Bab 32

1.2K 106 26
                                    

"Terima kasih untuk layanan korang semua hari ni. Sedap sangat korang masak tadi." Ujarku sambil mengikat tali kasut di hadapan pintu.

"Sama-sama." Balas Aisyah dan Mariam serentak. Tiga orang lagi housemates mereka turut sama menghantar aku di hadapan pintu.

"Macam mana dengan housemate baru? Dah cari?" Tanya Mariam. Ternyata dia sudah sedia maklum dengan perihal kepulangan Mia walaupun dia tidak tahu akan penyakit dan tujuan sebenar Mia pulang ke tanah air.

Aku berdiri lalu menggeleng. "Buat masa ni saya belum bersedia lagi nak duduk dengan housemate baru. Masih cuba moved on dari Mia." Kataku sambil tersengih, cuba bergurau walaupun hakikatnya itulah sebenarnya apa yang aku rasa.

"Tak apa, Zie. Nanti kalau ada masa lapang ke atau ada apa-apa masalah, datang je rumah ni. Pintu sentiasa terbuka untuk siapa-siapa yang nak datang, terutama sekali awak." Aisyah berkata sambil tersenyum.

Sememangnya rumah mereka ini digelar Rumah Islam, semacam headquarters untuk persatuan usrah Islamic Society. Kerana itu juga rumah ini lebih luas, supaya lebih mudah dan selesa apabila ramai orang datang berkumpul.

Kami berbalas ucapan salam sebelum aku menuruni tangga ke tingkat bawah. Kedengaran pintu rumah mereka ditutup rapat setelah kelibat masing-masing hilang dari pandangan.

Setibanya di ground floor, baru aku tersedar akan sesuatu. Tablet aku! Pasti tertinggal selepas selesai menyalin nota usrah tadi.

Aku kembali mendaki anak tangga ke rumah Mariam. Tiba-tiba kedengaran pintu dibuka dari tingkat atas.

Itu pasti bunyi pintu rumah Mariam. Bagus juga. Tak perlu aku mengetuk pintu dan memanggil mereka untuk mengambil tablet.

Namun, apabila aku tiba di floor rumah Mariam, jantung aku bagaikan mahu gugur melihatkan situasi yang berada di depan mata.

"Okay, Uzai. I balik dulu."

"Terima kasih, ya. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam."

Langkah aku lantas bagaikan dipaku di anak tangga tersebut. Kelihatan Uzai sedang menghantar Aina di muka pintu rumah bernombor dua tadi.

Aina yang mula berpaling menuju ke tangga terkejut apabila melihat kelibat aku tercegat di situ. Lantas dia senyum sinis segaris sebelum berlalu melepasiku menuruni anak tangga. Tiada langsung sepatah kata yang keluar dari mulutnya, barangkali seperti sudah mendapat pengajaran dari kes di Malaysia Hall tempoh hari.

Mujurlah. Jika tidak, mungkin pipinya akan menjadi mangsa lagi hari ini. Ya, dia harus tahu bagaimana mahu mengawal mulutnya, supaya tidak terlalu menyakiti hati orang lain.

Kelibat Aina semakin menghilang di bawah sehingga kedengaran pintu sekuriti bangunan apartment tersebut dibuka dan ditutup. Namun, sedari tadi, pandangan mataku tidak lepas dari lelaki yang sedang berdiri kaku bertentang mata denganku saat ini.

Aku menggeleng perlahan, tanda terkejut dan tidak percaya dengan apa yang baru kulihat sebentar tadi. Apa yang mereka berdua lakukan di dalam rumah tersebut?

Hilang keinginan untuk mengambil tablet, lantas aku berpaling dan kembali menuruni anak tangga ke tingkat bawah dengan pantas. Namun, aku terdengar derapan tapak kaki yang laju menuruni tangga di belakangku, seperti sedang mengejar sesuatu.

Aku mempercepatkan langkah keluar dari bangunan tersebut, dan tanpa mempedulikan keadaan sekeliling, aku mula mengatur langkah tanpa hala. Kecewanya rasa, hanya Tuhan saja yang tahu.

"Lelaki alim tak bergaul sesuka hati dengan perempuan. Dia takkan berdua-duaan dengan perempuan kalau tak ada hal yang penting."

Betullah apa kata Ali. Lelaki alim bukanlah seperti Uzai. Sudah beberapa kali aku terserempak dia berduaan dengan Aina. Dan pada kali ini, dia sudah melebihi batas seorang Muslim mengikut sudut pandangan aku.

Mencari Jalan PulangWhere stories live. Discover now