PERUT yang berbunyi memaksa Sara mencelikkan mata yang sudah sembap kerana menangis siang tadi. Sejak memulakan kerjanya tengah hari tadi, dia langsung tidak menjamah sebarang makanan. Selepas dimarahi oleh Mak Yam, dia hanya berkurung di dalam bilik. Biarpun mata terasa betul-betul mengantuk dan minta ditutup sekarang, tetapi rasa laparnya memaksa dia bangun berteleku di atas katil.
Suis lampu tidur di hujung katil ditekan. Cahaya kuning malap lampu tidur menerangi sudut bilik. Jam loceng di atas meja kecil di sisi katil segera dikerling. Jarum jam yang menunjukkan pukul 11.40 malam membuatkan Sara menggeleng kesal.
"Melepas solat," ujarnya perlahan. Sara bertekad. Selepas makan, dia akan membersihkan diri dan mengqada semula solat maghrib yang sudah terlepas.
Sara melangkah turun dari katil. Perutnya yang semakin rancak berbunyi perlu diisi. Lagipun, sekarang sudah malamkan? Rasanya dia sudah mengikut arahan dan kehendak Mak Yam yang membenarkannya untuk makan pada waktu malam.
Pintu dikuak perlahan-lahan sebaik tombol dipusing.
"Janganlah ada siapa-siapa yang terbangun," pinta Sara penuh mengharap.
Bunyi berkeriut yang kedengaran tatkala pintu ditarik meremangkan bulu roma Sara. Lebih-lebih lagi apabila dia menjengah ke luar bilik dan memerhati sekeliling ruang rumah yang sudah bergelap. Gelap-gelita. Hanya cahaya suram yang menerangi di ruangan dapur.
Kaki segera diatur menuju ke dapur. Pinggan nasi diambil dari rak pinggan. Sara berlalu pula ke periuk nasi. Nasi yang masih ada di dalam periuk itu disenduk dengan tidak sabar. Bibir sudah tersenyum membayangkan makanan yang bakal menjadi santapannya sebentar saja lagi.
Meja makan sederhana di dapur itu segera dituju. Meja yang juga turut menjadi tempat Mak Yam melakukan kerja seperti memotong sayur dan sebagainya. Tudung saji terus diangkat sebaik Sara melabuhkan punggung ke kerusi.
Sambal ikan kembung dan sayur goreng campur yang masih berbaki benar-benar membangkitkan selera Sara yang sememangnya kelaparan. Ikan dan sayur terus disudukan ke dalam pinggan. Tidak bertangguh Sara terus menjamah nasi. Suapan demi suapan dilakukan demi memenuhi kehendak perutnya.
Selepas beberapa minit pinggannya licin. Sara menyandar kekenyangan. Pinggan-pinggan kotor dicapai ketika dia bangun. Di singki, dia mencuci pinggan-pinggan dengan penuh cermat dan berhati-hati. Air dibiarkan mengalir perlahan agar tidak terhasil bunyi yang mungkin akan mengganggu majikannya. Ataupun, Mak Yam.
"Alhamdulillah," ucap Sara sebaik selesai menyudahkan kerjanya di singki. Tangannya mencapai pula sebiji muk sebelum berlalu ke peti sejuk.
Baru saja tangannya menyentuh pintu peti sejuk, kedengaran alunan lagu sayup-sayup di hujung pendengarannya. Terkebil-kebil sepasang mata Sara apabila telinganya cuba mengesan arah alunan bunyi tersebut.
Muk yang dipegang diletakkan ke atas peti sejuk. Sara menapak perlahan-lahan meninggalkan ruang dapur. Dia berhenti di meja makan utama yang terletak di ruang tengah yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu. Alunan lagu tersebut semakin jelas di pendengarannya.
Tangan Sara merayap ke dinding mencari suis lampu. Suis ditekan, namun lampu di ruangan tersebut tidak menerangi seperti selalu. Jari Sara menekan lagi untuk beberapa kali. Namun, hasilnya tetap sama. Ruang tersebut masih gelap.
"Emm... emm..."
Suara halus menggumam mengikut alunan tersebut yang tiba-tiba kedengaran menyentak jantung Sara. Dia cuba memberanikan diri melangkah beberapa tapak ke hadapan. Kepalanya juga ikut menjengah seiring langkah kakinya.
"Sss... siapa?" tegur Sara. Air liurnya ditelan. Terasa helaan nafasnya sudah tidak teratur. Lebih-lebih lagi suara tersebut dan alunan lagu tersebut semakin jelas kedengaran di hujung telinganya seiring langkahnya yang dihala ke ruang tamu.
YOU ARE READING
Orang Gaji
HororUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3 dengan pembelian secara online dan penghantaran PERCUMA TAJUK : ORANG GAJI PENULIS : DAISY ZAHRA ISBN : 978-967-14675-1-0 HARGA : RM24/RM27 Segala-galanya berubah apabila isteri Irham sedar daripada koma...