Bab 6

1.4K 30 7
                                    

"AYAH!" Mia yang tadinya elok duduk di kerusi bergegas turun untuk mendapatkan ayahnya yang sedang menapak ke meja makan. Suaranya teruja. Banyak perkara yang ingin dikongsi dengan ayahnya yang sehari suntuk tidak bersua dengannya semalam setelah pergi kerja.

"Awalnya anak ayah bangun hari ni. Patutlah ayah tengok Mia tak ada dalam bilik tadi." Irham yang mendepa kedua-dua tangannya memeluk erat Mia yang kini sudah berada di dalam dakapannya.

"Mia tunggu ayah semalam," omel Mia dengan nada mengadu.

Irham tersenyum. Kucupan diberikan di pipi Mia sebelum bersuara.

"Ayah sibuk semalam, sayang. Lagipun rasanya ayah tak janji apa-apa dengan Mia, kan?" Irham menarik sebuah kerusi lalu mengambil tempat di situ. Mia yang masih berada di pangkuannya dipandang mesra.

Zati yang turut berada di meja makan mengerling Irham. Tangannya lincah menyapu mentega kacang di sekeping roti.

"Memanglah you tak janji apa-apa dengan Mia, tapi dah lama you tak bawa dia jalan-jalan. Mestilah dia bosan asyik terperap dalam rumah ni," ujar Zati.

"Yalah ayah. Dah lama ayah tak bawa Mia jalan-jalan," tambah Mia mengikut saja kata-kata Zati yang baru didengari.

Zati tersenyum. Ada harapanlah untuk dia mengikut nanti kalau Irham bawa Mia keluar berjalan-jalan. Semakin rapatlah hubungan mereka berdua nanti.

"Mia, sini sayang. Mak cik dah siap sapu mentega kacang ni." Zati memanggil Mia yang masih duduk di riba Irham.

Mia melompat turun dari riba ayahnya lalu menuju ke tempat duduknya semula di sisi Zati. Sekeping roti yang dihulurkan oleh Zati disambut lalu digigit sedikit demi sedikit.

Irham hanya memerhati layanan yang diterima oleh anaknya. Pada pandangan matanya, Mia menerima layanan yang baik daripada Zati. Belum pernah anaknya mengadu yang bukan-bukan mengenai Zati setakat ini.

"Mia nak air apa? Teh ke Milo?" Zati menuding ke teko air yang baru diletakkan ke atas meja oleh Mak Yam. Pembantu rumah itu melepaskan senyuman kepada Zati di saat pandangan mata mereka bertemu.

"Emm... Milolah," jawab Mia. Roti yang dipegangnya terus digigit.

Zati mencapai satu teko yang mengandungi air Milo. Air berwarna coklat itu dituang ke dalam cawan yang terletak di depan Mia.

"I bukan tak nak bawa Mia jalan-jalan, tapi I sibuk sikit. Lagipun, business tengah ada masalah sekarang ni," luah Irham setelah diam sejenak.

Zati mengerling raut wajah Irham dengan ekor mata.

"Tapi, kesianlah dengan Mia. Emm... apa kata kalau petang ni you bawa Mia jalan-jalan? Belikan dia baju baru ke? Mesti dia seronok, kan sayang?" Zati mengusap kepala Mia.

"Yeay! Dapat baju baru. Baju princess... mak cik ikut juga ya?" Mia melonjak kegembiraan apabila mendengar baju baru yang bakal dibeli untuknya.

Zati tersimpul senyum. Siapa cakap jaga budak-budak susah? Bodoh! Tengok... bukan setakat nak ambil hati Mia saja, tapi hati ayah Mia pun dia boleh tambat tau!

Irham yang baru menyisip air teh meletakkan kembali cawan ke alasnya. Raut wajah gembira si anak diperhati. Begitu gembira Mia apabila dengar pasal baju baru.

"Hari ni tak boleh sayang. Ayah..."

"Alah..." Mia melepaskan keluhan. Muncung sudah ditarik apabila mendengar kata-kata ayahnya.

Zati memandang Irham. Ekspresi wajahnya cuba dikawal agar tidak terzahir pada pandangan mata lelaki itu.

"Kenapa? You ada apa-apa hal yang penting ke hari ni?" soal Zati. Cawan yang mengandungi air teh suam dibawa ke bibir lalu disisip sedikit.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 29, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Orang GajiWhere stories live. Discover now