoalan.

Meskipun begitu, tiada apa yang perlu dirisaukan. Pengalaman hidup di Amerika Syarikat sewaktu tragedi 9-11 membuatkan aku sudah lali dengan layanan sebegini. Yang penting, berani kerana benar. Perkataan 'Mohamed' yang tertera dalam pasport milik insan berkulit coklat sentiasa mencetuskan paranoia di kalangan orang Barat. Maklum saja, "If you're white, it's alright. If you're brown, they will frown." Salinan dokumen sokongan daripada pihak universiti aku hulurkan buat tatapan staf kastam.

Sambil menjegil kearahku dengan wajah tidak berpuas hati, seorang pegawai membuat panggilan telefon. Entah dengan siapa mahupun apa yang dibincangkan, aku tak tahu. Kemudiannya, aku dilepaskan. Selesai. Syukur tak kena bogel. Sebelum meninggalkan balai ketibaan, aku tergerak hati untuk mencucuk duit keluar daripada mesin ATM. Pengeluaran tunai terus ke dalam matawang Euro. Standby cash bagi keperluan peribadi. Mana boleh semua guna duit fakulti. Itu sudah melampau.

Nota Pengarang:

Klip di atas adalah time-lapse video lapangan terbang CDG. Sekitar 2011, visa UK sudah memadai untuk masuk ke Paris. Dengan isu BREXIT (Britain berpisah daripada EU), entah apa pula rombakan syarat terkini.

Le OulalaWhere stories live. Discover now