Azlan memandang anaknya dengan pelik dari jauh. Dia baru sahaja selesai membasuh kuali di sinki. Kenapa dengan Anne? Dia makan sepinggan je hari ni?
"Tu kenapa makan sepinggan je nasi? Selalunya tambah dua tiga kali. Anne tak sihat ke?"
Anne membuat wajah monyok dan masam mencuka. "Apalah abah ni. Orang takde mood lah nak makan malam ni."
Azlan melangkah dari dapur sehingga ke meja makan. Dia mengambil tempat duduk di sebelah anaknya. Dilihatnya ayam goreng spicy hasil tangannya hanya dijamah dua ketul oleh anak kesayangannya.
"Kenapa boleh takde mood pulak malam ni? Sebab abang tak balik? Sebab abah masak tak sedap?"
Anne menggeleng laju. Wajah abahnya dipandang sekali lalu. "Bukan bukan. Anne rasa macam nak balik kampung. Dah lama tak jenguk nenek dengan atuk. Jomlah abah kita balik kampung hujung minggu ni."
Jawapan Anne membuatkan Azlan lega sedikit. Risau juga melihat anaknya tidak lalu makan. "Minggu ni tak boleh. Jadual penuh weekend. Lagipun abang tak boleh balik. So, kita tunggu next week. Nak dekat cuti sekolah kan?"
Apabila ingin pulang ke kampung di Batu Pahat, Johor, Azlan akan pastikan bahawa Ariff anak sulungnya itu kena ikut pulang sekali. Jika tidak, pasti akan dibebel teruk oleh Pak Amat kerana melupakan anak jejaka yang sorang itu. Keluarga Azlan hanyalah Anne dan Ariff sahaja. Isterinya, Mawar sudah meninggal dunia lima tahun lepas akibat kemalangan. Kemalangan jiwa itu menyebabkan Anne tidak keluar bilik selama sebulan kerana tidak dapat menerima hakikat kematian ibunya. Disebabkan itu, Azlan akan sedaya upaya memenuhi apa sahaja permintaan anak perempuannya asalkan Anne tidak dirundung pilu.
"Hmm yelah, abah. Abang tak balik minggu ni sebab apa?" Anne kembali menyambung makan. Dicedoknya nasi sekali lagi ke dalam pinggan. Tiba-tiba rasa lapar lagi.
Terangkat kening Azlan melihat kelakuan anaknya. Dia tersengih. "Abang banyak assignments katanya. Takkanlah tiap-tiap minggu abang nak kena balik jumpa adik montel dia ni? Penat abang tu. Nanti adik masuk universiti pun akan jadi macam abang. Tinggal abah sorang kat rumah."
"Eleh abah dengan abang sama je. Selalu tinggalkan Anne kat rumah sorang sorang. Nasib baik ada coklat dengan cikedis yang setia menemani. Kalau tak, dah lama Anne mati kebosanan tau. Tapi abah jangan risau. Anne rasa, Anne taknak masuk uni lah bah. Anne nak tolong abah jaga restoran."
"Eh suka-suka je cakap macam tu. Abah nak Anne berjaya. Belajar tinggi-tinggi, buat abah bangga dapat anak yang pandai dan comel macam Anne ni. Bila Anne dah ada kerjaya sendiri, bolehlah abah rehat goyang kaki kat rumah masakkan makanan sedap-sedap untuk Anne."
Azlan seboleh-boleh mahu Ariff dan Anne berjaya dalam bidang mereka sendiri. Dia tidak mahu menyekat kemahuan anak-anaknya untuk mencuba apa sahaja. Asalkan mereka menuntut ilmu di menara gading. Kerja sebagai seorang tukang masak di hotel bertaraf lima bintang sudah cukup baginya untuk menampung kedua-dua orang anaknya walaupun ketiadaan isteri. Tambahan pula dia kini sudah mampu memiliki restoran masakan Melayu hasil usahanya bersama arwah Mawar.
"Abah nak Anne makin gemuk ke? Abah tak nak Anne kurus macam arwah ibu dulu?" Terkejut Anne mendengar kata abahnya. Sampai bila aku nak menternak lemak je? Ini semua hasil air tangan abah. Asyik masak makanan yang sedap-sedap sampai tak sedar anak sendiri jadi empuk.
"Alahai. Anne ni, gemuk atau kurus sekalipun, Anne tetap satu-satunya anak abah yang paling comel. Anne gebu macam ni pun abah tengok cantik, putih melepak macam arwah ibu. Kalau dah kurus, hmm lagilah cantik. Mesti ada iras dengan ibu." Azlan tersenyum ikhlas dalam kata-katanya. Memang ada benarnya. Anne banyak mewarisi arwah isterinya. Bulu keningnya yang lebat itu paling cantik di mata Azlan. Bertuah Anne memiliki kening seperti arwah Mawar.
YOU ARE READING
Romentik
HumorAlkisah bermula lah kisah tentang kisah mengenai kisah seorang lelaki dan seorang perempuan yang tidak sebulu dari zaman tok kaduk (sekolah menengah) sehinggalah zaman serba moden dan hipstur. "Huh. Muka dia macam Karl Marx." "Muka dia macam Rosnah...