Sekitar jam 5.30pm aku tiba di lapangan pterbang Lombok. Lombok juga dikenali dengan nama 'Tanah 1000 masjid". Memang banyak masjid di sini. Boleh katakan setiap beberapa kilometer kau akan jumpa masjid. Dan bunyi pertama yang aku dengar sejurus keluar dari lapangan terbang menuju ke tempat meletak kenderaan 'supir' kami ialah azan. Alhamdulillah, terasa pelik je hidup tak dengar azan selama 3 hari di Bali. Di Lombok, majoriti penduduknya beragama Islam, manakala di Bali majoriti penduduknya beragama Hindu. Hati aku lebih tenang ketika sampai di Tanah 1000 masjid ini kerana segala urusan seperti solat dan makanan aku boleh cari dengan mudah berbanding di Bali yang agak sukar untuk mencari makanan.
"Supir" kali ni bernama Jan. Jan ialah penduduk asli dari Mataram, kota besar Lombok. Orangnya peramah dan sangat sederhana. Oh ya, ketika di tempat letak kereta aku dan Anne diperkenalkan dengan seorang lagi sahabat bernama Wan. Wan ni berasal dari Kelantan, baru habis grad di Jakarta dalam bidang kedoktoran dan terus terbang ke Lombok demi menakluk Rinjani. Kami bertiga dijadikan satu kumpulan dalam misi mendaki puncak Rinjani. Selepas berkenalan, kami dibawa terus ke kaki gunung Rinjani bernama Sembalun. Perjalanan mengambil masa sekitar 3 jam. Jalannya agak mencabar kerana kenderaan harus mendaki laluan sempit menuju ketinggian 1000 meter dari paras laut(MDPL). Kami sampai sekitar 9 malam dan ditempatkan disebuah homestay bersama kumpulan-kumpulan yang lain. Setelah bersihkan diri, kami dijamu dengan makanan tempatan oleh Jan dan tuan rumah homestay itu.
Ketika ini kami diperkenalkan dengan seorang lagi lelaki bernama Jamal. Jamal inilah yang akan jadi guide atau pemandu penunjuk arah kami dari Sembalun-puncak-Senaru atau keseluruhan track gunung Rinjani ini. Kami diberi maklumat ringkas oleh Jan dan Jamal serta itinerary keseluruhan tentang barang apa yang perlu dibawa ke atas gunung. Dan selepas itu kami pun pulang ke bilik masing-masing untuk tidur. Esok pagi kami dah mula mendaki, jadi kami semua perlukan rehat yang cukup. Aku ditempatkan dalam sebuah bilik dengan Wan. Aku ambil peluang untuk mengenali Wan ni lebih dekat sebab tadi di lapangan terbang aku tak sempat berbual panjang dengannya. Rupanya Wan ni baru je habis trip trekking Annapurna Base Camp(ABC) atau kaki gunung asas bagi gunung Everest di Nepal sana. Fuh, bukan calang-calang orangnya ni. Mesti laju dia nanti. Sempat juga aku minta tips kepadanya kalau-kalau aku AMS di atas atau cramp. Inilah bagusnya kalau ada rakan yang tahu ilmu medik ni.
Malam tu aku sukar untuk tidur sebab kecederaan dalaman di quadriceps aku waktu white water rafting di Bali masih ada. Rasa risau dan bimbang aku tak sampai puncak tu memang ada dalam fikiran. Aku keluar sebentar dari bilik dan cuba ambil angin di luar. Suhu ketika itu sejuk, mungkin sekitar 18 darjah selsius. Tapi aku tak boleh nak nampak apa-apa sebab malam tu langit terlalu gelap. Ketika itulah aku berkenalan dengan kumpulan dari bilik sebelah. Salah seorangnya bernama Ridwan, mereka semua ini dari Sidoarjo, Jawa Timur. Sambil-sambil berkenalan, aku dihulurkan krim 'counter pain'. Inilah masalah aku bila terlalu lama tinggalkan dunia survival, banyak benda yang aku terlupa sediakan. Patutnya dari Malaysia lagi aku dah siap beli emergency first aid macam ni. Mujurlah ada sahabat yang mahu membantu, alhamdulillah. Setelah sapu krim tu, aku pun masuk tidur. Jam 5.30 pagi kami mula bangun tidur dan bersiap untuk ke pintu masuk Taman Negara Gunung Rinjani. Keluar je dari bilik aku terus terpegun melihat keindahan puncak Rinjani dari jauh. Inilah dia gunung yang sering diperkatakan orang itu. Cantik sangat. Dah la malam tadi aku tak nampak apa-apa. Usai sarapan pagi, kami terus menaiki van pick-up yang disediakan menuju ke tempat mendaftar sebagai pendaki.
YOU ARE READING
Escape 3726 mdpl!
AdventurePerjalanan solo dari Bali ke Lombok. Eh aku tak tau nak tulis apa lagi ni. Nanti aku edit semula. Sabar la. Aku baru je download binatang ni.