"Mangsa ialah ahli keluarga budak yang kita temui. Wanita tersebut dan gadis itu mati kerana ditikam. Suspek kita sekarang sedang parah di unit ICU. Bagaimana dengan anak lelaki mangsa?" soal inspektor Melisa. Matanya merenung satu persatu wajah pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam penyiasatan kes pembunuhan ini.
"Hmm, maksud puan, Khairul Ierza b. Khalid?" Inspektor Ahmad muncul dari pintu hadapan bilik mensyuarat itu.
"Ahmad, kenapa kau di sini? Bukankah kau digantung selama seminggu?" sinis Melisa bertanya. Ahmad tesenyum mendengar soalan Melisa. Selamba dia duduk di kerusi kosong yang berhadapan dengan pegawai polis wanita itu.
"Melisa, dah lama seminggu berlalu. Saya mula masuk bertugas dari semalam lagi. Dan, semalam jugalah saya menerima kes ni. Kenapa awak tanya macam tu?" Ahmad seperti cuba menghangatkan suasana.
Melisa terdiam. Dia tidak akan sesekali memberikan kes ini kepada Inspektor yang merupakan bekas suaminya itu.Selamanya dia tidak akan dapat melupakan peristiwa yang menyebabkan mereka bercerai.
"Kau..." baru sahaja Melisa hendak membalas, seorang pegawai polis berpangkat tinggi melangkah masuk diiringi beberapa pegawai yang lain.
"Sudah-sudah. Berhenti bergaduh!" ASP Sazali menyampuk. Dia tersenyum. Sengaja dia mengumpulkan kedua-dua inspektor hebat itu. Meskipun dia sendiri tahu akan perseteruan mereka namun kerja tetap kerja. Mereka tidak boleh mencampur-adukkan soal emosi dalam hal kerja.
"Tuan..." Inspektor Ahmad berdiri tegak dan meberikan tabik hormat. Melisa turut berbuat demikian. Matanya menjeling ke arah lelaki itu.
"Sekarang Melisa, kes ini akan dibantu oleh Inspektor Ahmad. Awak dan dia akan bekerjasama dalam mencari penjenayah yang sebenar." Melisa tergamam dengan keputusan ASP Sazali. Dia memandang ke arah Inspektor Ahmad dengan rasa tidak percaya.
"Apa maksud tuan dengan penjenayah sebenar?" soal Inspektor Ahmad.
"Hmm, kamu pasti tahu yang suspek ialah ayah mangsa, dan dia juga lelaki yang ditembak semalam namun setelah saya bertemu sendiri dengan satu-satunya keluarga mangsa yang terselamat, dia dengan tegas menafikan. Jadi saya anggap kes ini agak rumit. Kita tidak boleh percaya dengan kata-katanya seratus peratus tetapi kita juga tidak boleh mengambil ringan kerana dia sendiri telah menyaksikan pembunuhan tersebut." Melisa dan Ahmad terangguk-angguk mengerti.
"Saya akan pergi jumpa dengan dia!" ujar Melisa sambil mengemas barang-barangnya.
"Tunggu! Saya pergi sekali." Ujar Ahmad pula. Melisa mencebik lalu segera melangkah. Ahmad pantas mengejar langkah bekas isterinya itu dengan senyuman.
***
Suasana bilik itu gelap dan panas. Kay duduk menyandar di dinding biliknya sambil menatap tingkap yang ditutupi dengan langsir. Nampaknya hari sudah siang. Terdapat bias-bias cahaya yang menembusi kain langsir itu. Sudah dua hari dia berkurung di dalam biliknya.
Ketika pihak forensik datang untuk mencari sampel dan bukti-bukti pembunuhan, dia duduk di situ dan memerhatikan kerja-kerja mereka tanpa sebarang bicara. Apabila mereka menyuruhnya untuk mengalih kedudukan, dia hanya menurut sahaja tanpa membantah. Langsung tiada jiran yang sudi menjemputnya tinggal di rumah. Mereka menganggap keluarganya membawa nasib malang.
Dia tidak hairan, malah dia semakin benci.
Benci dengan masyarakat sekelilingnya!
Mindanya kembali menerawang saat ayahnya ditembak oleh pihak polis kerana disangka pembunuh. Dia yakin ayahnya bukan pembunuh sebenar. Bagaimana pihak polis boleh membuat keputusan terburu-buru dengan menembak ayahnya? Dia menggenggam buku limanya. Ini tidak adil! Kenapa tuhan buat aku macam ni?
YOU ARE READING
DISTURBIA
Mystery / ThrillerSebelum segalanya bermula, dan setelah segalanya bermula. demi sebuah dendam, hatta sahabat sendiri dikhianati. semuanya sanggup dilepaskan dan dia tidak sedar bahawa dia semakin jauh sehinggalah dia dipertemukan dengan seorang insan. sangkanya mas...