ZATI mengeliat malas. Dia yang masih berbungkus di dalam selimut menutup mulut yang menguap. Tangan menggosok-gosok pula mata untuk dicelikkan. Melihatkan cahaya matahari di celahan tirai yang masih tertutup di pintu gelangsar, dia menolak selimut tebal yang membaluti tidurnya semalaman.
Puas mengeliat di atas katil, Zati melangkah turun. Kaki menapak ke arah pintu gelangsar. Tirai labuh berwarna putih yang hampir mencecah ke lantai itu disingkap dengan kedua-dua belah tangan. Cahaya matahari yang memanah tepat ke wajah Zati membuatkan wanita itu mengecilkan sedikit pandangan matanya dek silauan.
Pintu gelangsar yang masih berkunci dibuka untuk membenarkan angin masuk. Zati berlalu semula ke katil untuk mengemas. Bantal dan selimut disusun kemas di atas katil. Selesai mengemas, dia memandang katil dan sekeliling bilik sambil tersenyum. Senyuman yang penuh dengan kepuasan kerana berjaya memiliki apa yang dikehendakinya selama ini.
"Sekarang, siapa yang menang?" gumamnya perlahan.
Zati melangkah keluar dari bilik dengan senang hati. Dia menuju ke bilik yang bersebelahan dengan bilik tidurnya. Tombol pintu dipulas perlahan-lahan sebelum menjengah. Kelihatan susuk tubuh kecil yang memeluk anak patung masih berbaring di atas katil.
"Mia? Mia... tidur lagi ke sayang?"
Zati menunggu beberapa minit sambil memerhati Mia. Anak kecil itu langsung tidak memberikan respons. Zati menutup semula pintu bilik sebelum berlalu. Kaki memijak anak tangga untuk turun ke bawah. Langkah dicepatkan menuju ke dapur.
"Dah bangun puan? Gembira nampak?" Mak Yam menegur sebaik melihat kelibat Zati memasuki dapur lalu menapak ke arah peti sejuk.
"Mestilah gembira. Kenapa? Mak Yam tak gembira ke?" balas Zati sambil tersenyum. Sebaik pintu sejuk dibuka, sekotak minuman jus buah-buahan dicapai.
Mak Yam yang sedang memotong sayur turut tersenyum sebelum membalas.
"Kalau puan gembira, takkanlah Mak Yam nak sedih pula, ya tak?"
Zati yang baru selesai menuang jus ke dalam gelas memandang orang gaji itu sambil mengangkat kening. Tidak lama masa yang diambil sebelum kedua-duanya melepaskan tawa di dapur. Tawa yang mengandungi maksud tersirat yang hanya difahami oleh mereka.
"Tapi, puan... Mak Yam nak cakap sikit," kata Mak Yam sambil memerhati kepada Zati.
Zati yang sedang minum meletakkan gelasnya ke atas meja sederhana besar itu. Dia melabuhkan punggung di kerusi yang bertentangan dengan Mak Yam untuk mendengar kata-kata orang gaji itu.
"Cakap apa Mak Yam? Macam perkara penting saja?" soal Zati cuak.
Mak Yam yang sedang memotong sayur sawi menghentikan kerjanya sebelum bersuara.
"Kalau boleh, puan janganlah macam ni selalu. Maksud Mak Yam, bangun lewat macam pagi ni. Kalau tuan tengok puan selalu macam ni, nanti apa pula yang dia fikir."
Zati menarik nafas lega. Bibirnya terlukis senyum sebelum gelas minumannya dicapai semula.
"Ingatkan apalah tadi Mak Yam ni. Alah... Irham tu asalkan tahu saya sayang dan layan si Mia tu, dia takkan syak apa-apalah, betul tak? Lagipun, Mia kan memang dari dulu sampai sekarang sukakan saya. Lama-lama nanti, tak mustahil kalau..."
"Pagi tadi dia dah tanya pasal ibu dia," luah Mak Yam senada. Tangannya mencapai pisau yang diletakkan di atas papan pemotong untuk meneruskan kembali kerja-kerjanya.
Zati yang baru hendak meneguk semula jus, terhenti. Rona ceria yang menghiasi wajahnya kian terhakis apabila mendengar sebaris ayat Mak Yam.
"Ibu dia?!"
YOU ARE READING
Orang Gaji
HorrorUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3 dengan pembelian secara online dan penghantaran PERCUMA TAJUK : ORANG GAJI PENULIS : DAISY ZAHRA ISBN : 978-967-14675-1-0 HARGA : RM24/RM27 Segala-galanya berubah apabila isteri Irham sedar daripada koma...