Seira mengeleng-geleng kepalanya. Sungguh dia tidak menyangka yang Pakciknya sanggup bersubahat dengan penjenayah itu semata-mata untuk mendapatkan kembali wangnya sebanyak RM 10 ribu itu.
"Pak cik! Jangan terpedaya dengan lelaki ni. Mana mungkin dia dapat kembalikan duit sebanyak tu. Lagipun kita tak kenal dia, kenapa perlu libatkan diri dengan dia?" Seira berusaha untuk memujuk. Puan Salmi mengangguk bersetuju dengan kata-kata Seira.
Kay yang sedang menghisap lolipop itu segera mengalihkan pandangannya ke arah gadis tersebut. Hisy, perempuan ni memang kacau betul! Tak habis-habis menyusahkan orang! Lolipop yang masih dihisap dikeluarkan dari mulut seketika untuk membolehkannya berbicara.
"Cik, apa kata kalau saya berjaya dapatkan duit tersebut? Sebelum cik cakap apa-apa, cik kena dengar dulu apa yang saya nak cakap". Kay cuba untuk berdiplomasi dengan gadis itu pula. Sambil berbicara dia mengacu-acukan batang lolipop itu ke arah gadis tersebut. Seira mencebik.
'Aku tak akan sesekali bersubahat!'
"Macam mana kita nak dapatkan duit tu balik?" Encik Musa mula menaruh harapan. Dia sanggup lakukan apa sahaja kali ini. Lagipun lelaki itu dengan rela hati hendak menolongnya.
Kay tersenyum mendengar soalan daripada lelaki itu. Huh, senang betul kerja aku! Sambil tersenyum matanya masih lagi sempat melirik ke arah Seira dengan pandangan kemenangan. Langkahnya mara setapak ke hadapan.
"Mudah je. Aku cuma perlukan kerjasama kau, kalau tak, susahlah sikit aku nak tolong". Biarpun lembut sahaja nadanya, namun hakikatnya dalam masa yang sama Kay sedang mengugut.
Encik Musa berfikir sejenak mendengar kata-kata daripada Kay. Melihatkan gaya Kay, lelaki ini memang kelihatan asing, penuh dengan misteri, getus hatinya. Seira hanya mampu berdoa dalam hatinya agar Encik Musa tidak akan sesekali bersetuju untuk bersubahat dengan Kay.
"Baiklah, Kay, aku setuju. Bagi tahu aku apa yang perlu aku buat." Encik Musa meluahkan persetujuannya. Kay mengangguk-angguk perlahan sambil mengeluarkan lollipop itu daripada mulutnya. Senang, memang senang!
"Dalam masa dua hari, jumpa aku di Bank City. Pakai kemeja dengan blazer. Biar nampak macam formal dan professional sikit. Maklumat selanjutnya aku akan bagi tahu kemudian". Kay mula menorak langkahnya untuk beredar dari situ. Encik Musa kaget. Apa? Itu aje?
"Oh,ya. Untuk esok, nickname kau ialah Saigon! Guna nama tu untuk memperkenalkan diri". Selesai menghabiskan ayat dia berpaling berpaling sambil mengukir senyuman. Hatinya tergelak kecil mengenangkan prank yang bakal dihadiahkan untuk Saigon.
'Apa salahnya kalau aku kenakan lelaki tua tu sikit kan?'
Seira yang melihat dari belakang tergamam. Senyuman tu lagi! Kenapa? Apa niat dia yang sebenarnya? Seira mula tertanya-tanya dengan perasaan yang mula bercampur-gaul dalam dadanya. Tanpa berkata apa-apa lagi, lelaki itu mula mengatur langkahnya untuk pergi dari situ bersama senyuman yang masih tersisa.
Ya Allah, apa ni?! Sekali lagi Kay dipandang dari belakang. Sempoi sahaja dia berjalan, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Tenang betul! Dia tak takut kena tangkap ke? Tak, kali ini bukan soal lelaki itu yang dia risaukan, tetapi Encik Musa! Bapa saudaranya itu mudah sekali menerima kata-kata lelaki yang tidak dipercayai itu. Mungkin ini salah satu sebab mengapa dia mudah sekali ditipu!
"Pakcik, fikirlah balik, Pakcik. Jangan sebab nak duit tu balik, Pakcik sanggup bersubahat dengan penjenayah! Polis kan ada. Baik kita pergi laporkan sahaja perkara ini kepada polis". Seira yang seolah-olah sudah kehabisan cara kini cuba untuk merayu pula. Encik Musa terdiam mendengar kata-kata anak saudaranya itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
DISTURBIA
Misterio / SuspensoSebelum segalanya bermula, dan setelah segalanya bermula. demi sebuah dendam, hatta sahabat sendiri dikhianati. semuanya sanggup dilepaskan dan dia tidak sedar bahawa dia semakin jauh sehinggalah dia dipertemukan dengan seorang insan. sangkanya mas...
