Sebelum segalanya bermula-part 1

847 69 32
                                        

Sebelum segalanya bermula-PART 1

Enam tahun yang lalu

"Mak, Kay pergi dulu!" jerit seorang remaja lelaki setelah selesai mengikat tali kasutnya. Langkahnya laju menuju ke arah basikal miliknya yang diletakkan di tepi tiang garaj di halaman rumah. Seperti biasa, dia akan berbasikal ke sekolah kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapanya untuk menghantar dan mengambilnya.

"Eh, tunggu! Bekal kamu ni nak tinggal kat mana?" kedengaran suara seorang wanita memanggil namanya. Dia berpaling sambil tersenyum ke arah ibunya.

"Sorry, mak, lupa pulak. Kay pergi dulu ya." Dia segera menyalami ibunya. Wanita yang telah melahirkannya itu sempat berbisik sesuatu di telinganya. Kata-kata ibu selalu menguatkan semangatnya untuk ke sekolah setiap hari.

"Kay, pedulikan apa yang orang kata. Kamu lebih tahu tentang diri kamu sendiri." Satu tepukan di bahu dihadiahkan.

Khairul Ierza bin Khalid. Berusia 15 tahun dan mempunyai memori yang sangat kuat. Hmm, menarik, getus hati seorang lelaki sambil tersenyum sinis. Dia hanya memerhatikan sahaja Kay mengayuh basikalnya keluar daripada kawasan rumah dari dalam kereta bercermin gelapnya. Sudah lama dia memasang matanya terhadap remaja itu. Sejak usianya tujuh tahun lagi.

Budak genius itu pernah menjadi kebanggaan kawasan perumahan itu suatu masa dahulu. Kemampuannya mengingati apa sahaja yang dilihat menyebabkan dia tidak terkecuali daripada tersenarai dalam kalangan pelajar terbijak di situ. Namun, semakin lama, perasaan bangga itu bertukar menjadi suatu kebencian apabila dia dianggap sebagai 'unfair genius'. Kelebihan 'photographic memory' yang dimilikinya dicemuh. Malah, setiap keputusan peperiksaan Kay tidak diambil kira kerana mereka menganggap Kay hanya bertuah untuk memiliki kelebihan tersebut. Tidak seperti orang lain yang terpaksa berkerja keras untuk mendapatkan kejayaan.

Lamunannya terhenti apabila melihat Kay berhenti mengayuh basikal. Budak lelaki itu berdiri benar-benar di hadapan keretanya. Pandangan tajam remaja itu seolah-olah menembusi cermin gelap kereta itu. Tanpa membuang masa, dia segera menghidupkan kereta dan memandu pergi dari situ. Melalui cermin sisi dia dapat lihat Kay masih lagi memerhatikan keretanya berlalu. Dia tertawa kecil. 'Budak tu nampak aku kah?' dia bertanya pada diri sendiri. Topi putih di atas kepalanya dibetulkan lantas kakinya memijak kuat pemecut di kaki. Tidak mengapa, esok dia datang lagi.

Kay mencapai kembali basikalnya. Dia curiga dengan kewujudan kereta bercermin gelap tersebut. Namun, dia tidak mahu berfikir panjang dan terus mengayuh ke sekolah. Dalam perjalanan ke sekolah dia terlihat seorang remaja perempuan sedang duduk di tempat perhentian bas. Kalau dia tidak silap, itu ialah adiknya, Nur Khaira.

"Ira!" dia menjerit memanggil nama adiknya yang muda setahun daripadanya. Tidak seperti dirinya, adiknya ditempatkan di sekolah biasa sahaja kerana keputusan peperiksaan semasa sekolah rendahnya tidak berapa baik. Adiknya akan ke sana dengan menaiki bas setiap hari.

Ira mulai perasan akan kehadirannya. Gadis itu berdiri dan melambai-lambai ke arahnya dengan perasaan teruja. Kay memberhentikan kayuhan. Tangannya diangkat memanggil adiknya supaya menyeberangi jalan. Hanya bahasa isyarat yang menjadi medan komunikasi antara mereka. Ira mengerti. Dia berlari menyeberangi jalan seperti yang diarahkan oleh abangnya.

"Jom, abang hantarkan." Ira hanya menurut kata-kata Kay dan dia duduk di tempat duduk belakang abangnya. Lalu, bermulalah perjalanan mereka.

"Abang, tak apa ke lewat ke sekolah?" Kay tersenyum mendengar soalan adiknya.

"Tak apa. Jangan risaulah." Ujar Kay sambil melihat ke hadapan. Dia membiarkan bayu pagi menghembus rambutnya yang sedikit panjang pada bahagian dahi hingga ke telinga.

DISTURBIA Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang